Post by super on Dec 15, 2006 10:33:38 GMT -1
Amerika jangka konflik radikal lebih lama daripada ancaman komunis
WASHINGTON: Seorang jeneral kanan tentera Amerika Syarikat meminta rakyat negaranya bersedia menghadapi perang selama 50 hingga 100 tahun dengan golongan radikal Islam, satu perjuangan menentang puak Komunis ketika Perang Dingin yang memakan masa 40 tahun.
Usaha itu membabitkan aspek ketenteraan dan ideologi, kata Brigadier Jeneral Mark O Schissler yang juga Timbalan Pengarah bagi Perang Menentang Keganasan di Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon), ketika diwawancara akhbar.
“Kita menghadapi perang generasi baru. Anda boleh cuba melawan musuh di tempat mereka atau dari lokasi serangan atau menghalang mereka dan mempertahankan negara sendiri.
“Tetapi, penggunaan tentera tidak cukup. Kita memutuskan rantainya iaitu ideologi. Kita perlu tunjukkan kepada golongan ekstrem kesilapan pemikiran mereka,” kata Schissler sebagai seorang anggota Pejabat Rancangan Strategik di Pentagon.
“Saya tidak peduli soal politik. Saya mahu orang ramai memahami apa yang difikirkan musuh kita, apakah strategi untuk mengalahkan mereka dan penduduk Amerika perlu faham ini akan mengambil masa lama. Musuh merancang perang selama 50 hingga 100 tahun,” katanya.
Schissler juga menyifatkan musuh akan meneruskan perjuangan yang disokong dengan konsep jihad.
Satu taklimat kepada Ketua Turus Bersama mengenai negara pengganas menyatakan bahawa sejak 2001, lebih 3,000 pejuang al-Qaeda ditahan di lebih 100 negara termasuk 500 suspek di Pakistan dan dua pertiga lagi sudah mati atau dipenjarakan.
Selain itu, lebih 17 cubaan keganasan disekat sejak 2001 termasuk tiga di Amerika dan dua lagi di Eropah, kata The Washington Times.
Sementara itu, Presiden George W Bush pula meminta peruntukan kecemasan tambahan AS$100 bilion (RM370 bilion) untuk membiayai perang di Iraq dan Afghanistan, menurut laporan kepada dua panel di Dewan Perwakilan Amerika, kelmarin.
Anggota dewan dari Parti Demokrat membuat laporan mengenai kemahuan Bush itu bertujuan mengkritik keputusan pemimpin Republikan berkenaan dari segi pengurusan kewangan sambil merujuk bahawa Kongres sudah memperuntukkan AS$379 bilion (RM1.4 trilion) untuk membiayai operasi ketenteraan di Iraq.
“Bush dijangka mengemukakan permintaan untuk peruntukan tambahan awal tahun depan membabitkan nilai AS$100 bilion. Tiga suku daripadanya adalah operasi di Iraq,” kata laporan itu. – Agensi/Reuters
FAKTA NOMBOR
Bajet perang Bush
RM370b - Biayai operasi di Afghanistan, Iraq
RM1.4t - Peruntukan diluluskan Kongres
Berita Harian Malaysia
15.12.2006