Post by kas on Jun 3, 2007 15:21:34 GMT -1
Pas diminta ubah slogan
Laporan Ismail Mat, Norfatimah Ahmad, Wan Faizal Ismayatim dan Rokaid Chik
KOTA BHARU: Pas diminta menghentikan penggunaan slogan ‘Kepimpinan Bersama Ulama' kerana dianggap menyukarkan parti itu melahirkan kepemimpinan dinamik pada semua peringkat.
Perwakilan Pas Pahang, Hamzah Jaafar, berkata kebanyakan ahli parti tidak memahami konsep yang dibawa Pas itu, yang dilihat menyekat peluang golongan bukan berpendidikan agama walaupun berpotensi diketengahkan.
"Kebanyakan ahli Pas tidak faham konsep itu. Sekali pandang, ia seolah-olah menyukarkan Pas melahirkan kepemimpinan dinamik.
"Kerana konsep itu, ahli Pas takut atau rasa bersalah untuk melantik pemimpin bukan ulama pada peringkat kawasan, cawangan dan negeri sebagai pemimpin sedangkan ada di kalangan mereka berkemampuan, pandangan serta layak menerajui parti.
"Alangkah baik kalau ada negeri mempunyai pemimpin dari golongan bukan ulama, tetapi kepemimpinan ulama tetap mengungguli parti kerana kita masih mempunyai Majlis Syura dan Dewan Ulama.
"Kita mencadangkan kepada Pas Pusat mengemukakan slogan baru. Konsep kepemimpinan Islam itu lebih atas daripada kepemimpinan ulama," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas ke-53, di sini, semalam.
Hamzah berkata, kepemimpinan Pas dicadangkan supaya lebih menonjolkan isi yang terkandung dalam hasrat parti itu menonjolkan penubuhan negara Islam dan bukan sekadar berhujah tanpa pengisian.
Katanya, ramai pemimpin parti kini sekadar menyampaikan ceramah yang hanya dihadiri ahli Pas, tanpa mengemukakan fakta serta janji yang boleh diterima baik rakyat semua peringkat.
"Ramai di kalangan kita bila berceramah sekadar menonjolkan negara Islam tetapi isi negara Islam itu sendiri tidak ada. Sepatutnya kita perlu memberitahu apa yang akan dilakukan kalau memerintah," katanya.
Malah, beliau berhujah, Pas kini perlu mengambil tindakan proaktif menukar nama negara Islam kepada negara kebajikan sebagai agenda parti jika keadaan memerlukan Pas berbuat demikian untuk mendapatkan sokongan rakyat.
Daripada Berita Harian