Post by Kenyir on Dec 21, 2005 8:34:11 GMT -1
Tanggal 3 Mac 1924 merupakan titik tolak kepada perubahan politik dunia. Dunia Islam telah kehilangan pelindung mereka, entiti yang memastikan umat Islam sentiasa dijaga urusannya, Khilafah Utmaniyyah. Berita sebegini sudah pasti tidak dimasukkan ke dalam buku-buku sejarah Sekolah Melayu atau Inggeris. Gagasan penyatuan kaum Muslimin sememangnya adalah sebuah gagasan yang bermakna buat umat Islam dari segi hukum syara’ dan kekuatan politik. Islam menghalang umatnya dari berpecah-belah berasaskan sabda Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam dimana Islam mewajibkan umatnya bersatu di bawah satu kepimpinan.
”Apabila dibai’ah dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhirnya”
Imam Nawawi menjelaskan makna hadis ini dalam kitab syarahnya bahawa adalah haram bagi kaum Muslimin sedunia untuk memiliki banyak pemimpin. Ulama bersepakat bahawa tidak boleh mengangkat dua khalifah dalam satu masa samada dunia Islam semakin meluas ataupun tidak[1]
Kebaikan dari segi politik juga jelas jika kita mengkaji dengan teliti petikan ucapan Sultan Abdul Hamid II ini: “Kita berkewajiban untuk mempereratkan hubungan kita dengan umat Islam yang lain dengan cara yang lebih baik daripada apa yang berlaku sekarang. Tidak ada masa depan bagi kita melainkan dengan kesatuan. Jika kesatuan Islam terus berkekalan, ini bermakna Inggeris, Perancis, Rusia dan Belanda akan terus berada di bawah pengaruh kita, kerana satu perkataan sahaja daripada khalifah cukup untuk mengisytiharkan jihad di tanah-tanah Islam yang berada di bawah penguasaan negara-negara penjajah tersebut. Jika ini berlaku, sudah tentu akan menyebabkan malapetaka yang besar kepada salibiyyin. Sudah pasti, akan tiba harinya, ketika itu seluruh umat Islam akan berdiri sebagai seorang lelaki, dan mereka akan menghancurkan segala belenggu yang menghancurkan mereka” [2]
Umat Islam di Nusantara tidak kurang menunjukkan komitmennya dalam program Kesatuan Islam ini. Mereka menyokong Daulah Uthmaniyyah ketika peperangan menentang Yunani (Greek), terutama umat Islam Indonesia[3]. Menyedari hakikat ini Snouke Hurgronje telah menyeru kepada kerajaan Belanda agar menghalang konsul-konsul dan wakil-wakil Daulah Uthmaniyyah dari mengadakan hubungan dengan orang-orang Indonesia. Antara cadangan lain beliau adalah menghalang sebarang bantuan dari Indonesia kepada askar Daulah Uthmaniyyah, atau kepada janda dan anak-anak yatim dari syuhada yang gugur di medan pertempuran; mendoakan Sultan Abdul Hamid di dalam khutbah Jumaat di Indonesia juga perlu dihalang. Dia juga mencadangkan agar pendidikan agama di Indonesia diawasi, dan bab Fiqh jihad ditiadakan dari kitab Fiqh. Mereka juga disarankan untuk menghalang kemasukan Akhbar Arab ke di Indonesia[4]
Sesungguhnya Orientalis seperti Snouke memahami bahawa umat Islam tidak akan berjaya ditundukkan dan dikalahkan selama mana mereka mengaitkan akidah Islam mereka dengan kehidupan; memahami kedudukan mereka di pentas politik semasa serta memahami erti jihad dalam menetang penjajahan salibiyyin yang merampas negara dan kekayaan mereka, dan menerapkan sistem Barat ke atas umat Islam. Selama mana umat menganggap Khilafah sebagai pelindung mereka ini bermakna mereka akan sanggup bersatu menentang penjajahan bila ada seruan dari Khalifah. Namun sayang seribu kali sayang, Khilafah telah digulingkan. Orang sakit Eropah itu telah diracuni semasa sedang sakit tenat di perbaringan. Tiada lagi pelindung bagi umat – kecuali jika umat ini bangun dan kembali menegakkan Imamah ini sebagai suatu tanggungjawab yang terletak di atas pundak setiap seorang dari kita.
--------------------------------------------------------------------------------
[1] Imam Nawawi, Syarah Sahih Muslim, XII/232
[2] Sultan Abdul Hamid, Catatan Harian (Dairi), ms 145
[3] Dr Muhamad Redzuan Othman, Jamal al-Din al-Afghani, ms 11.
[4] Muhamad Dhiya Shihab dan Abdur al-Rahman Faraj, Islam di Indonesia, ms 45-59.