|
Post by jepun pancung on Sept 25, 2006 4:05:05 GMT -1
Jejak Rasul: Najran saksi kekejaman
KELAHIRAN Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Makkah adalah peristiwa utama dalam sejarah Islam sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta dan menjadi utusan terakhir menyampaikan risalah Islam.
Peristiwa kelahiran bersejarah itu dapat dihayati semula dalam episod kedua siri Jejak Rasul yang disiarkan TV3 jam 6.30 petang ini yang membawa penonton mengembara pada zaman sebelum dan saat Baginda dilahirkan.
Antara lokasi penggambaran untuk episod kali ini dibuat di Yemen, Syria, Jordan dan Baitulmaqdis.
Penceritaan bermula dengan sejarah sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW berkisar kepada Yaman yang terkenal sebagai pusat perdagangan, berakhirnya kerajaan Saba’, kebangkitan Kerajaan Himyar serta peristiwa hitam yang berlaku di Najran.
Tidak jauh dari pusat bandar Najran yang kini terletak di Arab Saudi, ada Muzium Arkeologi dan Etnografi yang mengabadikan peristiwa hitam mangsa pembunuhan beramai-ramai disebut dalam al-Quran sebagai Ashabul Ukhdud.
Penghujung era Kerajaan Himyar, awal kurun ke-6 Masihi, Raja Himyar terakhir, Yusuf Dzun Nuwwas melaksanakan dasar yang keras terhadap rakyatnya yang beriman dengan syariat Nabi Isa.
Tradisi orang Himyar ketika itu menyembah matahari, bulan dan bintang seperti kaum Saba’ sebelumnya dan apabila ajaran tauhid tersebar luas, raja menjadi murka dan mengarah parit digali, dinyalakan api di dalamnya.
Mereka yang beriman dengan ajaran tauhid dicampak hidup-hidup ke dalam api yang bernyala dan kempen pembunuhan beramai-ramai itu dipercayai berlarutan selama 14 tahun.
Ini diikuti kisah membabitkan keluarga Abdul Mutalib termasuk perkahwinan anak bongsunya Abdullah dengan Aminah sebelum penonton diingatkan kepada kedatangan Abrahah untuk meruntuhkan Kaabah di Makkah.
Tahun Gajah 570 Masihi itu amat memberi kesan kepada Abdul Mutalib kerana Allah membuktikan kuasa-Nya mengatasi segala-galanya.
Abdul Mutalib menyaksikan tentera bergajah yang dipimpin Abrahah gagal meruntuhkan Kaabah bahkan mereka menemui ajal amat menyeksakan. Peristiwa yang menimpa Abrahah disebut dalam al-Quran.
Sebelum itu, Abdul Muttalib sendiri menemui Abrahah mengingatkannya Kaabah di bawah pemeliharaan Allah tetapi dia dipandang sepi oleh orang Habsyah yang angkuh itu. Selain itu, Tahun Gajah meninggalkan kenangan sedih kepada pemimpin Quraisy yang dihormati masyarakat Makkah kerana pada tahun itu Abdullah baru menikmati alam rumah tangga meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari berdagang di Syam.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW memberi keceriaan kepada Abdul Mutalib dan dia sendiri menamakannya cucunya itu Muhammad yang bermaksud insan terpuji. Episod kali ini turut menemuramah Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz berhubung peristiwa membabitkan keluarga Nabi Muhammad dan saat kelahirannya. 25.09.06
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Sept 26, 2006 6:48:44 GMT -1
Jejak Rasul: Keanehan bukti kenabian Muhammad
MAKKAH menjadi pusat ibadat dan persinggahan kafilah yang berulang alik dari utara dan selatan Semenanjung Tanah Arab.
Sebagai tempat persinggahan pedagang, bangsa Arab Quraisy yang menguasai kota Makkah ketika itu turut menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan utama mereka.
Siri Jejak Rasul yang disiarkan TV3 jam 6.30 petang ini membawa penonton mengimbau kembali zaman kegemilangan bangsa Quraisy dan kepesatan kota Makkah sebagai pusat perdagangan.
Tumpuan diberikan kepada keluarga tokoh yang menyatupadukan masyarakat Quraisy, Qusai bin Kilab serta keturunannya hingga kepada moyang serta datuk Nabi Muhammad SAW yang terus menerajui pemerintahan Makkah.
Selain kota Sanaa, penonton turut dibawa melihat kehebatan kota Damsyik yang terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa bagi masyarakat Arab Quraisy yang mencari keuntungan setiap kali tiba musim panas satu ketika dulu.
Apabila moyang Nabi Muhammad SAW, Hashim, meneruskan perniagaan keluarga, beliau mengambil langkah keselamatan dengan membuat pakatan bersama kabilah Arab di sepanjang laluan utara – selatan.
Antaranya, mereka memperkenalkan bulan yang diharamkan berperang yang berlangsung selama empat bulan iaitu bermula dari Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.
Peraturan bulan diharamkan berperang ini dipersetujui bersama kabilah Arab bertujuan memberi jaminan keselamatan kepada golongan pedagang dan juga jemaah haji yang datang beribadat ke Makkah.
Hasilnya urusan perdagangan kaum Quraisy berjalan lancar, sekali gus memberi pulangan lumayan dan perjalanan orang yang mahu menziarahi Baitullah juga terjamin selamat.
Episod ketiga Jejak Rasul juga menceritakan saat kelahiran anak yatim, Muhammad bin Abdullah oleh ibunya Aminah yang kemudian dibawa pengasuh daripada keturunan suku Sa'ad bin Bakr, Halimatus Sa'adiyah ke kampungnya.
Menjadi amalan bagi golongan bangsawan kaum Quraisy menghantar anak yang baru dilahirkan untuk disusukan dan dibesarkan di kawasan pedalaman bagi menjauhkan mereka daripada kekotoran serta kesesakan kota.
Sepanjang perjalanan pulang membawa Muhammad, Halimatus Sa’adiyah mengalami pengalaman menghairankan di mana keldai tunggangannya begitu cergas sekali, begitu juga unta betina tua yang dibawa bersama tiba-tiba saja menghasilkan susu.
Selama Baginda bersama keluarga angkatnya, rezeki mereka melimpah ruah, tanaman membawa hasil lumayan, ternakannya gemuk belaka menyebabkan jiran Halimatus Sa’sdiyah hairan melihat kambingnya yang gemuk dan banyak susu.
Sewaktu tinggal bersama Halimatus Sa’sdiyah juga, berlaku peristiwa di mana suatu hari sedang Nabi Muhammad SAW bermain bersama anak Halimah, tiba-tiba muncul dua malaikat yang membawa dulang emas berisi salji.
Malaikat berpakaian serba putih membaringkan Nabi SAW, membelah dadanya, mengeluarkan hatinya, lantas membersihkan segala kotoran yang ada menggunakan salji yang dibawa bersama mereka.
Peristiwa ini berlaku di belakang rumah Halimatus Sa'adiah, disaksikan sendiri oleh anaknya yang sebaya dengan Nabi SAW, lalu bergegas berlari kepada ibunya menceritakan apa yang dilihatnya itu.
Malah, banyak lagi peristiwa luar biasa yang berlaku pada zaman kanak-kanak Nabi Muhammad SAW yang menjadi petanda kenabiannya termasuk pertemuan Baginda dengan pendita Nasrani bernama Buhaira’.
Melihat kelibat anak berusia 12 tahun itu yang mengikuti bapa saudaranya berniaga, Buhaira' sudah mengetahui, orang yang bakal menjadi nabi dan rasul terakhir kini berada di depannya.
|
|
|
Post by jepun pancung on Sept 27, 2006 9:04:21 GMT -1
Jejak Rasul: Akhlak Nabi terserlah sejak kecil
NABI Muhammad SAW membesar dikelilingi masyarakat yang tercemar dari segi kepercayaan dan akhlak jahiliyah tetapi Baginda dilahirkan untuk menyeru manusia beriman sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah.
Itulah keistimewaan Rasulullah SAW yang menjadi yatim ketika masih dalam kandungan ibu dan kemudian dipisahkan daripada kasih ibu yang meninggal dunia pada usia enam tahun.
Anak yatim piatu itu kemudian bermanja dengan datuknya pula tetapi saat itu juga tidak kekal lama apabila pada usia 80 tahun, Abdul Muttalib meninggalkan Nabi Muhammad SAW selama-lamanya.
Selepas dua tahun dimanjakan datuk, Nabi Muhammad SAW menumpang kasih bapa saudaranya, Abu Talib, yang bertanggungjawab memberi peluang Baginda belajar selok belok perniagaan.
Hinggalah apabila usia mencecah 25 tahun, Baginda cukup matang untuk diamanahkan memasarkan barangan seorang wanita bangsawan, Khadijah, di pasar Busra.
Nabi Muhammad SAW berniaga bukan untuk menjadi seorang hartawan tetapi sekadar mencari pendapatan menyara kehidupan sendiri di samping membantu bapa saudaranya Abu Talib.
Pemergian Nabi Muhammad SAW membawa dagangan Khadijah ke Syam ditemani orang suruhan, Maisarah. Beberapa minggu berlalu, Nabi Muhammad SAW kembali membawa keuntungan lumayan.
Khadijah mendengar dengan penuh minat cerita Maisarah mengenai kemuliaan akhlak dan amanah anak saudara Abu Talib itu dan bagaimana awan sentiasa meneduhinya.
Akhirnya, pada 595 Masehi, Nabi Muhammad SAW yang berusia 25 tahun berkahwin dengan Khadijah, 40 tahun, bermaharkan 20 ekor unta betina.
Kisah ini dapat disaksikan dalam episod keempat siri Jejak Rasul yang antara lain turut memuatkan kisah Kota Makkah menyaksikan kaum Quraisy hampir menumpahkan darah sesama mereka, lima tahun sebelum kerasulan Muhammad SAW.
Banjir besar yang melanda Kota Makkah menyebabkan Kaabah mengalami kerosakan teruk dan selepas banjir surut, tiada siapa berani meruntuhkan baki dinding yang tinggal bagi membinanya semula.
Hanya Al-Walid bin Mughirah, ketua suku Makhzum yang berani melakukannya, seorang diri beliau meruntuhkan bahagian antara Hajarul Aswad dan Rukn Yamani.
Keesokan harinya, selepas melihat tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada Al-Walid, barulah kerja pembinaan semula dilakukan secara gotong royong dengan baik sekali.
Bagaimanapun, berlaku pertikaian dalam menentukan siapa yang lebih berhak meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya hingga ada yang menghunus pedang, bersumpah untuk berjuang menuntut apa yang disangka sebagai hak mereka.
Pertikaian berlarutan selama lima hari tanpa penyelesaian, perang antara puak seolah-olah akan meletus bila-bila masa saja tetapi akhirnya, Aba Umaiyah memberi cadangan penyelesaian kepada konflik itu.
Seperti dipersetujui semua pihak, siapa yang pertama memasuki kawasan Kaabah melalui pintu As-Safa, orang itu akan menjadi hakim bagi menyelesaikan masalah mereka.
Keesokan paginya Nabi Muhammad orang pertama memasuki kawasan Kaabah melalui pintu As-Safa dan dengan kebijaksanaannya Baginda meminta setiap wakil suku yang bertelagah bersama mengangkat Hajarul Aswad di atas sehelai kain.
Apabila hampir dengan tempatnya, Baginda sendiri mengambil Hajarul Aswad lalu meletakkannya di tempat asalnya iaitu di penjuru timur Kaabah dan tindakan itu dipersetujui semua pihak bertelagah.
Ketika tiada rasul yang diutuskan di kalangan mereka, masyarakat Arab Jahiliyah hidup tanpa panduan agama sebaliknya mengamalkan kepercayaan syirik yang diwarisi daripada nenek moyang.
Namun Kaabah terus dimuliakan sebagai rumah Allah yang dibangunkan nenek moyang mereka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail selain syariat Nabi Ibrahim dikenali sebagai agama Hanif masih diajar dan diamalkan.
|
|
|
Post by jepun pancung on Sept 28, 2006 12:06:29 GMT -1
Jejak Rasul: Perjuangan Rasul di kota Makkah
PERJALANAN hidup Nabi Muhammad SAW dalam menyebar dan mengajak umat pada zamannya kepada Islam penuh dengan dugaan dan cabaran. Baginda dihina, dicaci, diejek dan diancam bunuh bagi mengajak umatnya ke jalan tauhid.
Siri Jejak Rasul petang ini mengimbas perjalanan pertama Nabi Muhammad SAW mengikuti bapa saudaranya Abu Talib ke Busra dan pengalaman Baginda membawa dagangan milik Siti Khadijah ke Syam.
Kisah seterusnya, menumpukan kepada peristiwa bersejarah yang mengubah corak serta sejarah kota Makkah dan dunia keseluruhannya apabila Baginda menerima wahyu pertama.
Petanda kerasulan Nabi Muhammad turut diulang kembali melalui peristiwa Pendeta Masehi, Buhaira’ berasa tidak puas hati ketika berdepan dengan rombongan Abu Talib di Busra.
Pada firasatnya, rombongan itu seakan-akan tidak lengkap sehingga beliau bertanyakan kepada Abi Talib jika ada lagi ahli rombongan yang tertinggal dan kebetulan Nabi Muhammad ditugas menjaga unta serta barangan di luar gereja.
Tatkala menatap wajah Baginda, Buhaira’ yakin penantiannya sudah hampir ke penghujung lalu menghujani Rasulullah SAW dengan pelbagai soalan dan akhirnya memberitahu Abu Talib supaya menjaga Nabi SAW dengan baik serta melindunginya daripada ancaman orang Yahudi.
Sebelum kehadiran Jibril, Nabi Muhammad SAW mendapat mimpi, Baginda menyaksikan cahaya kebenaran menyinari alam, memadamkan kegelapan syirik yang menyelubungi umat.
Mimpi benar itu disempurnakan dengan kehadiran Jibril, membawakan wahyu pertama untuk nabi terakhir di Gua Hira'.
Menurut Ibn Hisyam dalam sirah Nabawiyah, selepas Khadijah menenangkan Nabi Muhammad SAW, beliau segera menemui Waraqah bin Naufal, sepupunya yang alim mengenai ajaran Taurat dan Injil.
Selepas memberi penjelasan kepada Khadijah, Waraqah sendiri kemudian bersemuka dengan Nabi Muhammad SAW pada hari lain dan selepas mendengar cerita Baginda, beliau yakin masa ditunggu sudah tiba.
Benarlah Nabi Muhammad SAW nabi umat ini dan beliau memberi amaran kepada Baginda bahawa apa yang diseru kepada kaumnya akan didustai mereka, bahkan Baginda akan diseksa, dihalau dan diperangi.
Orang yang mula-mula beriman dengan seruan tauhid dibawa Nabi Muhammad SAW ialah isterinya Khadijah, disusuli sepupunya Ali bin Abi Talib, serta Zaid bin Harithah, hamba yang menjadi anak angkat Baginda.
Teman karib Baginda, Abu Bakar as-Siddiq juga segera beriman sebaik diseru dan berjaya menarik beberapa orang lagi memeluk Islam.
Berpandukan wahyu Ilahi, Rasulullah SAW mengajak keluarga dan teman terdekat, seorang demi seorang supaya menyembah Allah yang Esa, yang tiada sekutu baginya.
Setiap hari kelompok terawal orang Islam itu berkumpul di rumah Arqam bin Abil Arqam, dididik oleh Nabi Muhammad SAW hingga kukuh iman mereka sebagai persediaan menghadapi perjuangan getir yang menanti di kota suci Makkah.
Episod kali ini turut menemuramah Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz yang mengulas lanjut mengenai pengalaman Nabi Muhammad yang didatangi Malaikat Jibril di Gua Hira’.
|
|
|
Post by jepun pancung on Sept 30, 2006 6:41:53 GMT -1
Jejak Rasul: Yahudi kuasai makam Nabi Ibrahim
MELIHAT sendiri Masjidil Aqsa yang tersergam di depan mata adalah pengalaman menarik krew penerbitan Jejak Rasul ketika membuat penggambaran di Palestin walaupun terpaksa berdepan dengan pemeriksaan keselamatan ketat.
Israel membuat sekatan atau menghadang jalan keluar dan masuk sesuka hati mereka sama ada menggunakan batu besar atau timbunan tanah bagi menghalang penduduk Palestin keluar masuk secara bebas.
Keadaan itu dapat dilihat dalam episod ketujuh Jejak Rasul yang memaparkan seimbas lalu kerja belakang tabir sepanjang 80 hari penggambaran di Arab Saudi, Syria, Jordan dan Baitulmaqdis.
Ketika melawat makam Nabi Ibrahim dan keluarganya di Makhpela, Hebron, krew penerbitan Jejak Rasul terpaksa melalui tiga pusat perhentian dan diperiksa rapi askar Yahudi.
Kawasan masjid Nabi Ibrahim dibahagikan kepada dua bahagian iaitu di sebelah barat menempatkan makam Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Sarah, sementara di sebelah timur menempatkan makam Nabi Ishak dan isterinya, Lea.
Lokasi makam Nabi Ibrahim dimiliki Yahudi sementara bahagian makam Nabi Ishak untuk orang Islam bagi menjaga sentimen dua kaum yang mengakui kerasulan Nabi Ibrahim.
Kisahnya, Nabi Ibrahim membeli sebuah gua di bawah Masjidil Aqsa untuk mengebumikan isterinya Siti Sarah pada harga 130,000 biji benih iaitu bersamaan dengan 400 shekal perak.
Kawasan itu kemudian dikenali sebagai makam keluarga Nabi Ibrahim tetapi tidak diketahui seluas mana gua yang dibeli kerana makam terletak di bawah masjid dan laluan ke bawah sudah ditutup.
Paparan episod kali ini membawa penonton melihat sendiri batu tergantung iaitu batu yang dikatakan mahu mengikut Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Bagaimanapun, keadaan itu tidak jelas kerana bahagian atasnya sudah disimen.
Penerbit dan Pengarah Jejak Rasul, Jasmi Shahir yang melalui pengalaman itu mengakui, peluang melihat tempat yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam menjadikan hatinya begitu sayu.
Bagaimanapun, beliau berbangga kerana kesempatan serta kejayaan membuat penggambaran di kawasan yang menjadi rebutan itu dapat dikongsi bersama rakyat negara ini.
“Kebetulan selepas menunaikan solat Jumaat, kami bertemu dengan nazir masjid dan beliau membawa kami melawat sekitar masjid termasuk tempat batu tergantung yang diceritakan ketika berlakunya Israk dan Mikraj,” katanya.
Seluruh bumi Palestin khususnya Baitulmaqdis adalah suci bagi orang Yahudi, Nasrani dan Islam kerana sebahagian besar nabi Allah yang diutuskan menghabiskan hidup serta dakwah mereka di bumi ini.
Nabi dan rasul yang membawa mesej tauhid di bumi itu mengajak bangsa Palestin dan Yahudi beriman dengan keesaan Allah, namun mereka menghadapi tentangan sengit daripada bangsa Yahudi.
Pada 25 Februari 1994, jemaah masjid berkenaan diganggu apabila seorang Yahudi yang melepaskan tembakan secara rambang mengorbankan hampir 30 jemaah dan mencederakan 300 orang.
Sejak insiden itu, pihak Yahudi mengawal ketat laluan keluar masuk ke kawasan masjid dan mereka membahagikan kawasan itu kepada dua, satu bahagian untuk masjid dan satu kawasan untuk orang Yahudi.
|
|
|
Post by jepun pancung on Oct 2, 2006 10:19:46 GMT -1
Jejak Rasul: Perjalanan luar biasa Rasulullah
SEKATAN ekonomi terhadap kaum Muslimin selama tiga tahun berakhir dengan kegagalan menyebabkan kaum Quraisy bertambah bingung apabila melihat orang Islam semakin gigih membina kehidupan baru mereka dengan berniaga dan berdagang.
Namun, tanpa diduga dalam keadaan Rasulullah SAW dan kaum Muslimin memerlukan pertolongan serta sokongan, Abu Talib bapa saudara Baginda meninggal dunia.
Justeru, kaum Quraisy semakin ghairah memberi tekanan dan seksaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan orang beriman.
Belum pun kesedihan Nabi Muhammad SAW akibat kematian Abu Talib reda, isteri tercinta Khadijah Khuwailid kembali menemui Allah.
Kewafatan kedua-dua insan itu bagaikan kesedihan berganda kerana merekalah yang sering membantu Baginda di dalam kesusahan.
Jejak Rasul di TV3 petang ini menceritakan peristiwa penting iaitu Israk dan Mikraj yang memberi semangat baru kepada Nabi Muhammad SAW selepas berhadapan dengan pelbagai dugaan termasuk kewafatan Abu Talib dan Siti Khadijah.
Siri kali ini turut menampilkan Felo Amat Utama Akademi Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady bagi mengupas lanjut peristiwa itu.
Perjalanan luar biasa berlaku pada malam Isnin, 20 Rejab tahun ke-10 hijrah itu adalah anugerah Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang dirakamkan al-Quran dalam ayat pertama surah al-Israk.
Sebaik Nabi Muhammad SAW tiba di Baitulmaqdis, Baginda bertemu Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi lain di Masjidil Aqsa, lalu mereka solat berjemaah dengan Baginda sebagai imam.
Selepas itu Baginda dihidangkan dua jenis minuman iaitu arak dan susu, lalu Baginda memilih susu.
Jibril yang berada di sampingnya ketika itu lantas berkata: “Itulah petunjuk fitrah! Jika tuan memilih khamar maka umat tuan akan memilih kesesatan daripada hidayah.”
Kemudian Rasulullah SAW melangkah naik ke atas satu batu yang dikenali sebagai al-Sakhrah, batu itu menunduk hormat bagi memudahkan Baginda menaiki Buraq untuk meneruskan Mikraj ke langit dengan ditemani Jibril.
Ketika perjalanan Baginda ke langit dikawal malaikat, Baginda diperlihatkan syurga yang harum baunya dan neraka pula bersemarak dengan nyalaan api menggerunkan.
Setiap malaikat temui Nabi Muhammad SAW ketika memasuki pintu langit menyambutnya dengan senyuman serta memberi penghormatan kepadanya kecuali malaikat bernama Malik penjaga neraka.
Pada peristiwa Israk Mikaj juga Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW menunaikan solat asalnya berjumlah 50 dalam sehari hingga akhirnya menjadi lima waktu selepas Baginda merayu jumlah itu dikurangkan.
Menariknya, Jejak Rasul kali ini turut membawa penonton melihat batu tergantung al-Sakhrah berukuran 56 x 42 kaki yang menjadi lambang kesucian umat Islam yang dikaitkan dengan peristiwa Israk Mikraj.
Ia lokasi digemari pengunjung kerana mereka boleh melihat sendiri secara jelas semua bahagian batu suci yang menjadi saksi Nabi Muhammad SAW melakukan Mikraj atau perjalanan untuk bertemu Allah.
|
|
|
Post by jepun pancung on Oct 4, 2006 4:38:02 GMT -1
Jejak Rasul: Rasulullah berdakwah di pasar
JEJAK Rasul Muhammad episod kali ini mengisahkan peristiwa Bai’atul ‘Aqabah yang dibuat oleh orang Yathrib yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan permulaan kepada hijrah Baginda.
Di sebalik tentangan daripada kaum Quraisy, Nabi Muhammad SAW tetap meneruskan dakwah Baginda dan antara pendekatan yang digunakan ialah mendekati kafilah haji yang datang ke tanah suci untuk mengerjakan ibadat.
Sebulan sebelumnya, dari awal bulan Zulkaedah, bermulanya bulan diharamkan berperang, Baginda sudah berada di pasar Ukaz, tempat berkumpulnya orang Arab untuk berdakwah.
Ketika orang Arab sibuk berniaga, bertukar barangan sesama mereka dengan aman, penyair juga sibuk memperdengarkan karya mereka.
Dalam kemeriahan itu, Nabi Muhammad SAW berdiri di tengah orang ramai membacakan ayat-ayat Allah, memperkenalkan ajaran tauhid yang berlawanan dengan amalan Jahiliyah ketika itu.
Pada masa sama, kaum Quraisy Makkah turut giat menyebarkan amaran kepada orang luar yang baru tiba supaya jangan mengendahkan seruan Nabi Muhammad SAW serta menuduh Baginda seorang tukang sihir dan tukang tenung yang hilang kewarasannya.
Apabila pedagang berpindah ke pasar Majannah dan Dzul Majaz berhampiran Arafah, Nabi Muhammad SAW ikut serta, begitu juga apabila ibadat haji bermula, Baginda mengambil peluang menghampiri setiap orang asing bagi memperkenalkan Islam.
Namun, di sebalik cemuhan dan tuduhan itu, masih ada yang menyambut ajakan iman Nabi Muhammad SAW antaranya tokoh suku Aus bernama Suwaid bin Samit yang beriman setelah bersemuka dan berdialog dengan Baginda.
Begitu juga Iyas bin Mua'dh yang bersama rombongan suku Khazraj, mengambil kesempatan mengerjakan haji untuk menemui pemuka Quraisy bagi mendapatkan perlindungan daripada suku Aus.
Suku Aus dan Khazraj adalah dua kabilah Arab utama di Yathrib ketika itu sudah lama bermusuhan tetapi Nabi Muhammad SAW berjaya menambat hati mereka dengan persaudaraan.
Mereka kemudian pulang ke Yathrib dan menyebarkan agama tauhid yang diseru Nabi Muhammad SAW kepada kaum masing-masing.
Hari Tasriq musim haji tahun ke-13 kerasulan Nabi Muhammad SAW menjadi sejarah penting apabila Baginda yang ditemani bapa saudaranya al-Abbas tiba di Aqabah, disambut 72 orang Yathrib yang sudah beriman.
Sebahagian besar daripada mereka ialah wakil kabilah suku Khazraj memandangkan Islam tersebar lebih meluas di kalangan suku itu berbanding suku Aus.
Dalam pertemuan itu, Nabi Muhammad SAW meminta mereka berjanji setia kepadanya dan selepas itu memilih 12 orang di kalangan mereka bagi menjadi ketua kaum masing-masing.
Sambutan diberi penduduk Yathrib menyebabkan orang Islam dalam diam mula berhijrah ke Yathrib dan cubaan Musyrikin Makkah untuk memintas kumpulan itu gagal.
Musyrikin Quraisy takut kerana penduduk di sana bersedia menerima Nabi Muhammad sebagai ketua negara dan ini akan mendatangkan ancaman kepada mereka kelak.
Hakikatnya, objektif utama hijrah ke Yathrib ialah melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW kerana di sana Islam dapat diamalkan dengan jayanya seterusnya berkembang luas ke luar sempadan tanah Arab.
Hijrah Nabi Muhammad memerlukan perancangan sulit kerana Musyrikin Quraisy kini lebih agresif dan pergerakan Baginda sentiasa diperhatikan.
Hijrah Nabi menunjukkan kesediaan masyarakat Arab Yathrib untuk bersatu dipimpin Baginda menggantikan sistem kabilah berpuak-puak yang sekian lama diamalkan, dengan sistem Islam yang menyatukan mereka.
|
|
|
Post by jepun pancung on Oct 4, 2006 4:40:01 GMT -1
Jejak Rasul 12: Gua Thur saksi pengorbanan sahabat
APABILA semua usaha menamatkan gerakan dakwah Nabi Muhammad SAW menemui jalan buntu, pemuka Quraisy mengambil keputusan untuk membunuh Baginda. Bagaimanapun, rancangan mereka gagal. Selepas mendapat perintah Allah yang disampaikan Malaikat Jibril untuk berhijrah ke Yathrib, Baginda ditemani sahabat baiknya, Abu Bakar as-Siddiq melakukan persiapan.
Kisah kejayaan Nabi Muhammad SAW berhijrah menggunakan segala strategi dan kebijaksanaan dapat ditonton dalam siri Jejak Rasul terbitan TV3 jam 6.30 petang.
Puak Musyrikin Quraisy akhirnya dapat menghidu khabar bahawa Nabi Muhammad SAW akan menyertai pengikutnya yang sedia menanti di Yathrib dan mereka perlu bertindak segera sebelum terlambat.
Menyedari ancaman besar yang bakal dihadapi jika Nabi Muhammad SAW tiba di Yathrib dan seterusnya dilantik sebagai ketua, musuhnya sepakat mengambil keputusan untuk membunuh Baginda.
Namun, rancangan jahat mereka itu terlebih dulu diketahui Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang disampaikan Jibril seperti maksud firman Allah: “Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir (Quraish) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau, membunuhmu atau menghalaumu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.” (Surah al-Anfal, ayat 30)
Pada malam yang dijanjikan, pembunuh Quraish mengepung rumah Nabi Muhammad SAW dan yakin Baginda masih belum keluar dari rumahnya. Pembunuh itu hanya menanti saat sesuai untuk menyerang Baginda dengan hanya satu serangan.
Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW mengambil langkah awal dengan menyuruh Ali bin Abi Talib tidur di katil Baginda untuk mengelirukan pihak musuh.
Takdir Allah, pihak musuh akhirnya tertidur dan tanpa melengahkan masa Nabi Muhammad menyelinap keluar daripada rumahnya menuju ke tempat yang ditentukan.
Maka bermula perjalanan mendebarkan Nabi Muhammad SAW ditemani Abu Bakar dan detik cemas hamba Abu Bakar, Amir bin Fuhairah mengembala kambing pada waktu siang di cerun Gua Thur yang berbahaya.
Pada malam hari pula, menyaksikan Amir memerah susu kambing untuk diberi minum kepada Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar.
Gua Thur juga menjadi saksi perjuangan dua orang anak Abu Bakar iaitu Abdullah dan Asma melaksanakan tugas dengan sepenuh hati, walaupun situasi ketika itu membahayakan nyawa jika pergerakan mereka dihidu Musyrikin Quraisy.
Tidak mudah bagi Nabi Muhammad meredah padang pasir untuk ke Madinah dan detik cemas serta pengalaman luar biasa yang dihadapi Baginda dapat ditonton dalam Jejak Rasul Muhammad.
Berita penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah tersebar luas dan perasaan tidak sabar menanti kedatangan Baginda terpancar di wajah penduduk yang berkumpul di kawasan luar Madinah.
Sebaik mendapat tahu Nabi Muhammad SAW sudah tiba, tanpa membuang masa penduduk Madinah yang sekian lama menanti kehadiran Baginda keluar beramai-ramai dengan membawa harapan dan kegembiraan.
Detik itu bermulalah lembaran baru Kota Madinah yang bakal menjadi Daulah Islamiyyah pertama di dunia.
|
|
|
Post by jepun pancung on Oct 5, 2006 4:35:02 GMT -1
Jejak Rasul: Madinah terima cahaya baru
DUGAAN hijrah dan kepenatan perjalanan yang jauh memerlukan Nabi Muhammad SAW berhenti sebentar merehatkan dirinya di Quba’ yang terletak tiga kilometer arah selatan Bandar Madinah.
Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar berehat di Quba’ selama empat hari dan Baginda mengasaskan sebuah masjid iaitu masjid pertama dibina di atas dasar takwa.
Pada hari keempat iaitu hari Jumaat, Baginda dan Abu Bakar meninggalkan Quba’ menuju ke Madinah.
Episod 12 Jejak Rasul Muhammad menceritakan keadaan Madinah ketika ketibaan Nabi Muhammad SAW yang dinanti penuh harapan penduduk terutama golongan Islam yang terdiri daripada kaum Ansar dan Muhajirin.
Sekalipun masyarakat Madinah belum sepenuhnya memeluk Islam tetapi mereka menerima Nabi Muhammad sebagai ketua negara.
Lantaran itu, perkara pertama dilakukan Nabi Muhammad SAW sebaik tiba di Madinah ialah membina masjid bersama sahabatnya di kawasan dikenali sebagai Mirbad.
Selepas selesai pembinaan masjid Nabi Muhammad SAW menyatupadukan masyarakat Madinah sebagai langkah pertama membentuk negara Islam.
Mengikut beberapa ahli sejarah, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar adalah persaudaraan kali kedua di kalangan orang Islam. Persaudaraan pertama dilakukan di Kota Makkah sesama Muhajirin sebelum berhijrah ke Madinah.
Madinah dahulunya bergolak dengan peperangan suku kaum, mula menyingkir kekufuran dan menerima limpahan cahaya keimanan.
Keikhlasan dan semangat tolong menolong bukan perkara baru bagi kaum Ansar kerana ia sudah berputik selama tiga tahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah menerusi perjanjian Aqabah pertama.
Penduduk Madinah mudah menerima Islam berbanding penghuni Makkah hanya 150 orang memeluk agama ketika itu sepanjang 13 tahun Nabi Muhammad SAW berdakwah, manakala bilangan kaum Ansar pula seramai 500 orang.
Sementara itu, golongan Muhajirin menganggap penghijrahan mereka ke Madinah dengan meninggalkan harta kekayaan di Makkah tidak melemahkan jiwa untuk terus berdikari.
Keikhlasan penduduk Madinah juga terlihat apabila masing-masing berebut menarik tali unta mengajak Nabi Muhammad SAW tinggal bersama mereka setibanya Baginda di Madinah.
Turut diceritakan pada siri Jejak Rasul untuk kali ini bagaimana unta Nabi Muhammad SAW yang dalam perintah Allah memilih tempat tinggal yang sesuai untuk tuannya seperti dibaca dalam banyak buku sejarah.
Tidak ketinggalan, kisah golongan munafik yang sering menimbulkan pelbagai gangguan serta halangan secara halus termasuk menyebarkan fitnah.
Mereka mencipta pertelagahan dengan memihak kepada kaum Yahudi ketika umat Islam berjuang mempertahankan Madinah daripada serangan Quraisy dalam perang Khandaq tetapi tidak berjaya.
|
|
|
Post by jepun pancung on Oct 9, 2006 6:57:46 GMT -1
Jejak Rasul: Pengajaran perang Badar, Uhud
SELEPAS dua tahun masyarakat Madinah mengikat janji setia kepada Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin utama, kesetiaan golongan Ansar kepada utusan Allah dan orang Muhajirin diuji ketika tentera Musyrikin Quraisy Makkah mara ke Madinah.
Di hadapan Nabi SAW, seorang sahabat bernama al-Miqdad mewakili golongan Ansar menegaskan kesetiaan mereka: “Kami tidak akan berkata kepada tuan seperti Bani Israel yang berkata kepada Nabi Musa apabila Baginda mengajak kaumnya itu berjihad, pergilah engkau bersama Tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami hanya duduk menanti di sini saja sebaliknya kami akan berperang bersama tuan.”
Peristiwa perang Badar menyaksikan Nabi Muhammad SAW sedia bermusyawarah dalam membuat keputusan strategik, menerima cadangan sahabat supaya menjadikan kawasan yang mempunyai sumber air sebagai pusat gerakan tentera Islam.
Namun faktor utama kejayaan mereka di Badar ialah ketakwaan pada tahap tertinggi hingga turun bantuan Allah.
Episod ke-16 Jejak Rasul menyingkap peristiwa dua peperangan iaitu Badar dan Uhud yang sarat dengan pengajaran kepada umat Islam iaitu pentingnya iman sebagai asas perjuangan.
Perang Uhud meninggalkan kesan besar bukan saja kepada umat Islam Madinah ketika itu bahkan menjadi teladan kepada umat Islam hari ini.
Kreativiti krew penerbitan Jejak Rasul kali ini diuji melalui lakonan semula adegan menggambarkan saat berlaku peperangan yang bermula daripada rancangan Nabi Muhammad untuk memintas rombongan Abu Sufyan itu bocor.
Maka utusan dihantar ke Makkah meminta bantuan segera sementara Abu Sufyan menukar arah laluan kafilahnya dan segerombolan tentera pimpinan Abu Jahal dengan pantas digerakkan ke Madinah.
Pertembungan berlaku di Badar pada awal fajar 17 Ramadan tahun kedua hijrah apabila gerombolan tentera Musyrikin muncul dari sebalik bukit pasir dengan penuh keyakinan untuk memerangi orang Islam.
Badar menjadi saksi Mujahidin dari Madinah menggadai nyawa demi Islam di mana enam Muhajirin dan lapan Ansar menjadi syuhada selain menyaksikan medan Badar dibasahi darah 70 Musyrikin Makkah.
Namun Baginda memutuskan untuk tidak berundur ke Madinah, sebaliknya bertahan di Badar sambil bersungguh-sungguh berdoa memohon bantuan Allah sehingga tentera Islam seramai 313 orang berjaya mengalahkan 1,000 orang Musyrikin dan membawa balik 70 tawanan ke Madinah.
Setahun selepas kekalahan di Badar, Abu Sufyan menggerakkan tentera Musyrikin Makkah ke utara menuju Madinah dendam membara bersama 3,000 anggota menunggang unta dan 200 anggota berkuda lengkap bersenjata.
Perang Uhud menyaksikan umat Islam yang mulanya berjaya menundukkan tentera Musyrikin akhirnya berhadapan dengan serangan tidak diduga hanya kerana terpedaya dengan hasutan sifat tamak.
Kesilapan besar yang terjadi ketika peperangan itu ialah apabila pejuang tidak mematuhi arahan Nabi Muhammad yang akhirnya membawa kekalahan kepada umat Islam.
Namun begitu, misi Musyrikin untuk membunuh Nabi SAW menemui kegagalan sementara umat Islam di Madinah mendapat pengajaran daripada sikap mereka yang tidak patuh pada arahan ketua.
Perang Uhud juga memberi banyak pengajaran kepada umat Islam untuk mengukuh iman dan takwa, serta mengingatkan umat hari ini kepada pentingnya strategi, ketaatan serta disiplin.
Tetapi, bagaimanapun cubaan Musyrikin Makkah untuk mengancam negara Islam Madinah, hasrat itu tidak pernah berjaya walaupun orang munafik menjadi musuh dalam selimut.
|
|
|
Post by jepun pancung on Oct 10, 2006 22:48:10 GMT -1
Jejak Rasul: Perjanjian Hudaibiyah pemangkin dakwah
PADA tahun kelima hijrah, sejarah menyaksikan pertama kalinya kaum Musyrikin bersepakat di mana bangsa Arab dan Yahudi bersekutu mengumpul anggota serta senjata untuk menggulingkan kerajaan Islam Madinah pimpinan Nabi Muhammad SAW.
Pakatan itu dikenali sebagai al-Ahzab, idea cetusan puak Yahudi Madinah, Bani Nazir dan Wa'il yang tidak pernah senang dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin masyarakat Madinah.
Kekuatan tentera Islam yang hanya 3,000 orang memerlukan strategi terbaik untuk menangani serangan daripada musuh yang tiga kali ganda kekuatannya.
Ketika itulah seorang sahabat berketurunan Parsi, Salman al-Farisi menyuarakan pandangan supaya dibina parit untuk menghalang kemaraan musuh. Bagi tujuan itu, warga Madinah mengerahkan tenaga menggali parit sepanjang 5.5 kilometer.
Berdasar catatan Ibn Hisyam dalam sirah Nabawiyah, dengan jumlah anggota 3,000 orang, setiap kumpulan yang mengandungi 10 orang ditugaskan menggali parit sepanjang 40 hasta.
Bagaimanapun, di sebalik cetusan idea untuk menggali parit, timbul sedikit kekacauan apabila Muhajirin dan Ansar mula bertelingkah kerana mendakwa Salman al-Farisi yang memberi idea bijak itu adalah daripada kaum mereka.
Akibat perebutan status itu, Nabi Muhammad SAW memberi perakuan yang tinggi nilainya kepada Salman dengan sabdanya: “Salman adalah ahli keluargaku.”
Parit pertahanan Madinah itu siap digali enam hari sebelum kedatangan bala tentera Musyrikin. Kilauan mata pedang yang dijulang musuh hanya membakar semangat jihad mukmin Madinah yang mengimpikan syahid.
Peperangan Khandak yang bermakna parit menyaksikan percubaan pahlawan musuh menyeberangi parit yang memisahkan mereka dengan tentera Islam, namun setiap percubaan berjaya digagalkan.
Apa yang mampu dilakukan musuh hanya kepungan berlarutan minggu demi minggu sehingga melemahkan semangat tentera Musyrikin.
Peperangan Khandak turut mendedahkan rahsia Yahudi Bani Quraizah yang sebelumnya menyatakan taat setia kepada Nabi Muhammad SAW, akhirnya bersikap talam dua muka dengan memihak kepada musuh.
Akhirnya, pertolongan Allah tiba, angin bertiup kencang dan ribut pasir meruntuhkan khemah tentera bersekutu Musyrikin, memaksa Abu Sufyan bin Harb selaku pemimpin membuat keputusan berundur dari tanah Madinah.
Siri Jejak Rasul kali ini turut menceritakan usaha Nabi Muhammad SAW dan umat Islam untuk kembali ke Makkah menziarahi Kaabah tetapi hasrat mereka itu dihalang Musyrikin Makkah.
Sebagai menunjukkan kesungguhan hasrat mereka semata-mata untuk mengerjakan umrah, Nabi Muhammad SAW mengutus Saidina Uthman al-Affan untuk berunding dengan pemuka Quraisy di Makkah.
Peristiwa itu membawa kepada perundingan di antara Nabi Muhammad dengan utusan Quraisy, Suhail bin ‘Amr yang akhirnya membawa kepada pemeteraian perjanjian Hudaibiyah.
Antara isi kandungan perjanjian itu ialah umrah ditangguhkan ke tahun depan, orang Islam diberi masa tiga hari saja untuk menyempurnakannya serta tidak dibenarkan membawa senjata kecuali pedang yang bersarung.
Kedua-dua pihak juga bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata selama 10 tahun dan mereka serta bebas membuat perjanjian dengan sesiapa saja.
Pelarian Muslim yang berasal dari Makkah hendaklah dipulangkan ke Makkah, manakala orang Islam yang berpaling tadah tidak perlu dikembalikan ke Madinah.
Ternyata perjanjian bertulis itu memberi banyak kelebihan kepada pihak Muslimin dan kesannya kepada perkembangan Islam pada masa depan. Hudaibiyah membuka jalan menuju Makkah dan membuka peluang dakwah ke seluruh pelosok Tanah Arab.
|
|
|
Post by jepun pancung on Oct 12, 2006 10:51:54 GMT -1
Jejak Rasul: Strategi Khalid tewaskan musuh dalam perang Mu'tah
MU'TAH terletak di sempadan Syam di bawah kekuasaan kerajaan Ghassan adalah kerajaan Arab yang memihak kepada Byzantine.
Ia menjadi lokasi penting kerana di sana berlaku pertempuran yang menentukan maruah serta akidah Islam terus bersinar dalam percubaan Nabi Muhammad SAW melebarkan dakwah di jajahan takluk Byzantine.
Pergolakan berlaku apabila utusan Nabi Muhammad SAW, Al-Harith bin Umair al-Azdi yang dihantar ke Ghassan untuk menyebarkan Islam di sana dibunuh oleh Syurahbil Al-Ghassani pemerintah tanah jajahan Byzantine.
Lantaran itu Rasulullah SAW menghantar Zaid bin Harithah bersama 3,000 tentera ke Mu'tah untuk menentang Syurahbil.
Pada peperangan kali ini, tentera Islam berdepan dengan 100,000 tentera Rom Timur pimpinan Hercules yang turut disertai kabilah Arab seramai 100,000 menjadikan jumlah musuh seramai 200,000.
Sebagai strategi peperangan, Rasulullah SAW melantik Zaid bin Harithah sebagai komander tentera Islam seramai 3,000 orang. Menyedari tahap kekuatan tidak seimbang, Baginda melantik barisan pelapis yang bakal mengambil alih kepemimpinan.
Rasulullah SAW melantik Jaafar bin Abu Talib sebagai pengganti sekiranya Zaid tewas dan Abdullah bin Rawahah akan memimpin sekiranya Jaafar pula tewas di tangan musuh.
Bagi pasukan Muslimin, mereka tidak terus menyerang sebaliknya berhenti di tempat bernama Ma'an selama dua hari dua malam untuk mencari langkah terbaik kerana bilangan musuh jauh lebih ramai berbanding tentera Islam.
Melihat kepada keresahan dan kegelisahan bermain pada wajah anggota tentera, Abdullah bin Rawahah tampil membakar semangat dengan memberi ingatan bilangan musuh tidak seharusnya menjadi penghalang untuk terus berjuang.
Kekuatan musuh tidak mampu meminggirkan keimanan dan ketakwaan dalam jiwa Muslimin, akhirnya mereka bangun tanpa ragu dan sangsi, terus maju ke medan jihad bagaikan singa lapar.
Namun, dugaan datang apabila ketiga-tiga pemimpin yang dilantik Baginda gugur syahid meninggalkan tentera Islam yang diserang bertubi-tubi dari setiap penjuru ketika itu hingga mereka gelisah.
Pada saat genting itu muncul Arqam bin Amir menyerahkan bendera perang kepada Khalid al-Walid yang memiliki keberanian tidak pernah luntur, lalu menyusun strategi yang mencetuskan kejutan pihak musuh.
Helah Khalid ialah beliau mengarahkan pasukan Islam di belakang maju ke hadapan manakala pasukan di hadapan disuruh ke belakang.
Walaupun tentera Byzantine dan tentera Arab bersekutu yakin dengan kemenangan kerana bilangan mereka yang jauh lebih besar, mereka tetap terpedaya dengan muslihat Khalid lalu bertempiaran untuk menyelamatkan diri.
Sementara itu, Rasulullah SAW yang mengetahui kesukaran dihadapi tentera Islam berkata: “Ketahuilah kamu semua! Zaid berjuang dan gugur sebagai syahid. Mohonlah rahmat daripada Allah untuknya. Jaafar dan Abdullah juga berjuang dan gugur syahid. Panji-panji kemudian dijulang oleh Khalid al-Walid yang memiliki pedang Allah. Ia mengatasi segala jenis pedang. Allah menganugerahkannya dengan kemenangan.”
Kemenangan dalam peperangan Mu'tah membuktikan kelicikan Khalid al-Walid menumpaskan musuh tanpa mengorbankan banyak nyawa anggota tenteranya.
Bagaimanapun, dia dan pasukan Islam diselar oleh segelintir penduduk Madinah sebagai pengecut kerana lari dari medan pertempuran. Namun, Nabi Muhammad SAW membelanya dengan berkata: “Sebenarnya mereka ini adalah perwira yang kembali selepas menentang musuh dengan penuh semangat keberanian dan seharusnya mereka dihormati dan dimuliakan.”
Keikhlasannya dalam perjuangan terbukti ketika dia dipecat oleh Saidina Umar daripada jawatannya sebagai panglima tentera dalam peperangan Yarmuk.
Sesungguhnya Khalid ibarat obor, seluruh hidupnya berjuang demi memberi sinar keimanan untuk umat manusia.
|
|
|
Post by crusader on Dec 21, 2006 2:25:34 GMT -1
The day has finally come when a group of Christians will give their life in the name of the true God, the trinity that is the Father, the Son, and the Holy Ghost. Look for the Crusade to begin in 2007 and Christians giving their life by ways similiar to the jihadist. You will see many leading PIG iman's and clerics perish by the explosions from these Christians love for their one and true God!
|
|