Post by lang buana on Mar 31, 2006 8:01:18 GMT -1
Jawapan Kepada Astora Jabat
Astora Jabat (AJ) melalui artikelnya di dalam majalah Al-Islam keluaran April 2006 yang bertajuk Penubuhan Parti Islam Baru di Malaysia telah menulis panjang lebar berkenaan Hizb-ut-tahrir (HT).
Artikel berkenaan parti ini telah dimuatkan dalam 6 halaman, memenuhi lebih kurang 10% dari jumlah ruangan 84 mukasurat. Pihak pembaca yang dapat mengkaji dengan teliti tulisan beliau ini, pasti mereka akan mendapati tulisan AJ yang sebenar adalah amat sedikit sekali; yang banyak dimuatkan adalah artikel copy & paste dari laman web mykhilafah, Hizb-ut-tahrir dan laman web PAS.
Dari segi kerangka penulisan pula, AJ pembukaan artikel menceritakan tentang seminar Khilafah dan Alam Melayu, sebagai sekapur sirih untuk membantai Hizb-ut-tahrir yang beliau label sebagai puak pengganas dan pelampau agama. Penulis juga seolah-olah ingin membuktikan kepada pembaca bahawa dakwaan beliau adalah benar kerana adanya penglibatan Salleh Sariya dalam percubaan membunuh Anwar Sadat. Yang menariknya lagi penulis tanpa segan silu telah mengitar semula artikel setahun yang lepas mengenai komen Tuan Guru Haji Abdul Hadi terhadap Hizb-ut-tahrir. Seterusnya AJ membuat komentari mengenai HT dengan dakwaan tanpa asas: "Bagaimanapun, semua bahan mengenai HT dalam Bahasa Melayu Malaysia, Bahasa Melayu Indonesia dan Bahasa Inggeris tidak sama dengan bahan-bahan yang terkandung dalam buku para pemimpinnya walaupun ada yang merupakan terjemahannya kerana telah diolah dan diubah suai, supaya sesuai dengan pembaca Malaysia, pembaca Indonesia dan pembaca berbahasa Inggeris". Kemudian penulis mengemukakan petikan dari kitab HT sendiri untuk menguatkan hujah.
Sanggahan Terhadap Dakwaan AJ
Dari penulisan ini, kita dapat saksikan sendiri jenayah akademik yang dilakukan oleh orang yang fanatik kepada sekularisme seperti AJ. Bagi menyanggah penulisan beliau yang penuh dengan kesalahan, perlu kami jelaskan terlebih dahulu hakikat sebenar mengenai Salleh Sariya kepada umat. Salleh Sariya bukannya dari anggota Hizb-ut-tahrir, dan Hizb-ut-tahrir tidak ada kaitan dengan cubaan untuk membunuh Anwar Sadat. Salleh Sariya pernah mengkaji beberapa pelajaran dengan HT sebelum itu. Namun Salleh Sariya meninggalkan HT kerana beliau tidak bersetuju dengan jalan perjuangan Hizb (perjuangan tanpa senjata). Selepas dia meninggalkan HT dia menggunakan caranya sendiri yang tidak ada kaitan dengan Hizb-ut-tahrir. Kekeliruan AJ dalam penulisan jelas terserlah apabila beliau cuba mengaitkan HT dengan tindakan bersenjata akibat dari pengkajiannya yang bersifat 'serong' untuk mencari-cari kesalahan gerakan-gerakan Islam. Pendapat peribadi AJ terhadap HT ternyata jauh panggang dari api. Tariqah dakwah HT adalah tariqah Rasulullah di mana Rasulullah tidak pernah mengangkat senjata dalam usaha baginda untuk menegakkan Islam. Fakta ini sudah diketahui di mana-mana sahaja HT bergerak di seluruh dunia.
AJ nampaknya ingin membuktikan kepada umat bahawa Hizb 'menipu' umat tentang perjuangan HT yang sebenar dengan tujuan mengaburi pemikiran sebenarnya sebagaimana yang didakwa oleh AJ di halaman 4, "Bagaimanapun, semua bahan mengenai HT dalam Bahasa Melayu Malaysia, Bahasa Melayu Indonesia dan bahasa Inggeris tidak sama dengan bahan-bahan terkandung dalam buku para pemimpinnya walaupun ada yang merupakan terjemahannya kerana telah diolah dan diubah suai, supaya sesuai dengan pembaca Malaysia, pembaca Indonesia dan pembaca berbahasa Inggeris". Untuk membuktikan kebatilan hujah AJ ini, kami ingin memetik petikan yang ke-empat yang diambil oleh AJ. Dengan hanya mengeluarkan kenyataan umum tanpa fakta, bukan sahaja Astora gagal menunjukkan bahawa HTM atau HTI atau HTB menterjemah dengan salah, bahkan AJ sendiri telah menterjemah karya Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani dengan cara yang salah. Sebagai buktinya kami utarakan hujah di bawah:
Petikan ke-empat ini adalah copy & paste AJ dari buku Takattul Hizbi ms. 54, yang kononnya mengandungi fakta yang sengaja disembunyikan pihak HT.
Terjemahan Bahasa Inggeris
18. The third stage is acquiring the authorithy
The Hizb acquires the authority through the Ummah and the work is known as seeking Nusrah. It implements the ideology in its totality, which is known as the radical method. This method does not allow sharing authority in government, but seizes complete power and uses it as a method to implement the complete ideology. It does not accept the gradual method, regardless of any existing circumstances.
Terjemahan bahasa Indonesia
18. Tahap yang ketiga adalah tahap pengambil-alihan pemerintahan.
Partai mengambil alih pemerintahan melalui umat dan menerapkan ideologi secara sekaligus. Inilah yang disebut metode revolusioner. Method ini tidak membolehkan partai bergabung ke dalam pemerintahan yang menerapkan hukum Islam secara parsial. Partai harus mengambil alih pemerintahan secara total dan menjadikannya sebagai metode untuk menerapkan ideologi, bukan sebagai tujuan perjuangan. Method ini mengharuskan penererapan ideologi Islam secara revolusioner, tidak membolehkan penerapan ideologi secara bertahap, bagaimanapun juga keadaannya."
Pembaca yang memahami bahasa Arab pasti tidak akan menemukan manipulasi dari karya asal dalam terjemahan petikan ke-empat ini, dan HT tidak berhasrat untuk mengaburkan mana-mana pemikiran asalnya. Bagi kami tulisan di atas adalah jelas, bahawa HT inginkan perubahan yang bersifat inqilabiah iaitu perubahan yang total di mana hukum-hakam Islam diterapkan 100% bukannya dipilih-pilih sesuai dengan kehendak hawa nafsu. Apa yang diingini oleh HT adalah penerapan Islam yang syumul.
AJ telah menterjemah kalimah inqilabiyyah sebagai rampasan kuasa untuk mengelirukan umat dan secara tidak langsung untuk mengatakan bahawa perjuangan HT adalah dengan cara fizikal (bersenjata). Perlu dipertegaskan di sini bahawa HT tidak menyokong tindakan bersenjata atau tindakan fizikal sebagai jalan untuk mendirikan Khilafah. Hal ini jelas termaktub dalam tulisan pengasas HT sendiri dalam kitab Mafahim HT ms. 74-76 yang menjelaskan bahawa meneladani (ta'asi) perbuatan Rasulullah dalam melakukan perubahan sosio-politik masyarakat adalah dengan cara fikriyyah (intelektual) dan dakwah, bukannya dengan cara yang lain. Banyak lagi tulisan HT yang menolak cara fizikal (bersenjata) semasa bergerak dalam melakukan perubahan ke atas masyarakat. HT membatasi aktivitinya kepada aktiviti fikriyyah dan dakwah, sebagaimana tercatat dalam kitab Manhaj fi Taghyir, Ta'rif HT, Takattul Hizbi dan lain-lain. HTM sendiri telah mengeluarkan Sautun Nahdhah yang bertajuk Perjuangan Intelektual Tanpa Senjata yang sarat dengan dalil dan hujah untuk menerangkan masalah ini.
Akhir kata ingin kami memberi nasihat kepada AJ supaya berlaku ikhlas dalam penulisan-penulisan beliau. Kajilah dengan betul pemikiran HT. Rujukan boleh dibuat kepada laman-laman web HT yang memenuhi ruangan siber serta buku-buku rasmi HT. Kejahilan saudara AJ tentang kami mungkin akan terubat sekiranya beliau mengkaji dengan ikhlas dan benar sumber-sumber tersebut. Usahlah membuat tulisan yang penuh dengan pembohongan dan melaga-lagakan kami dengan gerakan Islam yang lain. Sebagai Muslim, kami amat menghormati saudara seIslam kami meskipun kami berbeda pendapat.
Ingatlah, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam pernah berpesan "Jika anda tidak malu maka perbuatlah sesuka hatimu". Marilah kita sama-sama kembali kepada Islam dalam setiap pemikiran dan perbuatan kita. Semoga Allah memberi keredhaan dan kerahmatan kepada mereka yang berpegang teguh pada jalanNya.