|
Post by ikan patin on Apr 11, 2006 1:39:46 GMT -1
Hakikat mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Oleh Mohd. Yaakub Mohd. Yunus
Setiap tahun umat Islam di Malaysia menyambut kehadiran 12 Rabiulawal iaitu tarikh yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dalam suasana meriah.
Saban tahun juga polemik tentang sunah atau bidaahnya menyambut Maulidur Rasul akan muncul. Pihak yang menentang sambutan Maulidur Rasul menyatakan sambutan tersebut adalah bidaah kerana ia tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi dan sahabatnya r.a serta zaman para salafussoleh.
Malah imam-imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan Maulidur Rasul ini. Timbul persoalan adakah mereka semua ini tidak mencintai Nabi Muhammad sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan Maulidur Rasul?
Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka beranggapan ia adalah bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan baginda dan mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda.
Apa pun, tidak perlu dipanjangkan polemik ini yang akan sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa yang ingin kita bahaskan di sini adalah tentang tatacara untuk membuktikan kasih sayang serta pengagungan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kewajipan mencintai baginda yang merupakan antara ciri-ciri golongan yang beriman. Rasulullah berhak meraih cinta tersebut kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t., memiliki akhlak yang luhur, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka jahanam dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.
Mencintai Nabi Muhammad merupakan antara kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan (Rasul) Allah yang merupakan sebahagian dari kalimah syahadah.
Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah memiliki ciri-ciri yang tertentu. Beberapa tanda dapat menggambarkan perasaan cinta kita kepada Rasulullah dengan hakikat yang sebenar:
1) Mentauhidkan Allah s.w.t.
Hikmah utama diutusnya para Rasul termasuk Nabi Muhammad adalah untuk menyerukan fahaman tauhid dan menentang syirik.
Maksud mentauhidkan Allah adalah beribadah hanyalah kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa jua pun. Inilah pengertian sebenar kalimah tauhid yang bermaksud Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah iaitu dengan memurnikan ibadah hanya kepada-Nya dan berlepas diri dari segala sesuatu selainnya.
Inilah misi utama Nabi Muhammad terhadap umatnya. Oleh itu untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad maka hendaklah kita menghindari amalan-amalan syirik.
Mentauhidkan Allah merupakan bukti yang paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad.
2) Menghargai al-Quran serta mengamalkan isu kandungannya
Antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad adalah dengan berpegang teguh kepada segala firman Allah yang terkandung di dalam al-Quran.
Misi utama Nabi Muhammad adalah untuk mengajar umat manusia tentang al-Quran serta mempraktikkannya supaya boleh dijadikan contoh teladan bagi umat pada masa hadapan.
Oleh itu sekiranya al-Quran tidak dihargai dengan mempelajari dan mempraktikkannya, ia sebenarnya menggambarkan sikap kita yang memperlekehkan tugas utama Rasulullah yang diutuskan kepada umatnya yakni menyampaikan al-Quran.
Mereka yang memperlekehkan baginda tidak selayaknya dikategorikan dalam golongan yang mencintainya.
3) Mentaati sunah Nabi s.a.w.
Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad adalah dengan mengerjakan sunahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Pada dasarnya semua perbuatan dan ucapan Nabi wajib diikuti dan diteladani.
Mentaati Rasulullah juga adalah bukti yang menunjukkan kita mencintai Allah. Memperjuangkan sunah juga bermaksud menghindari amalan bidaah.
Oleh itu memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti yang menunjukkan kecintaan kita kepada sunah Nabi dan mengamalkan amalan bidaah menggambarkan pengkhianatan kita kepada dakwah baginda.
4) Menyebarkan sunah Nabi
Mencintai Nabi bukan sekadar hanya taat kepada sunah baginda malah di antara tanda kesempurnaan perasaan cinta kepada baginda adalah dengan menyebarkan sunah-sunah tersebut kepada seluruh umat manusia.
Keinginan untuk menyebarkan sunah Nabi, menyampaikannya serta mengajarkannya adalah satu usaha untuk menyambung tugasan baginda setelah baginda wafat. Sekiranya kerja-kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan pasti sunahnya akan mati dan digantikan dengan amalan-amalan bidaah.
5) Sentiasa memuji dan mengingatinya
Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad maka seharusnya baginda senantiasa berada di hati kita. Kita sepatutnya senantiasa mengingati pengorbanan yang telah baginda lakukan demi menyelamat umatnya dari lembah kesesatan. Oleh itu hendaklah kita memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kita.
Hendaklah kita hanya menyibukkan diri dengan sejarah baginda yang sahih dan menghindari cerita-cerita palsu dan lemah yang banyak tersebar dalam masyarakat.
6) Mencintai mereka yang dicintai Nabi
Antara tanda kecintaan seseorang kepada Nabi adalah mencintai mereka yang dicintai baginda seperti Ahlulbaitnya serta para sahabatnya serta membenci mereka yang memusuhi, membenci serta menentang dakwah baginda.
Secara logiknya sesiapa yang mencintai seseorang maka dia juga akan mencintai apa yang orang tersebut cintai. Hal ini dikuatkan dengan dalil dari sebuah hadis:
Bahawa sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia mencintai segala yang disukainya, yang serupa dengannya, dan segala yang bertalian dengannya. (Diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Baari)
7) Membela Nabi daripada serangan golongan munafik
Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hukum Allah serta sunah-sunah baginda s.a.w. sedang hebat diperlekehkan oleh kelompok-kelompok munafik seperti gerakan Islam Liberal, golongan antihadis, para orientalis dan lain-lain kelompok yang sesat.
Oleh itu, antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad adalah dengan membantah hujah-hujah golongan tersebut dan membela baginda dengan memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu-isu batil yang dibangkitkan oleh musuh-musuh Allah.
|
|
|
Post by ikan patin on Apr 11, 2006 1:40:33 GMT -1
Teliti kembali sirah Nabi Oleh Ismail Hashim
Sejauh manakah kita mengenali Nabi Muhammad s.a.w. dan sejarah perjuangannya yang mulia itu. Apakah sesudah menamatkan alam persekolahan dan mendapat segulung ijazah serta memasuki alam pekerjaan kita sudah melupakan sirah Nabi s.a.w.
Apakah pentingnya sirah Rasulullah s.a.w. kepada kita sekarang? Adakah sekadar untuk diingati semasa kedatangan sambutan hari Maal Hijrah atau Maulidur Rasul sahaja?
Persoalannya bagaimana kita hendak mengaitkan sejarah Rasulullah itu supaya relevan dengan masa kini? Sejauh manakah juga nilai-nilai, segala pendidikan, tunjuk ajar, nasihat dan pengajaran yang ada dalam sejarah Nabi s.a.w. itu dapat atau telah dimanfaatkan oleh umat Islam sekarang khususnya bagi golongan muda.
Sejarah Nabi tidak sepatutnya dibekukan dalam rakaman dan catatan sejarah sahaja kerana ia harus direalisasi dengan cabaran-cabaran semasa terutamanya dalam era di mana Islam dikaitkan dengan keganasan dan umat Islam menjadi sasaran negara Barat dan medianya.
Oleh itu sirah Nabi harus terus dihadapkan dengan realiti masa kini.
Tidak wajarlah menyambut Maulidur Rasul sekadar sebagai suatu cuti am dengan mengingati sehari dan kemudian lupa setahun.
Sirah Nabi harus dikaji, ditelaah, diteliti, didalami malah diperdebatkan untuk dicungkil dan dibongkarkan keluar segala ilmu-ilmu dan kebijaksanaan yang terdapat di dalamnya daripada sekadar membaca atau mendengar ceramah secara zahirnya.
Jika kita diancam keganasan dan peperangan misalnya apakah pengertian peperangan dan pengertian jihad bagi Rasulullah s.a.w? Apakah teori dakwah Rasulullah s.a.w?
Jika buku strategi perang Sun Tze dan ulasan mengenainya banyak diterbitkan, bagaimana pula dengan strategi perang Rasulullah s.a.w. ataupun strategi perang sahabat baginda Khalid Al Walid. Bagaimana boleh dikembangkan strategi perang itu kepada strategi dalam pengurusan pula?
Terdapat banyak buku yang mengisah tentang ajaran Tao misalnya The Tao of War dan The Tao of Business tetapi kurang sekali kajian mengenai kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. yang boleh dikaitkan dengan masa kini. Misalnya, etika Rasulullah yang boleh dikaitkan dengan pengurusan dalam perniagaan, politik, pendidikan, hidup berkeluarga dan seumpamanya.
Bagaimanakah kaedah Rasulullah mentadbir negara? Bukannya tidak ada penulisan atau kajian tetapi masih berkurangan dalam khazanah ilmu Islam. Apatah lagi kurang sekali kajian analitikal yang dilakukan mengenai sirah Nabi khususnya di Malaysia.
Semua ini harus dibongkarkan dalam bentuk yang lebih relevan bagi masa kini dan tidak membataskannya dalam kapsul sejarah dan persekitaran Mekah dan Madinah sahaja. Ia harus disejagatkan dan melampaui sempadan.
|
|
|
Post by ikan patin on Apr 11, 2006 1:41:24 GMT -1
MENGHORMATI RASULULLAH S.A.W. DENGAN MENCONTOHINYA Rencana Pengarang
Tidak lama dahulu, umat Islam di seluruh dunia membantah perbuatan pihak-pihak tertentu di Barat yang menghina Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai gambaran dan tulisan.
Selama ini pun, kita sering dengar betapa pihak-pihak tertentu di Barat telah menggunakan alasan kebebasan bersuara untuk menghina Nabi Muhammad s.a.w.
Tetapi keadaan ini bukanlah perkara baru kerana pada zaman Rasulullah s.a.w. masih hiduppun golongan Musyrikin dan kafir menghina baginda dengan pelbagai cara.
Sedangkan sebelum menjadi Rasul sekalipun, baginda adalah seorang manusia unggul dengan memiliki akhlak mulia hingga diberikan gelaran Al-Amin kerana keteguhannya berpegang kepada kebenaran, amanah dan keadilan.
Kita dapat bayangkan betapa pada zaman Rasulullah s.a.w. masih hidup dengan akhlaknya dapat disaksikan oleh penduduk Mekah, baginda masih tetap dimusuhi dan dihina sebaik saja mula melancarkan dakwah untuk menyebarkan risalah Islam.
Tetapi bagi orang Islam yang menerima dakwah baginda, Rasulullah s.a.w. merupakan utusan Allah s.w.t. yang bukan saja menerima wahyu tetapi memiliki peribadi mulia untuk dijadikan contoh bagi umat manusia.
Itulah pegangan umat Islam hingga ke hari ini walaupun kita tidak dapat menyaksikan Rasulullah s.a.w. dan hanya mengetahui mengenai baginda melalui hadis dan sirah yang dicatat dan disyarah oleh para sahabat, tabiin, taba tabiin dan ulama turun-temurun.
Maka Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun oleh umat Islam merupakan hari istimewa untuk kita memperingati baginda dan memperbaharui perasaan hormat dan kasih kepada Rasulullah s.a.w.
Sememangnya majlis-majlis Maulidur Rasul yang mengandungi acara berzanji, bersalawat, ceramah dan perarakan akan menyemai perasaan sayang ini dalam masyarakat khususnya kanak-kanak. Dalam hal ini, mereka mesti didedahkan dan diajak bersama menyertai majlis-majlis berkenaan.
Kita wajar bertindak melawan sebarang perbuatan pihak-pihak yang menghina Rasulullah s.a.w. dan menabur fitnah melalui berdakwah secara berhemah.
Namun begitu, cara kita menghormati Rasulullah s.a.w. akan lebih bermakna daripada laungan dan demonstrasi jika individu Muslim menanam azam untuk berubah dengan mengambil contoh akhlak baginda.
Kita percaya umat Islam sendiri akan menjadi teladan bagi manusia keseluruhannya jika berjaya mencontohi Rasulullah s.a.w.
|
|
|
Post by ikan patin on Apr 11, 2006 1:42:08 GMT -1
Ingat pesan Rasulullah Oleh Zulkiflee Bakar (Wartawan Utusan)
Hari ini seluruh umat Islam di dunia menyambut kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai majlis diadakan bagi memperingati seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.
Sememangnya majlis Maulidur Rasul merupakan peluang keemasan untuk kita menyebarkan Islam dan mengingati segala-galanya mengenai baginda.
Bermula dengan perjuangan sebagai pembawa kebenaran hinggalah kepada akhlak baginda.
Seperti juga tahun-tahun sebelumnya, kita akan terus membuat seruan supaya mencontohi segala perilaku Rasulullah.
Baginda seharusnya dijadikan idola dan panduan dalam usaha kita menempuh cabaran di dunia fana ini.
Tetapi hari demi hari, ada sahaja perlanggaran yang kita lakukan terhadap apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Ada di kalangan umat Islam sewenang-wenangnya mengabaikan ajaran Rasulullah dengan melakukan tindakan yang bertentangan dengan apa yang diperintahkan Allah s.w.t.
Perbuatan yang paling tidak masuk akal ialah apabila di seluruh dunia masih berlaku individu yang mengaku dirinya nabi.
Pengakuan songsang ini bukan sahaja bertentangan dengan Islam malah seolah-olah menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Al Hakim di mana Rasulullah bersabda yang bermaksud;
Aku penutup para nabi. Tidak ada nabi lagi sesudah aku.
Justeru, bagi mereka yang memegang teguh ajaran Islam, mereka akan menganggap perbuatan individu yang mengaku dirinya nabi selepas Rasulullah, hanya dilakukan oleh orang yang tidak siuman sahaja.
Malangnya, individu-individu ini berjaya mempengaruhi insan-insan lain untuk bersekongkol dengan kesesatan yang dibawanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, Sesungguhnya ucapan yang paling benar adalah kitabullah dan sebaik- baik jalan hidup ialah jalan hidup Muhammad, sedangkan seburuk-buruk urusan agama ialah yang diada-adakan. Tiap-tiap yang diada-adakan adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan (menjurus) ke neraka.
Perbuatan mengaku nabi ini adalah sebahagian daripada kelompok manusia yang ‘gila kuasa' dan kedudukan.
Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja asalkan jawatan atau kuasa yang mereka inginkan tercapai, begitulah juga yang kita saksikan dalam bidang-bidang lain termasuk politik.
Kelompok yang ingin berkuasa akan menghalalkan apa juga cara bagi mencapai matlamat ini. Mereka terlupa bahawa setiap jawatan atau kuasa yang diberikan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Cita-cita
Sebab itulah, Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim, sabdanya bermaksud:
Rasulullah s.a.w. berkata kepada Abdurrahman bin Samurah, “Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau menuntut suatu jawatan. Sesungguhnya jika diberi kerana cita-citamu maka kamu akan menanggung seluruh bebannya tetapi jika ditugaskan tanpa cita-citamu maka kamu akan ditolong mengatasinya.''
Tetapi persoalannya sejauh manakah kelompok manusia yang inginkan kekuasaan ini berfikir soal hadis itu? Apa yang penting bagi mereka, kononnya selagi nyawa di kandung badan, selagi mereka mempunyai penyokong yang ramai, selagi itulah mereka akan berusaha merebut jawatan setinggi yang mungkin tanpa memikirkan kesannya.
Kepada kelompok manusia yang rakus ini, Rasulullah sudah memperingatkan mereka melalui sabdanya yang bermaksud;
Jawatan (kedudukan) pada permulaannya penyesalan, pada pertengahannya kesengsaraan (kekesalan hati) dan pada akhirnya azab pada hari kiamat.
Justeru, dalam menjalani kehidupan ini, kita perlu ikhlas dan amanah dalam melaksanakan apa juga pekerjaan atau perilaku kerana itulah ajaran Rasulullah.
Barang siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah maka sempurnalah imannya.
Oleh itu, sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, adalah perlu untuk kita bermuhasabah dan berfikir sejauh manakah ajaran yang dibawa oleh baginda benar-benar diikuti oleh kita.
Janganlah kita hanya bijak bercakap dan menyeru tetapi kita sendiri gagal melaksanakan apa yang diajar oleh Rasulullah.
Jika kita mengikut ajaran Pesuruh Allah, sudah pasti ia akan meningkatkan tahap kecintaan kepada Rasulullah yang merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan iman antara seseorang mukmin dan mukmin yang lain.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda, Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya.
Apa yang perlu diingat, mencintai Rasulullah bukanlah ibarat kita berada dalam dunia percintaan sesama manusia biasa.
Jika dalam dunia percintaan biasa, kita boleh melakukan pengkhianatan, pembohongan dan memungkiri janji tetapi lafaz cinta kita kepada Rasulullah perlu dilakukan secara bersungguh- sungguh dengan mengikuti segala ajarannya.
Oleh itu, selagi kita diberi keizinan oleh Allah s.w.t untuk bernafas di bumi- Nya ini, jadikanlah sambutan Maulidur Rasul kali ini sebagai medan untuk kita kembali ke jalan benar.
Sememangnya sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan tetapi apa yang penting kita akan segera bertaubat.
Rasulullah telah memperingatkan kita mengenai perkara ini melalui sabdanya;
Sesungguhnya Allah merentangkan tangan-Nya pada malam hari memberi kesempatan taubat bagi pelaku kesalahan pada siang hari dan merentangkan tangan-Nya pada siang hari memberi kesempatan taubat bagi pelaku kesalahan pada malam hari, sampai kelak matahari terbit dari barat.
Kebenaran
Sesungguhnya Allah mengutuskan Nabi Muhammad kepada umat manusia untuk membawa kebenaran.
Memperingati kelahiran baginda bukan sekadar dimeriahkan dengan majlis-majlis tetapi apa yang lebih penting memahami segala ajaran dan suruhan baginda.
Tidak salah untuk mengadakan majlis kerana ia akan memberi kesempatan kepada kita berselawat ke atas baginda sebanyak-banyaknya.
Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu berusaha untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah dengan mengikuti segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.
|
|
|
Post by ikan patin on Apr 11, 2006 1:43:10 GMT -1
Menzahirkan bukti cinta kepada junjungan mulia Rasulullah Oleh MAZLAN ZAINOL
KETAHUILAH bahawa manusia yang mengasihi seseorang insan akan mengutamakan insan yang dikasihinya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri. Malah, ada kalanya dia mengasihi insan itu melebihi rasa kasih terhadap dirinya sendiri. Hal ini boleh kita perhatikan terhadap peribadi para sahabat Nabi s.a.w. yang sanggup berkorban apa sahaja, sama ada harta benda, masa, tenaga hatta nyawa mereka sendiri demi mempertahankan diri Rasulullah s.a.w. serta maruah Islam daripada diperlekehkan oleh musuh-musuh Allah.
Sudah jelas kepada kita bahawa mencintai Rasulullah s.a.w. adalah kewajipan mutlak yang menjadi tuntutan kepada setiap muslim. Kewajipan ini meliputi tuntutan menyemai rasa kasih kepada baginda, membesarkan kedudukan baginda, menentang penghinaan atau cercaan terhadap baginda, dan menzahirkan bukti mencintai baginda dalam setiap gerak kehidupan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa’i)
Orang-orang yang benar-benar mengasihi dan mencintai Rasulullah s.a.w. akan sentiasa menzahirkan pernyataan kasih sayang tersebut dalam segenap dimensi kehidupan mereka. Seorang ulama besar al-Imam al-Qhadi ‘Iyadh al-Yahsubi telah menyenaraikan dalam kitabnya, Al-Syifa’ bi al-Ta’rif Huquq al-Mustafa, tentang tanda-tanda, bukti atau dalil bagi orang-orang yang mencintai Rasulullah s.a.w. Penzahiran cinta kasih, rindu dan sayang kepada baginda akan terserlah dalam diri individu Muslim itu berdasarkan tanda-tanda berikut:
Pertama: Mengikuti deen (agama dan cara hidup) Rasulullah s.a.w., mengamalkan sunah baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Sentiasa mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira. Allah s.w.t. menegaskan hal ini dalam firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah pasti akan mengasihi kamu. Dan ingatlah, Allah maha pengampun lagi maha mengasihani. (Ali-Imran: 31)
Malah, orang yang benar-benar mengasihi Nabi s.a.w. akan mendahulukan dan mengutamakan syariat baginda daripada dorongan kehendak dan nafsunya sendiri. Situasi ini telah dibuktikan dengan pengorbanan yang cukup besar oleh orang-orang Ansar terhadap saudara seagama mereka iaitu orang-orang Muhajirin. Allah merakamkan peristiwa ini dalam firman-Nya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat memerlukan.” (Al-Hasyr: 9)
Kedua: Mereka yang mencintai Nabi s.a.w. akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas baginda. Selawat kepada Rasulullah s.a.w. merupakan ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada baginda. Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah kerana baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas baginda. Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56)
Memperbanyakkan selawat ke atas baginda adalah perkara sunat yang menjadi bukti betapa kasihnya seorang umat kepada Rasulnya. Tatkala kita mendengar nama baginda, maka sunat bagi kita menyebutkan selawat ke atas Rasulullah. Baginda sendiri menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa sesiapa yang berselawat ke atas baginda sekali, maka akan diganjarkan kepada mereka yang berselawat itu dengan 10 ganjaran.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi s.a.w. lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku hari kiamat?” Jawab baginda, “Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawab lelaki itu, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, berpuasa (puasa sunat) atau bersedekah, tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasul-Nya.” Maka sabda baginda, “Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Mencintai
Ketiga: Antara tanda orang yang mencintai baginda ialah membenci apa yang dibenci oleh Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunahnya dan melakukan perkara bid’ah dalam agamanya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.
Allah s.w.t. menjelaskan dalam firman-Nya: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka atau kaum keluarga mereka sendiri. (Al-Mujadalah: 22)
‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam tafsiran ayat di atas ialah sahabat-sahabat baginda yang telah membunuh orang yang mereka kasihi (bapa, bapa saudara, saudara kandung dan ahli keluarga) dalam peperangan fi sabilillah kerana keingkaran yang jelas terhadap Islam serta penentangan mereka yang keras terhadap dakwah Rasulullah. Para sahabat Rasulullah melakukan semua ini semata-mata kasih kepada baginda dan mengharapkan keredaan Allah.
Ibnu Abbas menyatakan, antara sahabat baginda yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Abu Ubaidah yang telah membunuh bapanya dan Mus’ab ibnu ‘Umair yang telah membunuh saudaranya dalam peperangan Uhud. Saidina Ali dan sahabat-sahabat yang lain sanggup membunuh ahli keluarga mereka, manakala Saidina Umar sanggup membunuh bapa saudaranya Al-‘As ibnu Hisyam dalam peperangan Badar. Kesemua mereka yang terbunuh ini adalah kaum keluarga para sahabat yang mengingkari perintah Allah serta melancarkan perang terhadap Rasulullah dan umat Islam.
Keempat: Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri baginda Aisyah r.a. mengungkapkan bahawa ‘akhlak baginda adalah al-Quran’. Tanda kita kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya.
Firman Allah yang bermaksud, Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. (al-Hasyr: 7)
Adalah menjadi kewajipan terhadap umat baginda yang kasih dan sayang terhadap baginda untuk sama-sama memelihara akidah, mendaulatkan dakwah, menghidupkan syariat dan sunah baginda secara syumul. Syariat dan sunah Rasulullah perlu diterima secara mutlak dan perlu dilaksanakan sewajarnya tanpa sebarang alasan dangkal atau sebab-sebab yang tidak sepatutnya (yang hanya berpandukan logik akal semata-mata). Jika semua ini dapat kita laksanakan sambil mengharapkan keredaan Allah, ini bermakna kita telah memiliki tanda-tanda orang yang kasih dan cinta kepada baginda.
Sesungguhnya telah jelas kepada kita bahawa Rasulullah adalah insan yang paling layak dan wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya di sisi syarak.
|
|
|
Post by ikan patin on Apr 11, 2006 1:45:57 GMT -1
Syafaat tanda kasih Muhammad kepada umat
DARIPADA Anas bin Malik, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Allah akan menghimpunkan sekalian manusia pada hari kiamat, maka dengan sebab dahsyatnya keadaan di situ, mereka berasa berat dan resah gelisah, lalu mereka diilhamkan jalan untuk melepaskan diri daripada yang demikian.
“Mereka pun berkata sesama sendiri: "Bukankah elok kalau kita mencari orang yang dapat mengemukakan syafaat kepada Tuhan kita supaya Tuhan melepaskan kita daripada penderitaan tempat ini?"
“Nabi SAW: bersabda: "Setelah itu, mereka pun pergi menemui Nabi Adam serta berkata: Engkau ialah bapa sekalian manusia, Allah telah menciptakanmu dengan kekuasaan-Nya dan meniupkan padamu dan roh-Nya, serta Ia memerintahkan malaikat sujud kepadamu; tolonglah kemukakan syafaat kepada Tuhamu untuk kami supaya ia melepaskan kami daripada penderitaan tempat ini". Mendengarkan yang demikian, Nabi Adam berkata: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu", (dan pada satu riwayat, Nabi Adam berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu), serta baginda menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu baginda berasa malu kepada Tuhannya.
“Tetapi, kata Nabi Adam: "Pergilah kamu menemui Nabi Noh, rasul yang pertama yang telah diutus oleh Allah.” Nabi SAW, bersabda: "Setelah itu mereka pun pergi menemui Nabi Noh. Maka, Nabi Noh menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu", (pada satu riwayat, Nabi Noh berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu"), serta baginda menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu baginda berasa malu kepada Tuhannya.
“Tetapi, kata Nabi Noh: "Pergilah kamu menemui Nabi Ibrahim yang Allah telah jadikan dia orang yang berdamping di sisi-Nya." Nabi SAW, bersabda: "Setelah itu mereka pun pergi menemui Nabi Ibrahim, maka Nabi Ibrahim menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu, (dan pada satu riwayat: Nabi Ibrahim berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu"), serta menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu baginda berasa malu kepada Tuhannya.
“Tetapi, kata Nabi Ibrahim: "Pergilah kamu menemui Nabi Musa yang Allah berkata-kata dengannya serta memberikannya kitab Taurat. Nabi SAW bersabda: "Setelah itu mereka pun pergi menemui Nabi Musa, maka Nabi Musa menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu, (dan pada satu riwayat: Nabi Musa berkata: Aku bukanlah orang yang layak untuk itu), serta menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu baginda berasa malu kepada Tuhannya.
“Tetapi, kata Nabi Musa: "Pergilah kamu menemui Nabi Isa. Roh Allah dan kalimah-Nya. Nabi SAW bersabda: "Setelah itu mereka pun pergi menemui Nabi Isa Roh Allah dan kalimah-Nya, maka Nabi Isa menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu", (dan pada satu riwayat: Nabi Isa berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu").
“Tetapi kata Nabi Isa: "Pergilah kamu menemui Nabi Muhammad SAW terdahulu dan yang terkemudian." Kata rawi: Rasulullah SAW bersabda: "Setelah itu mereka pun datang menemuiku, aku pun memohon izin mengadap Tuhanku, lalu diizinkan"; (dan pada satu riwayat: Baginda bersabda: "Setelah itu mereka datang menemuiku, aku pun berkata: "Akulah orang yang layak untuk itu, akulah orang yang layak untuk itu. Maka, aku pun pergi serta memohon izin mengadap Tuhanku, lalu diizinkan), maka apabila aku mengadap-Nya, aku merebahkan diri sujud, lalu dibiarkan-Nya aku sujud seberapa lama yang Allah kehendaki, kemudian diserukan daku: Wahai Muhammad! angkatlah kepalamu, dan berkatalah apa saja hajatmu supaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan, dan kemukakan syafaat supaya dikabulkan syafaatmu; maka aku pun mengangkat kepalaku serta memuji Tuhanku dengan puji-pujian yang diajarkan kepada aku oleh Tuhanku `Azza wa Jalla; kemudian aku kemukakan syafaatku;" (dan pada satu riwayat: Baginda bersabda: "Lalu diizinkan daku mengadapnya, maka aku pun berdiri mengadapnya serta memujinya dengan puji-pujian yang aku tidak dapat menyebutnya sekarang, yang Allah mengilhamkannya kepadaku, kemudian aku menumuskan muka sujud kepadanya hingga aku diseru: "Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu dan berkatalah apa saja nescaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu; Maka aku pun merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Kasihanilah umatku! Kasihanilah umatku!), (dan pada satu riwayat lagi: Baginda bersabda: "Maka aku pun mengangkat kepalaku serta memohon dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Segerakanlah apalah juga kiranya, perbicaraan hitungan amal khalayak yang ramai ini.” (Al-Jama'ah)
Syafaat yang disebut dalam hadis yang panjang itu ialah yang dinamakan "al-Syafaah al-Uzma" (syafaat yang besar sekali) yang ditentukan untuk Nabi Muhammad SAW saja mengemukakannya ke hadrat Tuhan 'Azza wa Jalla.
Selain itu, Rasulullah SAW menyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah: “Bahawa ada beberapa golongan yang akan diizinkan Tuhan untuk mengemukakan syafaat supaya dimasukkan orang yang tertentu ke dalam syurga.
Mereka ialah malaikat, nabi-nabi, alim ulama, orang yang gugur syahid dalam perjuangan menegakkan agama Allah serta orang mukmin yang selamat daripada memasuki neraka dan hendak menolong membebaskan saudara mereka yang beriman, bersembahyang dan berpuasa dengan mereka, tetapi saudaranya itu dimasukkan ke dalam Neraka disebabkan mereka mati dengan tidak bertaubat daripada dosa.”
Setelah Tuhan Yang Maha Adil, kabulkan syafaat Nabi Muhammad SAW bagi melepaskan orang ramai daripada penderitaan huru-hara Padang Mahsyar, maka mahkamah keadilan Tuhan pun dibuka. Orang ramai dihadapkan kepada perbicaraan Tuhan dengan keadaan berbaris teratur (Surah al-Kahfi) dan bumi Padang Mahsyar pun terang benderang dengan cahaya keadilan Tuhan.
Buku catatan amal tiap-tiap seorang disediakan untuk dibahagikan kepada masing-masing. Nabi-nabi dan saksi yang berkenaan dibawa ke situ serta perbicaraan dijalankan dengan seadil-adilnya. (Surah az-Zumar, ayat 69).
Tiap-tiap seorang pada ketika dijalankan perbicaraannya - disoal dan diperiksa satu persatu; tidak akan tersembunyi sesuatu pun daripada bawaan hidupnya di dunia, sekalipun yang sulit. (Surah al-Haqqah, ayat 18)
Petikan Mastika Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
|
|
|
Post by ikan patin on Apr 11, 2006 1:47:03 GMT -1
Lima perkara wajar dihayati sempena Maulidur Rasul Oleh Mohd Zamri Shafie
Memperingati jasa Baginda dalam mencari keredaan Allah
SABAN tahun, tabir Rabiulawal disingkap memperingati insan agung iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutuskan bagi memimpin umat manusia. Menjadi kebiasaan bagi kaum Muslimin dan Muslimat seluruh dunia dari Timur hingga ke Barat menyambut Maulidur Rasul.
Persoalannya, bagaimanakah kita menyambut Maulidur Rasul? Apakah bentuk pengisian paling penting dalam sambutan Maulidur Rasul?
Tujuan utama menyambut Maulidur Rasul adalah untuk memperingati jasa dan perjuangan Baginda dalam memperjuangkan agama Allah (Islam) supaya ia sampai kepada umatnya hari ini.
Selain memperingati Baginda, tujuan paling besar merangkumi perkara yang kita lakukan ialah mencari keredaan Allah, yang akhirnya menjadi sebab untuk mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW di akhirat kelak. Maka, semestinya kita wajib menghayati sunnah Baginda dalam setiap urusan kehidupan, terutama dalam perkara berikut:
Mengikut jejak Baginda dalam ibadah kepada Allah.
Rasulullah SAW dalam melakukan ibadahnya kepada Allah amat tekun sekali, sehingga digambarkan menerusi sebuah hadis yang menunjukkan kaki Baginda bengkak kerana berdiri terlalu lama dalam 'membangunkan malam' dengan qiamullail.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, katanya, apabila Rasulullah SAW bangun malam untuk melakukan solat, bengkak kedua-dua kakinya. Apabila ditanya oleh Aisyah: “Ya Rasulullah SAW, mengapa engkau masih bersusah payah begini, sedangkan diampun bagimu dosa yang telah lalu dan akan datang?” Jawab Baginda: “Wahai Aisyah, bukankah aku ini hanya seorang hamba yang patut bersyukur?" (Hadis riwayat Ahmad).
Mengikut jejak Baginda dalam perkara taat kepada Allah.
Rasulullah SAW digambarkan seorang yang amat menjaga hubungannya dengan Allah dalam setiap perkara seperti sentiasa berdoa ketika keluar dari rumah, ketika makan, bangun dari tidur dan banyak lagi. Baginda tidak lekang memperbanyakkan berdoa dan merendah diri kepada Allah.
Mencontohi Rasulullah SAW dengan ketinggian akhlak dan budi pekertinya.
Rasulullah SAW reda dalam setiap perkara yang menimpa dirinya. Baginda meninggalkan kesan yang cukup besar dalam gerakan dakwah Islam yang semestinya diikuti oleh umatnya hari ini.
Baginda rela dicerca, dihina dan diberikan tentangan yang maha hebat ketika menyampaikan dakwah Islam sehingga menitis darah dari tubuhnya semata-mata menuntut keredaan Allah. Rasulullah SAW mendoakan mereka yang menentang usaha dakwahnya dengan berdoa: "Ya Allah, berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui." Berkat kesabaran dan ketabahan Baginda, Islam dapat bertapak di hati kita umat Islam hari ini.
Imam Ahmad Ibn Hanbal meriwayatkan daripada Aisyah, katanya: "Nabi Muhammad SAW tidak pernah memukul khadam lelaki dengan tangannya dan tidak juga memukul khadam perempuan, juga tidak pernah memukul dengan tangannya melainkan dalam perkara jihad pada jalan Allah. Tidak pernah memilih di antara dua perkara melainkan yang disukainya ialah perkara yang paling mudah dilakukannya supaya tidak berdosa.
Apabila perkara itu mengandungi dosa, Bagindalah orang yang paling menjauhi daripada dosa dan tidak menuntut bela bagi dirinya daripada sesuatu yang didatangkan kepadanya, melainkan jika perkara itu mencemarkan kehormatan Allah."
Mencontohi Rasulullah SAW dengan kesungguhan dan tetap pendirian ketika berdakwah.
Kesungguhan Nabi Muhammad SAW dalam berdakwah tidak dapat ditandingi. Begitu juga, pendirian Baginda yang tetap dalam memperjuangkan agama Islam dan syariatnya. Prinsip perjuangan tetap teguh walaupun terdedah dengan pelbagai tentangan.
Mencontohi Rasulullah SAW dalam cintanya terhadap sahabat dan umatnya.
Kasih sayang Rasulullah SAW terhadap sahabat dan umatnya tidak dapat disangkal lagi. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman." (Surah at–Taubah, ayat 128).
INTIPATI:
Mengikut jejak Baginda dalam ibadah kepada Allah.
Mengikut jejak Baginda dalam perkara taat kepada Allah.
Mencontohi Rasulullah SAW dengan ketinggian akhlak dan budi pekertinya.
Mencontohi Rasulullah SAW dengan kesungguhan dan tetap pendirian ketika berdakwah.
Mencontohi Rasulullah SAW dalam cintanya terhadap sahabat dan umatnya.
Penulis ialah Imam Masjid Putra, Putrajaya
|
|
|
Post by khalid bin lukman on May 26, 2006 0:50:55 GMT -1
Hikmah pendekatan terbaik pendakwah sampaikan mesej
ALLAH berfirman bermaksud: “Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)
Ayat itu menjadi dalil kewajipan menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam supaya menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam, di samping mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah. Ia kerana jika seorang pendakwah dengan tidak mengambil kira pendekatan hikmah, pasti kelompok sasaran semakin jauh daripadanya.
Ulama mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa perkara:
l Hikmah mengenal status manusia.
Pendakwah akan berhadapan dengan pelbagai ragam dan perangai manusia. Justeru, pendakwah hendaklah berdepan dengan golongan sasaran masing-masing dengan cara sesuai dengan tahap keilmuan dan kecerdasan mereka. Pendakwah juga perlu mengambil kira aspek pemikiran, perasaan dan sahsiah peribadi mereka.
Pendakwah yang berjaya ialah seorang yang mampu menyampaikan mesej dakwah dan buah fikirannya kepada semua golongan, sekalipun berbeza dari segi pemikiran, sahsiah peribadi dan darjat mereka.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Kami diperintah supaya berbicara dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka).” (Hadis riwayat Muslim)
l Hikmah memilih masa yang sesuai.
Pendakwah mesti bijak memilih waktu dan suasana yang sesuai seperti bilakah masanya perlu diam, berbicara dan begitulah seterusnya sehingga dapat memperoleh hasil yang baik daripada strateginya.
Rasulullah SAW pada permulaan Islam, menerima perintah Ilahi seperti firman Allah bermaksud: “Berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat.” (Surah al-Syu'ara', ayat 214)
Bertolak dari sini, Rasulullah SAW memulakan misi dakwahnya secara rahsia, terutama dalam tiga tahun pertama melalui hubungan individu. Baginda mendekati insan yang hampir dengannya dan kaum kerabatnya terdekat untuk sama-sama berkumpul dan bernaung di bawah lembayung Islam.
Rasulullah SAW juga mempunyai kesenian dalam berbicara. Baginda berbicara buat pertama kalinya pada kaum kerabatnya dengan begitu ringkas kerana mereka baru mendengar mengenai Islam. Ia kerana jika bicara terlalu panjang lebar, nescaya mereka menjauhi Baginda.
Bicara Rasulullah SAW pada asasnya sangat padat dengan hikmah dan rapi susunan bahasanya. Rasulullah SAW berbicara ibarat seorang yang membangun atau mendirikan sebuah rumah, menyusun batu-bata selapis demi selapis sehingga menjadi sebuah bangunan yang kuat, kukuh dan indah.
l Hikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.
Manusia pada hakikatnya amat susah untuk menerima sesuatu buah fikiran baru yang dirasakan sebagai asing sama sekali.
Justeru, pendakwah mesti pandai atau berhikmah dalam memulakan perbicaraan yang menuntut tafsiran mendalam berpandukan ilmu sahih.
Pendakwah hendaklah berhikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bertolak dan dari sana maju dengan beransur-ansur, selangkah demi selangkah dengan istiqamah ke arah matlamat yang ingin ditujui.
l Hikmah dalam erti uswah hasanah.
Satu lagi saluran berkesan untuk menyampaikan dakwah ialah ‘uswah hasanah’ iaitu contoh teladan yang baik dan ‘lisanul hal’ iaitu bahasa yang bersesuaian dengan keadaan.
Rasulullah SAW ketika pertama kali menjejakkan kaki di Madinah al-Munawwarah dan sebelum masuk kota, mendirikan masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan dalam sejarah Islam.
Dalam proses pembinaan, Baginda mengangkat sendiri batu yang begitu besar sehingga terhuyung-hayang disebabkan beratnya batu itu. Seorang sahabat datang dan berkata kepada Baginda: “Ya Rasulullah SAW biarkanlah! Serahkanlah kepadaku untuk aku mengangkatnya. Rasulullah SAW menjawab: Tidak, ambil saja batu lain yang seperti ini.”
Demikianlah Rasulullah SAW mempamerkan teladan yang cukup berkesan kepada sahabatnya. Baginda turut bekerja bersama sahabat Muhajirin sehingga masjid itu sempurna dibina.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bukan saja pandai mengarah dan banyak bercakap, malah banyak membuat kerja.
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi sumberLberita harian:26.05.06
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Jun 12, 2006 6:26:15 GMT -1
Pemimpin kanan Pas tak setuju
Dewan Pemuda, Muslimat nasihat ahli elak keganasan
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kanan Pas, termasuk Dewan Pemuda dan Muslimat, tidak bersetuju dengan saranan presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) supaya ahli melontar batu kepada pihak berkuasa yang menghalang demonstrasi jalanan.
Walaupun, mereka mengaku demonstrasi satu pendekatan yang akan diteruskan Pas untuk menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat dalam pelbagai isu, ia mesti secara aman, bukannya bertindak balas dengan membaling batu.
Hadi, ketika bertemu media selepas menutup Muktamar ke-52 parti itu di Kompleks Pas Kedah Jumaat lalu, berkata walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi di luar negara menggunakan senjata, Pas berasakan membalas tindakan polis dengan menggunakan batu adalah memadai. Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam bagaimanapun berkata, beliau percaya apa dimaksudkan Hadi itu merujuk kepada demonstrasi aman tetapi keadaan tidak terkawal boleh berlaku jika pihak berkuasa melakukan provokasi.
“Dalam demonstrasi secara aman sebelum ini tak ada kejadian baling batu berlaku. Saya yakin tiada ahli Pas sampai ke tahap itu dan saya rasa apa dimaksudkan Presiden adalah demonstrasi aman akan berlaku jika polis tidak mengganggu,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata dewan itu tidak pernah meminta ahli merancang melakukan tindak balas terhadap polis, mahupun membawa senjata ketika menyertai demonstrasi aman anjuran parti itu.
“Saya sendiri pernah ditahan dan melalui proses undang-undang tetapi saya tidak pernah menggalakkan anak buah bertindak ganas. Sudah banyak demonstrasi saya pimpin dan belum ada lagi kes membaling batu, kalau pun ada ia berlaku dengan sendiri atau spontan berdasarkan keadaan,” katanya.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, juga berkata pihaknya tidak pernah meminta ahli bertindak balas sebaliknya mahu mereka menghentikan demonstrasi jika ada tindakan daripada pihak berkuasa.
Katanya, strategi itu perlu kerana tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan untuk memburukkan imej parti.
“Kita sering kali ingatkan ahli supaya apabila ada unsur provokasi maka hentikan demonstrasi, malah jika ditangkap, jangan melawan. Jadi pada pandangan saya, demonstrasi Pas adalah secara aman.
“Tidak timbul soal membalas balik kepada pihak berkuasa tetapi jika dikongkong sangat pun maka kemarahan pengikut akan meluap-luap,” katanya.
--------------tajuk lainnye--------------
Demonstrasi baling batu bukan cara Islam
TUNJUK perasaan secara berdemonstrasi di jalanan bukanlah satu budaya di negara ini, apa lagi membaling batu kepada pihak berkuasa. Ia bukan cara kita dan tidak seharusnya digalakkan walaupun atas nama untuk menuntut hak atau keadilan kerana masih banyak cara lain yang dibenarkan undang-undang. Demonstrasi mungkin bebas di negara lain tetapi sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat, berdisiplin dan mempunyai budaya tersendiri, tidak ada sebab mengapa kita harus menjadikannya satu amalan. Justeru, adalah pelik apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sanggup memberi restu kepada penyokong parti berkenaan untuk menggunakan demonstrasi sebagai saluran menyatakan bantahan dan menyuarakan pendapat kerana kononnya ia cara terbaik menyampaikan mesej kepada masyarakat. Malah, ketika berucap menutup Muktamar Pas di Alor Star Jumaat lalu, Hadi berkata, penyokong parti itu juga boleh bertindak balas membaling batu kepada pihak berkuasa yang menghalang mereka berdemonstrasi.
Walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi di luar negara menggunakan senjata, Pas berasakan membalas tindakan polis dengan menggunakan batu adalah memadai. Presiden Pas itu juga mempertahankan tindakan ahli Pas berdemonstrasi menentang kenaikan harga minyak dan tarif elektrik baru-baru ini, kerana berpendapat itu cara terbaik. Selain Hadi, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu juga sebelum itu membangkitkan bahawa kaedah demonstrasi terbukti berkesan apabila ada parti politik di luar negara berjaya menumbangkan kerajaan.
Kita percaya rakyat yang mempunyai akal waras tentu akan bertanya undang-undang apakah yang diguna pakai oleh Hadi dan Mohamad Sabu ini? Sepatutnya sebagai pemimpin sebuah parti yang mendakwa berjuang atas landasan Islam, mereka tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.
Islam mengajar umatnya mengawal diri malah ketika marah sekali pun. Dalam hubungan ini, rakyat termasuk ahli Pas tentunya mengharapkan Hadi memberi nasihat kepada mana-mana pihak yang cuba menyebabkan berlaku kekacauan dan menunjuk perasaan, bukan sebaliknya. Barangkali kenyataan Hadi itu mencerminkan betapa terdesaknya beliau selepas partinya tewas teruk pada pilihan raya umum lalu sehingga sanggup berbalik kepada cara lamanya, untuk mendapat sokongan. Kita tentu tidak lupa Amanat Haji Hadi yang mengkafirkan orang Islam yang bukan penyokong Pas satu ketika dulu. Bagaimanapun, pemimpin generasi muda Pas buat sementara waktu berusaha menukar pendekatan parti itu ke arah lebih terbuka dan rasional. Ternyata pendekatan itu masih tidak dapat diterima oleh golongan pemimpin lama seperti Hadi, lalu beliau berbalik kepada cara lama.
Kita cuma berharap seruan Hadi supaya ahli Pas bertindak secara kekerasan, sehingga sanggup membaling batu kepada anggota polis itu tidak dipandang serius pengikutnya. Kita percaya sebahagian besar ahli Pas sekarang golongan berpelajaran dan tahu perbuatan seumpama itu bukan saja salah dari segi moral malah, salah dari segi undang-undang. Seperti ditegaskan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kelmarin nasihat Hadi itu sememangnya melanggar undang-undang. Malah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri berpendapat Hadi turut mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan beliau tidak sepatutnya mengeluarkan nasihat yang tidak baik kepada ahlinya. Kita sependapat dengan Perdana Menteri bahawa demonstrasi, jika dibiarkan secara bebas, boleh menjejaskan ketenteraman awam.
(12.06.06-BH)
|
|
|
Post by kucing mus on Jun 12, 2006 7:08:44 GMT -1
Ulasannya.... ;D Di dalam pengistilahan bahasa Arab, demonstrasi boleh dibahagikan kepada dua:
1) Demonstrasi Liar (Muzhaharah) : iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat di tempat-tempat umum untuk menuntut dan membantah perkara-perkara tertentu yang sudah menjadi tugas negara atau orang yang bertanggungjawab. Di dalam Muzhaharah ini, para penunjuk perasaan biasanya akan melakukan kerosakan, rusuhan, kemusnahan, membakar harta milik negara, harta umum ataupun harta individu.
2) Demonstrasi Aman (Masiirah) : iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat untuk menyokong, menuntut dan juga membantah sesuatu. Tindakan (Masiirah) ini tidak akan disertai aktiviti merosakkan, menghancurkan atau membakar harta benda negara, awam atau individu. Para penunjuk perasaan akan sentiasa memerhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara', nilai-nilai Islam dan kemaslahatan umat Islam. Mereka juga akan sentiasa menjaga adab-adab sebagai orang Islam.
Hukum Demonstrasi Menurut Islam
Demonstrasi Liar (Muzhaharah) jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Ini kerana, di dalam melakukan demonstrasi, ia disertai dengan beberapa aktiviti yang diharamkan seperti mengganggu lalu-lintas, menghancurkan, merosak atau membakar harta benda, mengganggu ketenteraman awam dan sejenisnya. Tidak kurang pula, Muzhaharah ini mengakibatkan rusuhan, pergaduhan, perkelahian, penganiayaan, bahkan pembunuhan. Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh Islam.
Sementara itu, Demonstrasi Aman (Masiirah) adalah satu bentuk demonstrasi yang dibolehkan/diharuskan (mubah). Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia dilakukan dengan tertib dan aman, dengan memperhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara', termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan; ia dilakukan tanpa kekerasan, tidak mengganggu lalu-lintas dan hak-hak umum, tidak membakar, merosak dan menghancurkan barang-barang milik umum, negara atau individu. Oleh yang demikian, Masiirah ini jelas-jelas diperbolehkan oleh Islam.
|
|
|
Post by kucing mus on Jun 30, 2006 2:19:50 GMT -1
Anak sulung Rasulullah tidak suka kemewahan Oleh Ahmad Yusaidi Abd Raffar
KETIKA usia Fathimah Az Zahra yang dikenali sebagai Puteri Rasul menginjak dewasa, bangsawan Arab mula memasang cita-cita untuk menyuntingnya. Hanya apabila Ali Abi Thalib masuk melamar, Rasulullah SAW bersetuju dengan kesediaan puterinya itu.
Beliau akhirnya dinikahkan kepada Saidina Ali yang sebetulnya sudah tidak asing lagi kepada keluarga Rasul. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua hijrah.
Puteri Rasulullah SAW hidup bersama di dalam rumah Saidina Ali dengan ikhlas dan bahagia, penuh ketenteraman dan kedamaian. Kesederhanaan hidup tidak pernah berpisah darinya, dan rumahnya tidak pernah dihiasi dengan segala kemewahan.
Puteri Rasulullah SAW, isteri kepada Saidina Ali, seorang pahlawan Islam, pejuang dan pembela kebenaran, pengibar panji kemenangan dan jihad. Kerana itu, menjadi kewajipannya untuk menempatkan diri sedarjat dengan kedudukan penting suaminya.
Menyentuh masa hidup berumahtangga dengan Puteri Nabi ini, Saidina Ali pada kemudian harinya mengenang kembali; “Demi Allah, aku tidak pernah marah atau tidak suka terhadap sesuatu hal hingga dia dipanggil menghadap Allah. Dia pun tidak pernah membuatku marah atau tidak menyukai sesuatu. Setiap kali aku memandangnya, serta merta lenyaplah segala derita dan kesedihanku.”
Di dalam mengatur kehidupan sebagai seorang ibu, Puteri Rasulullah SAW memberikan contoh terbaik mengenai peranan seorang ibu.
Allah mengurniakan pasangan bahagia ini, putera puteri yang salih iaitu Hasan, Husein, Zainab dan Ummu Kalsum. Daripada beliaulah anak-anak suci ini memperoleh sifat sabar, tawaduk, lembut, pemaaf dan segala kebaikan. Daripada bonda suci inilah mereka mempelajari kemanisan ibadat.
Putera sulung beliau Al- Hasan berkata, “Aku melihat ibuku, Puteri Rasulullah SAW berdiri di mihrabnya pada malam Jumaat. Beliau terus menerus rukuk dan sujud, hingga tiba waktu subuh. Aku mendengar ibu berdoa untuk seluruh kaum mukminin dan mukminat dengan menyebut nama mereka satu persatu. Beliau banyak mendoakan mereka, dan tidak berdoa untuk dirinya sendiri. Kerana itu aku bertanya kepadanya, "Ibu, kenapa ibu tidak berdoa untuk diri ibu seperti ibu mendoakan orang lain?" Ibu menjawab, "Anakku, tetangga dulu, baru rumah sendiri.”.
Puteri Rasulullah SAW lahir dengan membawa sifat, roh dan akhlak Rasulullah SAW. Beliau mewarisi apa yang ada pada diri Rasulullah SAW dan sangat mirip dengan Baginda. Tidak ada seorang pun di dunia ini yang menjadi cerminan Rasulullah SAW baik dalam sifat dan perilaku selain puterinya.
Untuk itu, 'Aisyah berkata, “Aku tidak melihat adanya seorang pun yang mirip Rasulullah SAW baik dalam sifat, mahupun cara berdiri dan duduknya kecuali Fathimah" juga, "Aku tidak melihat seorang pun yang lebih mirip kepada Rasulullah SAW dalam berkata dan berbicara selain Fathimah.”
Tidak mungkin di sini kita melukiskan seluruh peribadi Puteri Rasulullah SAW. Beliau, mewarisi keperibadian Maryam Binti Imran yang di dalam al-Quran dilukiskan sebagai wanita suci. Waktunya dipenuhi dengan zikir dan ibadat. Seperti Maryam, beliau juga terkenal kerana ibadatnya.
Fathimah juga mewarisi watak bondanya sendiri. Beliau hidup sederhana di samping suaminya, Saidina Ali Abi Thalib. Ketika berbagai-bagai pertempuran mengembalikan Saidina Ali keribaan Puteri Rasulullah SAW dalam keadaan penuh luka, dengan penuh kasih sayang, beliau merawatnya.
Dalam keadaan sederhana sekalipun, beliau sangat pemurah. Pernah suatu ketika, Puteri Rasulullah SAW memberikan kalung hadiah peninggalan bondanya kepada seorang peminta sedekah, ketika beliau tidak mempunyai apa-apa yang dapat diberikan.
Beliau pernah menderita kelaparan tiga hari tiga malam kerana menyedekahkan makanannya kepada anak yatim, orang miskin dan bekas tawanan perang.
Seperti Khadijah, Puteri Rasulullah SAW ini mempersembahkan apa pun yang dimiliki beliau untuk Islam. Terakhir, beliau juga menghimpun akhlak Asiah Mazahim. Hari-harinya dipenuhi dengan perjuangan menegakkan keadilan.
|
|
|
Post by kucing mus on Jul 5, 2006 3:48:01 GMT -1
Pas bersedia maafkan Dr. Mahathir
KOTA KINABALU 4 Julai - Pas bersedia melupakan segala dendam politik terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sekiranya bekas Perdana Menteri itu sanggup bekerjasama dengan parti tersebut.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian itu bagaimanapun terpulang kepada kesediaan Dr. Mahathir sendiri untuk mengakui kesilapan semasa memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri.
Katanya, meskipun Dr. Mahathir adalah musuh utama politik Pas yang berkali-kali menjatuhkan parti itu, namun tindakan mengadakan hubungan baik perlu bagi ‘memperbetulkan keadaan’.
‘‘Dalam politik musuh boleh menjadi kawan dan kawan boleh menjadi musuh, itu adat politik dan perkara biasa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Pas yang dilihat cuba mengambil kesempatan di atas kritikan Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
utusan malaysia-050706
|
|