|
Post by xyz on Sept 15, 2006 2:17:31 GMT -1
Assalamualaikum,
Kita sedia maklum, bahawa Amerika Syarikat adalah Pepimpin ataupun kepala dalam sistem Demokrasi sedunia. Seharusnya, ia membuktikan bahawa pimpinan teladan dicontohi kepada anak buahnya tapi sebaliknya. Sebenarnya, Sistem Demokrasi adalah sistem yang tidak pernah berpijak di bumi yang nyata. Ianya berbentuk donggeng dan tipu, menipu dan penipuan menjadi darah dagingnya yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Sedangkan, di negara kita sudah cukup membuktikan kesahihannya. Sistem Demokrasi semakin terancam dan diharapkan ianya akan meruncing tajam untuk menikam ke jantung para penyokong Sistem tersebut...dengan meninggalkan kata dua...Bertaubat ataupun Mati bersama Sistem Demokrasi.?
Berikut keluhan rasa daripada seorang yang terhegih-hegih mempertahankan Sistem Demokrasi yang kian menumbang ini...:-
-------------------------------------- Horizon: Guantanamo serlah AS hina prinsip demokrasiBersama Khaidir Majid(rencana,Berita Harian)
SEBAIK saja sesuatu perkara dibiarkan berlaku, ia akan diterima dan sebaik saja sudah diterima, lambat laun menjadi perkara biasa. Begitulah agaknya pertimbangan yang dibuat Lord Falconer sebelum beliau mengeluarkan kecaman paling kesat pernah dibuat oleh seorang pegawai kanan Britain terhadap sekutu paling rapatnya, Amerika Syarikat (AS).
Bagi Lord Chancellor Britain ini, seerat manapun hubungan Britain dengan AS, sebarang tindakan yang menghancurkan prinsip demokrasi tidak mungkin dapat ditoleransikan Britain.
Berikutan itu, selepas beberapa tahun cuba memujuk AS dengan senyap, Falconer yang secara efektifnya adalah Menteri Kehakiman Britain, Rabu lalu mengecam pusat tahanan Teluk Guantanamo kendalian Washington, sebagai ‘satu penghinaan kepada prinsip demokrasi.’ Hina kerana pusat yang menahan suspek pengganas itu tidak mengendahkan ‘rule of law’ - satu prinsip paling utama dalam demokrasi.
“Tindakan AS yang dengan sengaja cuba meletakkan tahanan di luar jangkauan undang-undang di Teluk Guantanamo, adalah sesuatu yang menghina prinsip demokrasi. Tanpa semakan mahkamah, kita tidak boleh memberi kesan kepada nilai yang diperlukan dalam masyarakat.
“Memberi kesan kepada nilai berkenaan bukan hanya satu tindakan yang betul dari segi moral, tetapi ia adalah bahagian penting dalam memberi keselamatan kepada masyarakat. Tanpa nilai berkenaan, apa yang kita perjuangkan hilang ketika kita sedang berjuang,” katanya.
Falconer sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa pusat tahanan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima tetapi tidaklah sekeras sehingga mengecamnya. Perdana Menteri Britain, Tony Blair juga hanya menyebut pusat itu sebagai satu anomali - satu keadaan luar biasa.
Oleh kerana AS adalah sekutu paling rapat, isu berkenaan tidak banyak ditimbulkan dalam kenyataan awam pemimpin Britain, sehinggalah Rabu lalu seperti diluahkan oleh Falconer di Sydney.
Mengapakah baru sekarang Britain mahu lantang bersuara mengenai isu berkenaan? Apakah Blair yang dijangka bersara tahun depan, mahu memulihkan imejnya yang banyak terjejas kerana sering bersekongkol dalam tindakan ketenteraan AS?
Apa sekalipun alasan mereka, kecaman terhadap kem tahanan Guantanamo itu harus diteruskan oleh pemimpin dunia lain yang mahu mempertahankan demokrasi.
Washington mungkin berpendapat ia perlu bertindak keras terhadap pengganas demi menjamin keselamatan rakyatnya.
Berikutan itu, ia berasa bertanggung jawab menangkap, menahan (di Guantanamo dan ada di antaranya di tempat sulit di merata dunia) sesiapa saja yang dianggapnya suspek pengganas, selama bertahun-tahun tanpa diberi perlindungan undang-undang.
Sebahagian mereka yang belum didapati bersalah ini, ditahan tanpa diberi akses kepada peguam dan keluarga, mahupun proses undang-undang untuk mencabar penahanan mereka, kononnya untuk tidak menjejas maklumat risikan yang diperoleh CIA.
Begitulah tindakan yang dihalalkan pentadbiran Presiden George W. Bush, yang dalam ucapannya sempena ulang tahun kelima 9/11 Isnin lalu, mengisytiharkan beliau mahu membawa abad ke-21 memasuki era gemilang kebebasan manusia.
Apa sekalipun yang diisytihar Bush, mereka yang akan mewarisi dunia ini beberapa tahun akan datang tidak mungkin melihat kem tahanan Guantanamo sebagai contoh gemilang kebebasan.
Sebaliknya, ramai yang akan bersetuju dengan Falconer bahawa ia adalah satu penghinaan kepada prinsip demokrasi, malah satu lambang ‘tyrany’ dan bukan kebebasan gemilang yang ingin diperjuangkan Bush.
Apa yang pemimpin AS perlu sedar, sebagai kuasa tunggal dunia tindakannya tidak boleh mengikut standard yang dipakai di negara yang lebih kecil, terutama demokrasi yang sedang berputik di dunia ketiga.
AS perlu sentiasa mengikut standard yang lebih tinggi, kerana sebagai kuasa besar sebarang tindakan yang dibuat olehnya sudah semestinya memberi kesan yang meluas.
Kuasa yang dimilikinya harus diiringi dengan tanggungjawab, dan tanggungjawab ini perlu diikuti dengan akauntabiliti. Ia bukan hanya mempunyai akauntabiliti kepada rakyatnya, bahkan kepada berjuta-juta pejuang demokrasi di seluruh dunia yang menyabung nyawa untuk menyaksikan institusi tidak demokratik seperti Guantanamo di negara masing-masing, dihapuskan.
|
|
super
teman akrab
Posts: 62
|
Post by super on Sept 21, 2006 1:34:45 GMT -1
Demokrasi, tergoncang kuat...
Dewasa kini, kite menyaksikan kelemahan-kelemahan demokrasi berlaku di sana-sini.
Paparan berita yang bertali arus ini, membuka minda dan mata kepada penyokong setia demokrasi bahawa DEMOKRASI hampir lumpuh, dah nak runtuh dan hampir-hampir jatuh menyembah ke bumi....Tiada siapa yang mampu bertahan kejatuhannye...Setiap yang lahir, pasti akan menemui kematian, yang baru akan menjadi lama, yang cantik akan jadi lusuh...semuanye tak kekal lama...Kecuali ALLAH.
KES 1 Hungary: Polis, penunjuk perasaan terus bertempur BUDAPEST 20 Sept. – Polis dan beratusratus penunjuk perasaan yang mendesak Perdana Menteri Hungary supaya meletakkan jawatan, bertempur awal hari ini berdekatan ibu pejabat parti pemerintah, Parti Sosialis di sini iaitu hari kedua keganasan yang melanda negara ini.
Polis pencegah rusuhan menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan menunggang kuda bagi menyuraikan orang ramai berikutan tindakan penunjuk perasaan yang melontarkan pelbagai objek ke arah polis.
Menurut laporan agensi berita negara, MTI, sebuah kereta polis dan beberapa tong sampah dibakar serta lebih 50 orang cedera dalam pertempuran jalanan itu.
Pertempuran tercetus selepas demonstrasi aman oleh lebih 10,000 rakyat di luar Parlimen petang semalam untuk mendesak Perdana Menteri, Ferenc Gyurcsany meletakkan jawatan selepas pendedahan satu rakaman yang memuatkan pengakuan pemimpin tersebut mengenai penipuan dilakukannya kepada rakyat.
“Perdana Menteri telah mengaku mengenai pembohongan terhadap program yang dilaksanakannya dan kami mahu dia melepaskan jawatan,” kata seorang siswa dalam bidang perniagaan, Marton, 21, ketika berada di luar Parlimen.
Dalam rakaman tersebut pada Mei lalu, Gyurcsany dalam satu mesyuarat rahsia memberitahu timbalan-timbalannya mengenai penipuan kerajaan berhubung keadaan ekonomi negara ini sejak 18 bulan lalu untuk memenangi pilihan raya umum April lalu dan memperkenalkan satu program serius yang tidak popular untuk menstabilkan ekonomi Hungary.
Ucapan tersebut mencetuskan kontroversi awal semalam, menyebabkan kira- kira 150 orang cedera dalam keganasan yang berlaku selepas penunjuk perasaan merusuh dan merampas bangunan penyiaran televisyen negara yang terletak satu blok daripada Parlimen.
Gyurcsany bagaimanapun enggan meletakkan jawatan dan beliau mengaku berbohong kerana mahu menjalankan pembaharuan besar untuk mengawal defisit tinggi yang mengancam kestabilan ekonomi.
Hungary kini dalam usaha untuk mengawal defisit awam yang tertinggi dalam Kesatuan Eropah yang diramalkan melebihi 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini walaupun pakej jimat cermat dilaksanakan sepenuhnya.
“Tidak, ia merupakan polisi saya,” katanya ketika ditanya sama ada akan menarik balik pembaharuan ekonomi dan tunduk kepada desakan parti pembangkang.
Pemimpin konservatif pembangkang, Viktor Orban mendesak Gyurcsany supaya meletakkan jawatan sekiranya Parti Sosialis pimpinannya kalah dalam pilihan raya 1 Oktober ini dan pakej pembaharuan ekonomi ditarik balik.
Parti Fidesz pimpinan Orban yang kalah pada April lalu kini mendapat dua kali lebih banyak undi berbanding Sosialis yang menjadi lemah akibat pakej ekonomi itu seperti peningkatan cukai, pemberhentian pekerja besar-besaran dalam sektor awam dan pemotongan subsidi harga tenaga.
– AFP
KES 2 Pilihan raya sengit Yemen SANAA 20 Sept. – Para pengundi keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya pertama sebenar bagi Presiden Ali Abdullah Saleh selepas 28 tahun berkuasa di negara termiskin di dunia ini.
Hampir 90,000 tentera dan polis ditempatkan di 5,620 pusat mengundi di seluruh negara sebelum ia dibuka pada pukul 8 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia).
Pusat mengundi bagi pilihan raya Presiden dan perbandaran ini ditutup pada pukul 6 petang (11 malam waktu Malaysia).
Ali Abdullah yang mengambil alih kekuasaan di Yemen Utara pada tahun 1978 berjaya menghadapi perang saudara dengan Yemen Selatan yang berfahaman komunis pada 1994 serta keganasan yang berpunca daripada rangkaian Al-Qaeda.
Beliau yang berumur 64 tahun merupakan sekutu utama Amerika Syarikat dalam perang keganasan dan dicabar oleh bekas Menteri Minyak dari selatan, Faisal Shamlan, 72.
“Pilihan raya ini berbeza. Belum pernah ada pertandingan yang sengit begini,” kata penganalisis politik dari Universiti Sanaa, Mohammed al-Sabri.
“Presiden berada dalam persimpangan pada sebelah tangannya, beliau bangga dengan eksperimen demokratik yang didakwa sebagai ideanya tetapi pada hakikat yang lain, beliau bimbang dengan cabaran sengit yang dihadapinya,” kata Mohammed.
Faisal pula dilapor mendapat sokongan daripada Islah Islam dan Parti Sosialis Yemen yang berpangkalan di selatan dan menjadikan pilihan raya sebagai langkah menuju “demokrasi berparlimen yang membawa kepada peralihan kuasa secara aman.”
– AFP
KES 3 Tentera kuasai Parlimen
YANGON: Myanmar, yang diperintah junta tentera berkemungkinan mempunyai sebahagian ahli Parlimen yang dipilih menjelang 2008, kata ahli politiknya dan penganalisis.
Namun, wujud pandangan berbelah bahagi sama ada pilihan raya yang dikuasai tentera adalah lebih baik atau tiada pembabitan langsung pasukan berkenaan.
Kerajaan junta itu bulan ini mengumumkan hasrat menyambung rundingan damai bertujuan merangka Perlembagaan baru di tengah-tengah gesaan antarabangsa supaya mengadakan pembaharuan demokratik di negara itu.
Malah tekanan itu semakin ketara berikutan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu menjadikan isu rejim itu dalam agenda rasminya.
Mereka yang terbabit dalam mesyuarat Konvensyen Kebangsaan Myanmar yang diadakan sejak 1993 berkata pembentukan Perlembagaan pertama negara itu dan disusuli pungutan suara adalah langkah pertama ke arah demokrasi.
“Menjelang seawal 2008, akan ada beberapa wakil yang dipilih rakyat dalam kerajaan,” kata seorang delegasi Konvensyen itu yang enggan dikenali.
Namun, beberapa diplomat asing dan pembangkang menyuarakan kesangsian dan menganggap proses pembaharuan itu cubaan tentera untuk terus berkuasa. – AFP
“Ia adalah satu proses untuk mengukuhkan kedudukan tentera. Apa yang kerajaan junta itu lakukan adalah untuk mendapat pengesahan bagi kewujudan mereka,” kata seorang diplomat Barat di Yangon.
Myanmar sudah berada di bawah pemerintahan tentera sejak 1962. Pada 1993, kerajaan itu mengadakan mesyuarat Konvensyen pertamanya bagi merangka Perlembagaan negara itu.
Sementara itu tekanan ke atas kerajaan Myanmar berterusan. Penganalisis berkata, pemerintah Myanmar sememangnya bimbang mengenai tanggapan negara jiran, India dan China serta Asean.
“Negara Asean pasti berasa puas hati jika Myanmar dapat mengadakan sebarang pilihan raya,” kata seorang delegasi Yangon. - AFP
KES 4
Israel, Kuartet Asia Barat perlu terima Hamas LONDON 20 Sept. – Israel dan Kuartet Asia Barat perlu menerima pergerakan Hamas sebagai kepimpinan Palestin yang dipilih secara demokratik sebagai langkah pertama ke arah proses damai.
Presiden Kumpulan Krisis Antarabangsa, Gareth Evans berkata, Kuartet yang terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), Rusia, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu perlu mengiktiraf pembentukan kerajaan perpaduan yang sedang dalam rundingan bagi menyatukan Hamas dan Fatah.
Evans dalam tulisannya dalam The Financial Times berkata, penyelesaian damai Arab-Israel yang komprehensif perlu “dimulakan dengan menerima kepimpinan (Hamas) yang dipilih oleh penduduk Palestin sebagai rakan sah kepada Israel dan Kuartet.
“Hamas tidak boleh disingkir dengan menafikannya dan ia mempunyai hak demokratik dalam kerajaan,” ujarnya.
Kenyataan itu merujuk kepada tindakan Israel, AS dan EU yang menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Evans menegaskan, mengikut petunjuk semasa, kerajaan perpaduan yang baru akan menerima “dua daripada tiga kriteria dan satu pada prinsip.”
“Kuartet sepatutnya mengalu-alukan pembentukan kerajaan perpaduan dan memberi tumpuan kepada persoalan sebenar, sama ada ia bersedia untuk menunaikan janji-janjinya kepada tindakan bagi mengadakan gencatan senjata sebenar dengan semua kumpulan pejuang Palestin,” katanya.
Beliau menggesa Kuartet menarik balik sekatan bagi membantu Pihak Berkuasa Palestin membina institusi-institusinya.
Evans menulis: “Kuartet perlu menggesa rejim Israel menghormati perjanjian seperti pelan damai, menyerahkan semua baki cukai hasil, bersetuju menghentikan keganasan dan meneruskan rundingan dua hala.”
– AFP
KES5
PM harap demokrasi di Thailand dipulihkan NEW YORK 20 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengharapkan pihak yang merampas kuasa di Thailand akan memulihkan demokrasi.
Sambil menyatakan terkejutnya dengan tindakan rampasan kuasa di negara itu, Abdullah menyifatkannya sebagai ‘bukan cara atau perubahan yang orang suka lihat’.
Menurutnya, perubahan wajar berlaku dalam bentuk pilihan raya dan mengambil perhatian bahawa pihak yang merampas kuasa di Thailand menyatakan akan menyerahkan semula kuasa kepada pihak awam.
Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra berada di sini ketika rampasan kuasa itu berlaku.
Beliau dijadualkan menyampaikan ucapannya esok di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi dibatalkan ekoran rampasan kuasa itu.
Abdullah yang berada di sini untuk berucap pada sesi ke-61 Perhimpunan Agung PBB pada Rabu (waktu New York) berkata, kerajaan masih memantau apa yang berlaku di Thailand dan belum mengeluarkan nasihat kepada pelancong Malaysia yang mahu ke negara itu.
Bagaimanapun jika pihak berkuasa Thailand mengenakan perintah berkurung, beliau menasihatkan rakyat Malaysia tidak wajar pergi ke sana.
Oleh kerana rampasan kuasa ini baru berlaku, menurut beliau, maka tidak boleh dibuat penilaian terhadap keadaan krisis di selatan Thai atau kesan negatif industri pelancongan kepada Malaysia.
– Utusan
KES 6 Siapa Jeneral Sonthi Boonyaratglin? BANGKOK 20 Sept. – Pemimpin rampasan kuasa Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin, 60, adalah orang Islam pertama yang mengetuai angkatan tentera di negara beragama Buddha ini.
Beliau dikenali sebagai seorang panglima bersuara lembut dan pragmatik.
Ironisnya, Thaksin Shinawatra yang digulingnya semalam adalah orang yang bertanggungjawab melantiknya setahun lalu bagi menangani konflik di wilayah Islam selatan negara ini.
Pelantikan beliau sebagai panglima tentera telah mendapat pujian daripada para pemerhati yang berharap veteran perang itu dapat mencari jalan perdamaian dengan para pejuang pemisah di situ.
Walaupun persamaan agama, Sonthi bukan etnik Melayu di wilayah selatan.
Beliau lahir di pinggir Bangkok pada 1946 daripada keluarga Islam Thailand yang berpengaruh dan terkenal.
Salah seorang daripada moyangnya merupakan pemimpin agama penduduk Islam lebih dua abad yang lalu sementara ibunya seorang pengiring di istana diraja.
Sonthi merupakan lulusan Akademi Tentera Diraja Chulacjomklao pada 1969 dan menerima latihan lanjutan di Amerika Syarikat.
Beliau kemudian ditugaskan di Rejimen Tentera Infantri Diraja sebelum mengetuai beberapa unit khas termasuk pasukan elit Peperangan Khas.
Sebagai ketua tentera, beliau diketahui mempunyai hubungan baik dengan Raja Bhumibol Adulyadej serta berselisih secara terbuka dengan Thaksin berhubung dasar keselamatan sehingga membawa kepada rampasan kuasa semalam.
Beliau memilih pendekatan perundingan untuk menyelesaikan masalah dengan kumpulan pejuang pemisah di selatan tetapi cadangannya telah ditolak oleh kerajaan.
Sehingga semalam, panglima tentera ini mengambil pendirian berkecuali dalam konflik politik di Thailand yang memuncak apabila berlaku protes besar-besaran sejak Februari lalu.
Beliau juga dilihat sebagai suara tidak rasmi kepada raja Thailand semasa krisis tersebut dengan mengkritik Thaksin dan para pemimpin bantahan yang terus menimbulkan kekacauan.
“Masalah negara yang berlarutan sejak beberapa lama sehingga kini telah menyebabkan raja berasa sedih, dan ia mengecewakan saya,’’ begitulah kata-kata Sonthi yang pernah diucapkan semasa Thailand dilanda krisis politik tidak lama dahulu.
Ketika keadaan politik semakin buruk, Sonthi berulang kali menafikan khabar angin mengenai rampasan kuasa dan seminggu yang lalu beliau menyifatkannya sebagai ‘salah maklumat’.
Tidak dapat dipastikan punca panglima tentera ini hilang kesabaran terhadap kegawatan politik, tetapi para diplomat berkata, Sonthi turut bimbang tindakan yang akan dikenakan terhadapnya selepas komplot membunuh Thaksin oleh beberapa pegawai kanan tentera berjaya dipatahkan.
Disebabkan hubungan rapat dengan istana, tindakan Sonthi melakukan rampasan kuasa ditafsir sebagai isyarat bahawa raja tidak senang dengan situasi politik semasa di Thailand.
– AFP ' KES7 Singapura halang kebebasan bersuara
SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura menghalang seorang ahli politik pembangkangnya, Chee Soon Juan mengetuai perarakan melintasi lokasi mesyuarat Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di sini, semalam yang sekali lagi membuktikan sekatan keras republik kecil itu di atas kebebasan bersuara. Kelmarin, Presiden Bank Dunia Paul Wolfowitz menyelar kerajaan Singapura yang disifatkan sebagai mengamalkan sistem kuku besi kerana menghalang aktivis menyuarakan pendapat mereka.
Singapura yang berharap dapat memaparkan kejayaan ekonominya dengan menganjurkan mesyuarat itu bulan ini, sebaliknya hanya dibanjiri kecaman daripada Bank Dunia dan IMF serta badan bukan kerajaan apabila republik itu menyenaraihitamkan aktivisnya.
Dengan kehadiran kira-kira 16,000 delegasi mesyuarat itu termasuk wakil Bank Pusat dan Menteri Kewangan daripada seluruh dunia, tindakan Singapura hanya mengundang kecaman.
Terbaru, Chee yang juga ahli politik pembangkang dan Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura dan enam aktivis lain memakai kemeja T dengan slogan ‘Kebebasan Sekarang’ ketika mengadakan bantahan di kawasan digelar Speaker’s Corner.
Bagaimanapun, polis menghalang hasrat mereka mengadakan perarakan ke pusat konvensyen.
Sementara itu, aktivis antarabangsa merancang menyaman kerajaan Singapura kerana didakwa menyekat hak asasi manusia. – Reuters
KES 8 Thailand patut pulih segera amalan demokrasi
SELEPAS 15 tahun, Thailand kembali menyaksikan rampasan kuasa tentera malam kelmarin ketika Perdana Menterinya, Thaksin Shinawatra berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Panglima Tentera Thailand, Jeneral Jeneral Sondhi Boonyaratglin mengetuai rampasan kuasa itu dengan alasan untuk menstabilkan keadaan politik negara itu sambil berjanji akan memulihkan demokrasi secepat mungkin.
Ketika muncul pertama kali dalam siaran televisyen negara itu, pagi semalam bagi membuat pengesahan mengenai rampasan kuasa oleh Majlis Pembaharuan Demokratik, Sondhi, orang Islam pertama memegang tampuk pentadbiran tentera Thailand, mendakwa pentadbiran Thaksin begitu lemah dan berbahaya kepada negara.
Thaksin juga didakwa memecah-belah rakyat, menghina raja dan sering mencampuri urusan perkhidmatan awam sehingga menyulitkan pegawai kerajaan melaksanakan tanggungjawab dan membuat keputusan. Rata-rata penduduk Thailand menganggap konflik negara mereka itu membabitkan pertentangan antara seorang pemimpin politik yang angkuh dengan raja yang bersikap rendah diri dan sentiasa prihatin kepada rakyat.
Sebagai sebuah negara yang rakyatnya amat menghormati raja, tidak syak lagi rampasan kuasa itu dilakukan selepas mendapat mendapat restu istana. Malah, Raja Bhimibol Adulyadej semalam mengesahkan pelantikan Sondhi sebagai ketua Majlis Pentadbiran baru sehingga pelantikan perdana menteri baru. Rakyat Thai kini menunggu pemimpin yang lebih bertolak ansur dalam menangani pelbagai masalah termasuk pergolakan di tiga wilayah selatannya yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Bagi Thaksin, selepas beberapa kali berjaya melepasi cabaran ke atas kedudukannya, beliau kali ini terpaksa berdepan dengan budaya politik Thailand yang sering menyaksikan campur tangan tentera satu ketika dulu. Pemerintahannya selama lima tahun berakhir dengan cara yang tidak berpaksikan amalan demokrasi.
Sehingga petang semalam, belum dapat dipastikan sama ada beliau akan pulang ke tanah air menghadap rakyat atau mencari suaka politik di luar negara. Walaupun apa yang berlaku di Thailand itu adalah masalah rakyat negara itu, sebagai jiran mereka, kita amat berharap demokrasi dipulihkan segera.
Kita berpendapat rampasan kuasa bukan cara terbaik untuk mengubah kerajaan. Sebagai negara berjiran, Malaysia dan negara Asean lain tentu berharap perubahan politik di Thailand tidak akan mengubah jalinan kerjasama antara Bangkok dengan rakannya, sama ada dari segi politik atau perdagangan.
Walaupun negara lain tidak berhak mencampuri urusan dalaman negara itu, semua negara anggota tentu berharap prinsip demokrasi menjadi tunjang dalam Komuniti Asean yang dipersetujui selama ini akan terus dijunjung.
Kita bersyukur rampasan kuasa berlaku tanpa pertumpahan darah, dan pihak berkuasa tentera kelihatan dapat mengawal sepenuhnya ketenteraman awam terutama di kota Bangkok. Kita berharap krisis politik di Thailand diselesaikan secara aman dan demokrasi dapat dipulihkan segera demi kepentingan rakyatnya dan negara serantau.
|
|