Masalah Umat ISLAM di ALAM Melayu dan Kewajiban Berdakwah
Pendahuluan
Umat Islam berbangsa Melayu merujuk kepada umat yang mendiami kebanyakan kawasan Asia Tenggara dan nusantara. Pada sesuatu ketika, umat ini sering menjadi perdebatan sama ada di dalam isu yang berkaitan ekonomi, politik dan sosiobudaya. Apatah lagi melihat umat ini dilihat sebagai umat yang lesu dan mempunyai banyak masalah, dan ini disuburkan dengan penjahan fizikal dan mental oleh kufar barat masih lagi mendarah daging di dalam jiwa mereka.
Begitu juga, dahulunya umat ini telah mempunyai sistem pemerintahan kerajaan-kerajaan yang besar seperti yang berpusat di Melaka, Johor Riau, Brunei, Sambas dan lain-lain. Bermula dari kerajaan di pesisir, telah berkembang dan dikembangkan melalui perdagangan antara kepulauan yang begitu dinamik dan progresif. Mereka memeluk Iswlam dan menjadikan pegangan hidup mereka dan kemudian menyebarkan agama ini dan menjadi alat perubahan dari jahiliah ke cahaya kebenaran agama Islam yang diterima oleh peribumi secara redha dan aman sejahtera. Dan inilah menunjukkan umat Melayu dulunya gemilang, cemerlang dan terbilang kerana Islam yang dijadikan cara hidup melalui contoh dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang disambung oleh para-para dai’ dan ulama pewaris nabi.
Masalah Umat Islam di Alam Melayu
Hari ini, umat ini sedang menempuh cabaran yang begitu besar. Cabaran ini gagal ditangani dengan baik hingga menyebabkan mereka terjebak ke dalam berbagai masalah yang semakin hari semakin meruncing. Masalah ini melanda berbagai aspek kehidupan tidak kira aqidah, politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan.
Banyak pihak telah cuba mengungkapkan masalah kelompok ini sama ada dalam bentuk tulisan atau ucapan. Mereka itu termasuklah mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir dalam bukunya Malay Dilemma (1970). Buku ini ditulis setelah melihat dan merasakan kedudukan orang-orang melayu, diskriminasi kaum dan kemiskinan penduduk khususnya di Kedah yang terdiri dari kaum tani menyayat hatinya, bersimpati dan menolongnya serta berusaha untuk membelanya..
Kemunduran umat ini diakibatkan oleh faktor penjajahan yang mengasingkan kehidupan tradisinya iaitu Islam, seterusnya terpisah dari dinamika kemajuan, tidak sebagaimana dicapai kaum-kaum lain di bandar-bandar dan menguasai tampuk ekonomi. Walaupun terdapat segelintir daripada umat ini yang berjaya, kebanyakkannya masih lemah di dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Umat ini juga seringkali dikaitkan dengan masalah dadah, jenayah, zina sehingga menunjukkan statistik yang tertinggi. Hampir setiap hari, media cetak dan elektronik akan memuatkan masalah kelompok ini secara sensasi. Sebagai contohnya, dalam bulan Jun 2006, kita dikejutkan dengan berita seorang pelajar perempuan UIA ditangkap berkhalwat di Kelatan dengan seorang pemain bola sepak import dari Argentina (Utusan Malaysia 10 Jun 2006). Permasaalahan lain yang melibatkan gejala sosial khususnya melibatkan remaja melayu yang beragama Islam yang meniru gaya hidup barat juga semakin berleluasa sehingga membimbangkan masyarakat. Akhbar Kosmo misalnya, mendedahkan tahun lalu sahaja terdapat lebih daripada 70,000 bayi luar nikah di Malaysia. Melayu yang sering sinonim dengan Islam juga dikatakan yang paling ramai membeli nombor ekor dan meminum arak. Perbelanjaan arak mencecah hampir 1 bilion. Begitu juga, 6 penjara yang berhampiran bandar mengalami kesesakan teruk kerana jumlah banduan yang ditempatkan berlebihan daripada kapisiti, sekali gus menyebabkan kebajikan mereka tidak terjaga sepenuhnya (Berita Harian, 17 Jun 2005). Di samping itu juga jumlah penagih dadah yang dikumpulkan setakat Jan – Mac 2006 telah menunjukkan sebanyak 72.73% penagihnya adalah kelompok ini. (Sumber :
www.adk.gov.my/buletin.html).
Amalan khurafat juga semakin merebak di kalangan umat ini. Walaupun dikatakan mereka adalah masyarakat moden, tetapi masih ramai yang mempercayai kepercayaan tahyul yang menyesatkan. Ini ditambah lagi dengan media yang semakin menyemarakkan kepercayaan tahyul dengan tujuan untuk melariskan jualan mereka serta meraih keuntungan sebanyak mungkin. Banyak kepercayaan karut yang dipercayai masyarakat seperti kemunculan individu yang mendakwa dirinya adalah ‘Nabi ‘untuk orang-orang Melayu di Kemensah, Ulu Klang, kemunculan ajaran Ayah Pin yang mempunyai perkampungan khas di Terengganu, amalan adat-adat seperti mandi membuang sial, mandi safar, memuja kampung, memuja semangat padi, memohon pertolongan dari jin dan lain-lain. Terdapat juga sebahagian kecil yang telah terpengaruh dengan kepercayaan-kepercayaan karut yang dianggap moden seperti Black Metal, Skin Head dan kepercayaan ‘Jangan Ikut Tuhan’ (JIT).
Penyelesaian Masalah.
“ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (TMQ At-Tahrim: 6)
Di dalam dunia yang dipenuhi dengan cabaran dan masalah khasnya cabaran daripada pemikiran dan budaya yang bertentangan dengan Islam, maka masyarakat ini wajib menjadikan Islam sebagai panduan untuk menyelamatkannya. Ini telah ditunjukkan oleh kepimpinan dakwah Rasulullah dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat Jahiliah Mekah, yang kita nampak sinonim dengan masalah pada hari ini.
Salah satu perkara yang diabaikan oleh ramai umat Islam ialah berdakwah. Selama ini mereka banyak berdiam diri menyaksikan kekufuran bermaharajalela di sekeliling mereka. Sementara itu musuh-musuh Islam dengan sekuat tenaga tanpa henti berusaha menghalang-halangi Islam agar tidak kembali ke pangkuan umatnya. Mereka tidak menginginkan Islam kembali berkuasa dan diakui keberadaannya.
Suatu hal yang harus disedari oleh orang Islam adalah, tanpa dakwah Islamiah, umat Islam tidak dapat mengubah kenyataan dan kezaliman yang melanda mereka, apalagi untuk menjadi umat yang berperanan memimpin kehidupan.
“Dan hendaklah ada di kalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada khair (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat perkara yang baik serta melarang perbuatan yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya.” (TMQ Ali-Imran: 104)
Apa dia dakwah?
Dakwah Rasulullah SAW adalah kaedah yang terbaik yang pernah ditunjukkan setelah kita melalui pelbagai cara yang tidak berkesudahan dan tidak membuahkan hasil. Dakwah Rasulullah bukan sekadar menyampaikan dan menasihati tetapi pada masa yang sama membina dan menjadikan suatu kaum dan masyarakat itu unik. Oleh itu, aktiviti dakwah Rasulullah dalam menyelesaikan masalah dan membina masyarakat jahiliah Mekkah, jelas bahawa dakwah yang beliau contohkan bukanlah calang-calang dakwah; dan bukan dakwah dan pembinaan yang hanya merupakan pemindahan ilmu atau melahirkan golongan ustaz yang tidak berkualiti; bukan pula hanya melakukan pembinaan untuk sekadar melakukan kewajiban. Dakwah yang dimaksudkan adalah pemindahan tsaqâfah (tatsqîf). Dakwahnya menjurus kepada perubahan sikap dan tingkah laku.
Dakwah Rasulullah bermula dengan pembinaan secara intensif (tatsqîf murakkaz) yang bertujuan menghasilkan ahli dai. Orang-orang yang dibina secara intensif semestinya telah memahami bahawa proses pembinaan tersebut bertujuan untuk memahami Islam yang akan diterapkan dan dikembangkan ke dalam masyarakat. Pembinaan intensif bermatlamat untuk membentuk keperibadian Islam (syakhshiyyah Islâmiyyah) para ahli dakwah. Mereka akan dibina corak pemikirannya menjadi corak berfikir Islami (‘aqliyyah islâmiyyah) dengan kajian dan penanaman pemahaman; jiwanya juga dibina menjadi jiwa yang Islami (nafsiyah Islâmiyyah) melalui keyakinan terhadap pemikiran-pemikiran Islam yang dikaji serta pengamalannya. Oleh yang demikian, pembinaan tersebut dilandaskan kepada:
1. Kaedah fikriyyah. Ertinya, pemikiran Islam disampaikan dengan disertai dalil dan cara penarikan maknanya (istinbâth), atau dengan faktanya jika berkaitan dengan realiti. Dengan cara demikian, para ahli dai benar-benar memahami apa yang mereka kaji dan pelajari.
2. Landasan iman. Ertinya, pemikiran Islam (baik akidah maupun syariatnya) yang sedang dikaji diyakini sebagai pedoman hidup, diyakini berasal dari Allah SWT yang bersumber dari wahyu. Pembinaan intensif bukan sekadar untuk kepuasan intelektual semata.
3. Amal. Ertinya, apa yang telah diketahui diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Setiap hukum syarak yang dipelajari dan belum dapat diterapkan wajib diperjuangkan untuk dapat dilaksanakan.
4. Dakwah. Ertinya, pemahaman yang telah dipelajari bukanlah untuk diri sendiri, tetapi untuk disebarkan ke masyarakat.
Dengan pembinaan intensif seperti ini akan menghasilkan ahli-ahli dai’ yang rajin beribadah di masjid (ahlul mihrab) sekaligus perajurit di medan jihad (bathalul jihâd), pejuang (mujâhid) dan ahli ibadah (‘âbid). Para ahli inilah yang akan berjuang menyatukan Islam dengan umat di tengah-tengah masyarakat melalui berbagai pembinaan, baik intensif maupun umum.