|
Post by Jepun pancung on Oct 17, 2005 14:34:08 GMT -1
Jejak Rasul 11: Turki bantu Aceh lawan Portugal Oleh Hasliza Hassan
ISTANBUL, Turki pernah dikenali sebagai ‘Islambul’ yang bermaksud Kota Islam yang dibelah dua oleh Selat Bosphorus, memisahkan benua Asia dari Eropah.
Menara masjid yang kelihatan di mana saja di kota itu menggambarkan pengaruh Islam yang kuat sepanjang 471 tahun era Uthmaniyah di Istanbul.
Sejak 1453 hingga 1924 iaitu dari detik Muhammad Al-Fateh membuka kota Constantinople hingga ke saat Mustafa Kamal Atarturk mengisytiharkan berakhirnya institusi Khalifah Uthmaniyah di Turki, 1001 peristiwa tercatat di lembaran sejarah Islam.
Keagungan Sultan Sulaiman Al-Qanuni, pembina empayar Uthmaniyah yang mewariskan kemegahan Islam melalui perluasan jajahan takluk dan penyebaran agama Islam, masih disebut hingga hari ini.
Mungkin kejayaan itulah yang menjadi inspirasi kepada Sultan Aceh, Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahhar, hingga merangsang beliau menghantar wakil diplomatik ke Istanbul.
Rombongan Aceh tiba di Istanbul dengan kapal bermuatan lada, komoditi paling berharga zaman itu ditugaskan Sultan Alauddin mempersembahkan lada yang dibawa kepada Sultan Sulaiman.
Lada yang dibawa itu juga menjadi sumber perbelanjaan selama rombongan itu di Istanbul menanti dibenarkan menghadap Sultan Sulaiman yang sedang memimpin tenteranya di Hungary.
Akhirnya, Sultan Sulaiman mangkat pada 1566 dan jasadnya dibawa pulang untuk dimakamkan di Masjid Sulaimaniye, Edirne.
Cubaan rombongan Aceh untuk menghadap khalifah yang baru juga tidak pernah berjaya, sedangkan mereka sudah terlalu lama di Turki dan bekalan lada yang dibawa semakin hari semakin susut dijual di pasar.
Suatu hari khalifah melawat pasar dan kesempatan keemasan itu dimanfaatkan utusan Aceh untuk menyampaikan salam sultan mereka serta mempersembahkan hadiah kepada khalifah iaitu secupak lada, baki terakhir bekalan mereka.
Ancaman Portugis di Nusantara turut diceritakan kepada sultan, maka baginda mengerahkan armadanya bersama meriam Turki, tukang mahir membuat meriam dan senjata api pulang bersama rombongan Aceh.
Sempena peristiwa bersejarah itu, meriam Turki yang dihantar ke Aceh.
Pelabuhan Melaka bersejarah adalah kota rebutan di Selat Melaka yang menyaksikan kehadiran tiga kuasa Eropah sejak 1511 berpunca daripada perdagangan rempah yang dikuasai pedagang Islam yang berulang alik antara dunia timur dan barat.
Sebelum berdirinya kesultanan Melayu Melaka, di Samudera Pasai sudah terbina sebuah kesultanan Islam menguasai perdagangan lada yang sultannya bersambung nasab dengan Rasulullah SAW.
Samudera Pasai yang terkenal kerana sultannya menghormati ulama dan menyokong usaha penyebaran Islam menjadi tumpuan persinggahan pedagang Islam dari India, Parsi dan Yaman.
Sultan Melaka memeluk Islam dan menjadi menantu Sultan Pasai 97 tahun sebelum pencerobohan Portugis ke atas Melaka dan sejak itu ulama Pasai sering mengunjungi istana Melaka bagi membimbing sultannya.
Pada masa sama, pelabuhan Melaka semakin sibuk dikunjungi pedagang Islam selama lebih sembilan dekad berikutnya, sebelum armada Portugis tiba bersama meriam yang menghancurkan pertahanan Kota Melaka.
Senjata api dan teknik pertempuran Eropah mengatasi senjata tradisional perajurit Melaka, tetapi apabila peperangan menentang Portugis diisytihar sebagai jihad oleh ulama ketika itu, Melaka dipertahan habis-habisan.
Berikutan kejayaan delegasi Aceh ke Istanbul, dengan sokongan armada Turki, Sultan Alauddin melancarkan dua serangan ke atas Portugis di Melaka pada 1568 dan 1570.
Sekalipun tidak berjaya mengusir penjajah dari Melaka, kesultanan Aceh memberi isyarat jelas kepada Portugis bahawa Aceh bukan negara belasahan dan kerajaan Islam itu turut mempunyai sekutu disegani di Eropah.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:41:45 GMT -1
Jejak Rasul 11: Istanbul abadikan banyak peninggalan tamadun dunia Oleh Hasliza Hassan
KEHEBATAN Istanbul sebagai salah sebuah bandar raya dunia bermula 200 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi.
Istanbul, kotanya berdiri di dua benua antara Asia dan Eropah kini menjadi kota metropolis kebanggaan Turki kerana sejarahnya yang lahir daripada tamadun bangsa silih berganti.
Kesan peninggalan tamadun seawal alaf ketiga Sebelum Masihi dari bangsa Assyrian hingga ke zaman Byzantine boleh ditemui di laluan sutera Anatolia, penyambung Barat dan Iimur dunia.
Pada muara Selat Dardanelles pernah muncul kota Troy yang terkenal dengan peristiwa kuda trojan 3,600 tahun Sebelum Masihi.
Selat yang sentiasa sibuk dengan kapal perang yang sebahagiannya terkubur di dasar Dardanelles pernah diseberangi orang Parsi, bala tentera pimpinan Alexander the Great, orang Rom, Byzantine dan Arab.
Kejayaan pasukan Gazi Sulaiman Pasa menyeberangi Selat Dardanelles pada 1354 dari Asia dan menawan kota Byzantine di Callipolis dicatatkan sejarah sebagai kejayaan pertama Uthmaniyah di Eropah.
Malah laut dan pantai di selat itu menjadi saksi pertempuran yang berlarutan selama sembilan bulan dari April 1915 hingga awal 1916 antara tentera bersekutu yang dipimpin Sir Winston Churchill dengan kerajaan Uthmaniyah.
Perang Cannakale di Semenanjung Gallipoli itu menyaksikan kegagalan kuasa Barat mencapai objektif mereka, kononnya mahu mengekang ancaman terhadap negara sekutu di Balkan.
Ternyata persenjataan lengkap, teknik dan taktik perang semata-mata tidak memadai untuk pihak bersekutu mara dan mencapai objektif mereka, sebaliknya menyaksikan setengah juta nyawa tentera bersekutu menjadi taruhan di Gallipoli.
Pasukan bersekutu yang dianggotai Australia, Britain, Perancis, India dan New Zealand yang mendarat di pantai barat semenanjung ini tidak menjangka mereka akan berkubur di wilayah asing itu.
Tentera Turki sememangnya telah bersedia menggadaikan darah dan nyawa apabila tentera bersekutu British dan Perancis mula mendarat di hujung Semenanjung Gallipoli, sementara Australia dan New Zealand mendarat di Anzac Cove.
Pendaratan kedua pasukan bersekutu hampir empat bulan kemudiannya pada 7 Ogos 1915 di Teluk Suvla juga tidak membawa mereka untuk mara lebih jauh, tetapi melihat penambahan jumlah korban di kedua-dua belah pihak.
Dalam serangan awal tentera bersekutu di Anzac Cove, 10,000 anggota Turki cedera manakala dianggarkan 3,000 yang lain terkorban.
Berkat keberanian dan semangat juang anak Turki mempertahankan Semenanjung Gallipoli, menjelang 1916 atau selepas sembilan bulan bertempur, pasukan bersekutu akhirnya berundur dari wilayah Turki.
Selain kisah Perang Dunia Pertamanya, cerita perang zaman purba yang berlaku 3,600 tahun Sebelum Masihi turut menarik pelancong untuk melihat kuda kayu di Truva atau Troia, taman sejarah negara.
Mengikut sejarah kuda trojan, kuda kayu yang ditinggalkan tentera Sparta diheret masuk ke dalam kota untuk dipersembahkan kepada Dewi Athena, sekalipun sudah diberi amaran ia mungkin suatu tipu muslihat orang Greek.
Menjelang dinihari, perajurit Sparta yang bersembunyi di dalam kuda kayu keluar menyerang penghuni kota yang nyenyak tidur, serta membakar rumah dalam kota Troia.
Perang Trojan meletus apabila Paris, putera Raja Troia melarikan permaisuri Raja Spartan, Helen.
Selama 10 tahun Raja Spartan mencuba merampas kembali permaisurinya tetapi gagal hinggalah muslihat kuda trojan digunakan.
Kisah kuda trojan dan perang Cannakale hanya pengajaran bahawa musuh sentiasa mencari helah mengabui mata kasar yang lalai dan bersedia memecah masuk ke kubu yang lemah.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:42:44 GMT -1
Sultan perintah usah kasari rakyat Constantinopole Oleh Hasliza Hassan (15.10.05)
ROM pernah meluaskan pengaruhnya ke Anatolia pada kurun pertama masihi yang kemudian diwarisi empayar Byzantine selama lebih seribu tahun sebelum kesultanan Seljuk cuba menguasai Anatolia.
Lewat kurun ke-13 Uthmaniyah muncul sebagai kuasa baru, bukan saja di Anatolia, bahkan Timur Tengah, sebahagian Afrika Utara dan tenggara Eropah.
Pada 29 Mei 1453, majoriti penduduk Costantinople yang diisytihar sebagai ibu kota Rom yang baru oleh Maharaja Constantine bersembunyi dalam gereja sekitar kota.
Pada hari itu juga, Sultan Muhammed al-Fateh yang berjaya menawan Costantinople berpesan kepada tenteranya supaya jangan mengasari penduduknya dan mengucapkan tahniah atas mereka merealisasikan sabda Rasulullah SAW.
Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”
Antara faktor kejayaan usaha perluasan wilayah Uthmaniyah ialah persenjataannya yang lengkap seperti meriam yang ada dibuat sendiri dan diimport dari Jerman serta Hungary.
Selepas dikuasai Islam, Hagia Sophia, gereja tertua zaman Byzantine dijadikan masjid dan sehingga kini imej mozek yang sama dapat dilihat, tidak berubah sama seperti ketika Sultan Muhammed al-Fateh pertama kali melangkah masuk ke gereja berkenaan
Pada 1934, di bawah arahan Mustapha Kamal Ataturk, fungsi Hagia Sofia sebagai masjid ditamatkan dan bermula 1 feb 1935, ia hanya sebuah muzium.
Pada kurun ke-16, Mimar Sinan, jurutera Uthmaniyah terulung telah membina dinding baru pada Hagia Sophia bertujuan menguatkan strukturnya setelah mengenal pasti kelemahan di beberapa bahagian tertentu.
Sejak itu usaha membaik pulih dan pemuliharaan Hagia Sophia diteruskan membuktikan kerajaan Uthmaniyah bukan perosak monumen bersejarah.
Ketika zaman Uthmaniyah berkuasa, rakyat bukan Islam diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing dan kadar jizyah dikenakan juga lebih rendah berbanding cukai yang dibebankan pada era Byzantine.
Masyarakat bukan Islam mendapat jaminan keselamatan daripada pemerintah Islam, selain diberi peluang menyertai perkhidmatan awam manakala rahib diberi hak bersesuaian dengan kedudukan sebagai pemimpin agama.
Kepercayaan agama mereka diamalkan secara terbuka dalam masyarakat Uthmaniyah hingga dalam sesetengah keadaan mendapat bantuan khusus dari kerajaan.
Apabila Andalusia di Sepanyol dikuasai sepenuhnya oleh Ferdinand dan Isabella pada 1492, umat Islam dan orang Yahudi berhadapan tekanan yang memaksa mereka meninggalkan negara itu.
Pada kurun ke-16, sebahagian masyarakat Yahudi yang meninggalkan Portugal dan Sepanyol mendapat perlindungan di wilayah dikuasai Uthmaniyah.
Selain Hagia Sophia, sebuah gereja Chora atau dalam bahasa Turki, Kariye Camii dibina di Edirnekapi yang terletak di pinggir kota Constantinople atas arahan Maharaja Constantine.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:43:51 GMT -1
Jejak Rasul 11: Uthmaniyah terus kekalkan monumen silam Oleh Hasliza Hassan (16.10.05)
Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah
NICOSIA dipanggil juga dengan Lefkosa, nama yang dikenali sejak penghujung kurun ke-12, apabila Cyprus menjadi milik Knights Templar yang membeli pulau itu daripada Richard the Lion Heart.
Pengaruh Byzantine di Cyprus berakhir pada 1191, apabila raja England, Richard, merampas pulau itu dalam perjalanannya ke Jerusalem dalam misi Perang Salib ketiga disebabkan layanan buruk penguasa Byzantine ketika armadanya singgah di sana.
Sebelum kehadiran orang Turki Uthmmaniyah pada 1570, sejarah Cyprus sudah bermula ribuan tahun lebih awal dari zaman Hittites, Assyrian hingga ke zaman Venetian.
Catatan sejarah menyatakan Lefkosa suatu masa dulu dibina begitu indah sekali dengan istana dan taman-taman oleh raja dan Ratu Lusignan.
Apabila Venetian mengambil alih pulau ini dari Ratu Cornaro sejak 1489, kebimbangan terhadap ancaman kerajaan Uthmaniyah semakin dirasai di sini.
Gereja dan istana indah yang dibina ketika era Lusignan diruntuhkan, batunya dijadikan bahan binaan kota pertahanan Venetian.
Namun ketika kota dibina dan diperkukuhkan bagi melindungi istana raja, rakyat jelata terus ditindas dan diperhambakan.
Khabar mengenai Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang sedang sibuk meluaskan empayarnya sejak tahun 1520 hingga 1566 di wilayah Eropah cukup menggerunkan Raja Venetian di Cyprus.
Kebimbangan Raja Venetian menjadi kenyataan ketika Sultan Selim II bertakhta, menggantikan Sultan Sulaiman Al-Qanuni.
Tahun 1570 menyaksikan 80 ribu tentera Selim II mendarat di pantai Cyprus bagaimanapun penguasaan Uthmaniyah tidak memaksa penduduk asalnya menukar kepercayaan mereka, sebaliknya mereka bebas meneruskan tradisi yang diwarisi.
Pemerintah Uthmaniyah juga tidak memusnahkan monumen tinggalan silam seperti yang dilakukan Raja Venetian sebelumnya.
Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran pasukan tentera Uthmaniyah.
Diriwayatkan juga ketika zaman Khalifah Uthman Affan, armada tentera Islam bergerak dari Mesir dan Syria menuju Cyprus pada tahun 28 hijrah.
Armada Mesir dipimpin Abdullah bin Quais al-Jazim memasuki daerah selatan dari Larnaka manakala armada Syria diketuai Abdullah bin Sad menyerang kawasan utara dan timur pulau Cyprus.
Bersama kumpulan itu ialah Ummu Haram binti Milhan yang dipercayai bersama pasukan dari Mesir yang tiba bersama rombongan sahabat dan tabiin untuk menyebarkan Islam di pulau Cyprus ketika itu dikuasai Byzantine.
Walaupun beliau seorang wanita, Ummu Haram berhasrat untuk turut berjihad dan mati syahid. Nabi Muhammad pernah mendoakannya agar impiannya itu menjadi kenyataan.
Ketika ekspedisi jihad di Larnaka berlangsung, Ummu Haram jatuh dari kudanya dan menemui ajal, lalu dimakamkan di itu dan sebuah masjid dibangunkan bagi mengingati semangat perjuangan seorang wanita yang diberkati dengan doa seorang nabi.
Cyprus turut dijajah British dan sepanjang 1950-an, wujud gerakan kemerdekaan yang diperjuang etnik Greek bermatlamatkan penyatuan dengan Greece tetapi ditentang etnik Turki.
Pada 16 Ogos 1960, republik Cyprus yang merdeka diisytiharkan melihatkan seorang Archbishop Greek dilantik sebagai presidennya manakala naib presiden seorang berketurunan Turki.
Seperti retak menanti belah, selepas tiga tahun yang aman objektif asas kemerdekaan Cyprus yang diperjuangkan etnik Greek untuk penyatuan dengan Greece kedengaran semula.
Sejak 1963, masyarakat Turki Cyprus menyaksikan tahun-tahun penuh pergolakan akibat tindakan radikal orang Greek dalam usaha menyingkirkan etnik Turki dari pulau itu.
Pada 20 Julai 1974, pertumpahan darah di pulau rebutan ini dihentikan selepas sedekad berleluasa dan tentera kerajaan Turki memasuki bandar-bandar utamanya di utara menyebabkan pulau itu terbelah dua berdasarkan etnik.
Hubungan rapat antara Cyprus utara dengan Turki berterusan apabila mereka berjaya membentuk negara kedua di pulau itu, kerajaan baru yang merdeka tanggal 15 November 1983 dengan nama Turkish Republic of Northern Cyprus.
Selepas 22 tahun merdeka, Cyprus utara masih berjuang untuk pengiktirafan antarabangsa, namun di kalangan dunia Islam mereka sentiasa diiktiraf saudara seagama.
---0------------ Jejak Rasul 11: Cyprus miliki angkatan laut terkuat Oleh Hasliza Hassan (17.10.05)
CYPRUS yang keluasannya hanya separuh keluasan Singapura adalah pulau ketiga terbesar di Laut Mediterranean selepas Sicily dan Sardinia.
Kedudukannya yang strategik di Laut Mediterranean menjadikan pulau Cyprus lokasi persinggahan kapal yang melintasi lautan itu.
Rujukan sejarah menunjukkan pada tahun 28 hijrah, armada perang Islam dari Syam mendarat di bahagian utara dan timur Cyprus dalam cubaan terawal kerajaan Islam yang ketika itu dipimpin Khalifah Uthman Al-Affan mencabar kuasa laut Byzantine di Mediterranean.
Sekali gus, tindakan itu turut menyebarkan Islam ke wilayah baru. Usaha itu bukan inisiatif baru kerana sudah dimulakan ketika Muawiyah menjadi gabenor Syam pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab lagi.
Angkatan laut itu diperkuatkan ketika zaman Muawiyah dengan 1,700 kapal perang lengkap bersenjata bagi menghadapi ancaman Byzantine.
Sewaktu pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan, pengaruh Islam meluas hingga ke Afrika Utara di barat, ke benua kecil India di timur manakala di sebelah utara. Beliau cuba menawan ibu kota Byzantine serta Constantinople, tetapi tidak berhasil.
Bagaimanapun, armada perangnya membuktikan kemampuan dengan menawan dua pulau dikuasai Byzantine di Mediterranean iaitu Rhodes dan Crete.
Dinasti Bani Ummaiyyah bertahan selama sembilan dekad menyaksikan 14 khalifah bersilih ganti mentadbir empayar Islam antaranya Al Walid bin Abd Malik.
Pada zaman Al Walid, muncul tiga nama besar pemimpin tentera Islam iaitu Qutaybah bin Muslim, Muhammad bin Qasim dan Musa bin Nusair yang membuka wilayah Asia Tengah, India dan Afrika Utara.
Mengimbau cubaan pertama pasukan Islam menawan pulau itu, Muawiyah bin Abi Sufyan yang ketika itu gabenor di Syam menubuhkan armada laut yang kuat atas arahan Khalifah Uthman Al-Affan.
Ketika melancarkan serangan ke atas kedudukan Byzantine di pulau Cyprus sekitar tahun 28 hijrah, armada Muawiyah bergerak dari Syam dan pada masa sama armada dari Mesir digerakkan ke selatan pulau itu.
Tiga tahun kemudian armada yang sama bergabung bagi menghadapi pemberontakan orang Rom di Iskandariah dalam peristiwa perang As Sawari atau perang kapal layar pada 31 hijrah.
Kemenangan dalam pertempuran itu mengukuhkan kedudukan kerajaan Islam di rantau Mediterranean namun kekuatan Byzantine tidak dapat dikekang sepenuhnya.
Pada kurun ke-16, kerajaan Uthmaniyah muncul bersama angkatan laut yang kuat di Laut Mediterranean dan Laut Merah hingga mampu mencabar saingannya selama beberapa dekad.
Kemampuan membina kapal perang yang baik serta persenjataan lengkap memungkinkan penguasaan tentera laut Islam sukar ditandingi, membawa mereka jauh ke wilayah baru.
Ketika tentera Uthmaniyah tiba di pulau Cyprus, mereka menemui kesan menunjukkan kehadiran peneroka Islam terawal termasuk kubur tujuh sahabat yang dipercayai anggota armada perang Islam.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:44:24 GMT -1
Jejak Rasul 11 : Tentera Uthmaniyah ambil setahun takluki Cyprus Utara Oleh Hasliza Hassan(18.10.05)
FAMAGUSTA atau Gazimagusa adalah kota pelabuhan Cyprus Utara di timur Lefkosa yang disinggahi pelbagai tamadun bangsa sepanjang sejarah kewujudannya. Ia juga menjadi pelabuhan sibuk pada zaman Venetian hingga hari ini.
Republik Turki Cyprus Utara merdeka pada 1983, namun hanya Turki satu-satunya negara yang mengiktirafnya sebagai entiti berdaulat.
Hubungan sejarah antara Turki dan Cyprus Utara begitu ketara dan berterusan hingga sekarang dipaparkan melalui episod ke-14 siri Jejak Rasul 11 yang menemui penonton TV3 setiap petang sepanjang Ramadan ini.
Ketika bahtera perang Uthmaniyah melabuhkan sauh di perairan Cyprus pada 1570, anggota tentera Uthmaniyah seramai 80,000 orang sudah bersedia untuk gugur sebagai syuhada dan ternyata kemenangan berpihak kepada mereka.
Sekalipun, kota dan kubu dibina bagi melindungi Gazimagusa daripada kemaraan tentera Sultan Selim II, ia tidak bertahan selamanya apabila tentera Uthmaniyah menduduki kota itu pada 1571.
Ketika zaman Khalifah Uthman Al Affan dan Harun Ar Rasyid, tentera Islam pernah berjaya menawan pulau itu pada 648 dan 791, tetapi berjaya dirampas semula oleh Byzantine.
Sebelum Byzantine kehilangan ibu kotanya Constantinople kepada Uthmaniyah, kuasa Rom timur itu lebih awal dikalahkan di Cyprus oleh Raja England dan sejak itu Byzantine tidak pernah berjaya merampas semula pulau Cyprus.
Pasukan perang Uthmaniyah tiba di pulau itu pada zaman pendudukan Venetian. Untuk menewaskan pertahanan Venetian di Gazimagusa bukanlah tugas mudah walaupun tentera Uthmaniyah mempamerkan keberanian serta daya juang yang tinggi.
Nama pahlawan Turki Uthmaniyah, Cambulat Bey begitu masyhur di kota pelabuhan itu kerana keberanian beliau menunggang kuda dengan laju, merempuh dan berjaya membuka pintu kota yang disekat roda besar dipenuhi mata pisau serta pedang.
Sebenarnya, sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah, Raja Venetian sudah lama bersiap sedia kerana bimbang mendengar kisah Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang begitu agresif menggerakkan tenteranya ke Eropah hingga Hungary.
Gereja dan bangunan indah yang dibina pada zaman Lusignan dirobohkan manakala batu batan digunakan untuk membina kota pertahanan.
Oleh itu, apabila berita kemangkatan Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang tiba, Raja Venetian menarik nafas lega.
Bagaimanapun, serangan tidak berlaku pada zaman Sultan Sulaiman, tetapi penggantinya Sultan Selim II meneruskan misi itu hingga berjaya menguasai pulau Cyprus sepenuhnya sekali gus menamatkan pengaruh Venetian.
Sekalipun, Turki tiba ke pulau ini sebagai kuasa tentera, mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pentadbir dengan baik. Masyarakat tempatan tidak dipaksa menukar kepercayaan asal, sebalik mereka diberi pilihan dan kebebasan.
Sejarah Cyprus turut menceritakan mengenai St Barnabas yang berbangsa Yahudi dan bersama St Paul, beliau menyebarkan agama Masihi di pulau pada zaman pemerintahan Raja Lusignan.
Apabila rajanya yang terakhir, King James mangkat, permaisuri Ratu Conoro menyerahkan pulau yang diwarisi sejak lebih 200 tahun kepada Venetian.
Sejak itu, Venetian menjadi penguasa yang menindas rakyat dengan cukai membebankan sehinggalah tentera Uthmaniyah mengepung Gazimagusa beberapa bulan lamanya dan menyebabkan tentera Vanetian menyerah kalah pada 1571.
FAKTA NOMBOR 80,000 - Tentera Uthmaniyah serang Cyprus
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:45:04 GMT -1
Jejak Rasul 11: Uthmaniyah letak asas perkembangan Islam di Cyprus Oleh Hasliza Hassan(19.10.05)
TENTERA Uthmaniyah digeruni kerana semangat jihad menjulang panji Islam. Mereka mempunyai kemampuan tempur yang tinggi, perancangan bijak dan kelengkapan terbaik yang membawa kemenangan kepada Turki dalam usaha meluaskan empayarnya.
Muhammad Al-Fatih adalah sultan Uthamaniyah pertama merintis kemenangan dalam pertempuran di laut apabila baginda mengerahkan armada dengan kekuatan 180 kapal perang dari Gallipoli menuju Laut Aegean pada 1456.
Sejarah Cyprus dan Turki bermula sejak 1570 dan pendaratan tentera Turki di pantai pulau itu pada 20 Julai 1974 adalah satu rahmat bagi lebih 200,000 rakyat Cyprus Utara berketurunan Turki.
Etnik Greek, Greek Cypriot melancarkan kempen Enosis yang menyaksikan gerakan penghapusan etnik bagi mewujudkan sebuah negara Cyprus yang bersatu dengan Greece.
Kedatangan tentera Turki ibarat doa yang dimakbulkan Tuhan kerana kesengsaraan selama sedekad dirasakan etnik Turki, akhirnya selesai dengan campur tangan kerajaan itu. Sekali gus memisahkan Cyprus kepada dua entiti, utara dan selatan.
Girne Kapisi atau Kyrenia Gate menyaksikan seribu satu detik peristiwa sehingga terbentuk negara republik yang muda, kerajaan merdeka Republik Turki Cyprus Utara tanggal 15 November 1983.
Kisah lama berpalit darah dan air mata empat dekad lalu masih segar dalam ingatan warganya yang menyaksikan ribuan etnik Greek menyeberangi sempadan ke Cyprus Selatan selepas pulau itu dibahagi dua.
Tindakan sama dibuat etnik Turki yang berhijrah ke utara untuk memulakan kehidupan baru lebih aman.
Hari ini negara kecil yang terpinggir itu berusaha mendapat pengiktirafan dunia dan pada masa sama berhasrat untuk turut menyertai blok ekonomi Eropah.
Sejak kurun keenam dan ketujuh hijrah, tasawuf mengambil tempat dalam kehidupan umat Islam hingga menjadi falsafah hidup yang diamalkan secara individu pada mulanya dan perlahan-lahan berkembang sebagai organisasi di serata dunia Islam.
Jika di Libya dan Afrika Utara kelompok tarikat muncul sebagai kumpulan pejuang menentang penjajahan Eropah, di Cyprus pula tarikat Maulawiyah menyumbang kepada pembangunan sosial dan kebajikan masyarakatnya.
Generasi tua Cyprus masih mengingati detik bersejarah sekitar tahun 50-an ketika penduduk pulau itu mengangkat senjata cuba mengusir penjajah British.
Oleh itu, keamanan hari ini mahal nilainya bagi generasi baru Cyprus Utara kerana walaupun konflik 11 tahun antara etnik Turki dan Greek berakhir, hubungan antara dua wilayah yang berkongsi pulau Cyprus masih terasa tegangnya.
Sebagai negara republik demokratik yang sekular, majoriti penduduk Cyprus Utara adalah Muslim, hasil sejarah, budaya dan bahasa yang dikongsi bersama masyarakat tanah besar Turki.
Sejarah kehadiran tentera Uthmaniyah memasuki Lefkosa pada 1570 menamatkan zaman penindasan rakyat oleh Venetian akan terus dikenang. Begitu juga pemberontakan orang Greek terhadap kerajaan walaupun ia tidak seburuk konflik etnik 1963 lalu.
Peninggalan kesan sejarah di pulau Cyprus Utara ternyata membawa peringatan dan pengajaran agar kejadian lalu dikenang bagi mengelak kesilapan daripada berulang.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:45:33 GMT -1
Jejak Rasul 11: Habsyah negara pertama hijrah sebelum Madinah Oleh Jami’ah Shukri (20.10.05)
ETHIOPIA negara tertua yang tidak pernah dijajah dalam sejarah di benua Afrika. Kemakmuran negara ini menggambarkan keadilan pemerintah silamnya.
Ia pernah diperintah oleh raja yang bergelar Najasyi dan kerajaan ketika itu menjangkau hingga ke Sudan, sebahagian dari Mesir dan Somalia itulah Habsyah.
Selain dikenali sebagai Habsyah di kalangan bangsa Arab, ia dikenali sebagai Abisinia sehingga kurun ke-20. Hari ini, Ethiopia merujuk kepada kedua-dua nama itu. Ethiopia muncul sebagai negara pertama hijrah umat Islam Makkah sebelum berpindah ke Madinah.
Keadilan raja dan keharmonian penduduknya menarik perhatian Rasulullah SAW sehingga Baginda memerintah sahabatnya berhijrah ke sana buat sementara waktu.
Hubungan Ethiopia dengan tanah Arab wujud sejak zaman Nabi Sulaiman dan negeri itu juga pernah berada di bawah pemerintahan Ratu Balkis, iaitu pemerintah kerajaan Saba’. Selepas kelahiran Nabi Muhammad hubungan kedua-dua negara ini semakin rapat melalui peristiwa hijrah.
Penindasan yang dideritai oleh umat Islam di Makkah menyebabkan Rasulullah diwahyukan agar mereka berhijrah ke Habsyah.
Habsyah dipilih kerana rajanya adil. Mereka bergelar Najasyi dalam bahasa Tigrinya, raja. Selain itu, kisah Najasyi diketahui oleh Rasulullah menerusi rombongan perniagaan mereka yang menyeberang Laut Merah ke tanah Arab.
Rombongan Hijrah yang pertama ialah seramai 11 lelaki dan empat wanita, antaranya Uthman bin Affan, isterinya Ruqaiyyah binti Rasulullah, Abdul Rahman bin Auf dan beberapa sahabat lain. Rombongan itu disambut baik Najasy yang menganggap mereka sebagai tetamu istimewa. Tetapi, selepas tiga bulan mereka kembali ke Makkah kerana faktor geografi di sini yang berbeza dan selepas Saidina Hamzah serta Umar al-Khattab memeluk islam.
Jika Ethiopia menyimpan jasad Najasyi, negara jirannya, Eritrea berbangga dengan lokasi pertama sahabat Rasulullah menjejaki kaki mereka. Di sanalah bermulanya segala episod sejarah hijrah dan perjuangan mereka. Negara yang sinonim dengan pergolakan, rakyatnya pula sudah biasa mengharungi peperangan selama 30 tahun.
Eritrea di Afrika Timur Laut baru mengecapi kenikmatan kemerdekaan dari Ethiopia, pada 1993. Negara ini mendapat nama daripada perkataan Yunani yang bermaksud Semenanjung. Sebahagian ahli sejarah Afrika mengatakan kalimah itu berasal daripada bahasa Arab ‘irt’ yang bermakna api yang bernyala kemerah-merahan. Orang Yunani menambahkan sebutan ‘ea’ di hadapan perkataan irt sebagai rujukan kepada bangsa mereka. Akhirnya negara ini dipanggil Eritrea.
Sebagai negara pertama menjadi lokasi hijrah, Eritrea agak istimewa berbanding negara Afrika lain. Seperti diketahui bahawa Islam masuk ke Eritrea melalui hijrah sahabat. Seperti juga diketahui bahawa Nabi cuba menjalankan dakwah di Makkah, tetapi ditentang oleh Musyrikin Quraisy. Malah, hanya sedikit kalangan mereka yang beriman dengannya. Mereka yang memeluk Islam berhadapan dengan kesukaran dan seksaan.
Selepas Nabi melihat segala bentuk seksaan yang dilakukan kaum Musyrikin ke atas mereka, lalu Baginda bersabda: “Bagaimana jika kamu berhijrah?”
Lalu sahabat bertanya: “Ke mana ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Pergilah ke bumi Habsyah. Sesungguhnya rajanya tidak pernah menzalimi seseorang dan ia adalah bumi kebenaran.”
Selepas itu, sahabat pun berhijrah ke Habsyah secara rahsia. Mereka berhijrah melalui jalan laut dan mendarat di bumi Eritrea. Habsyah dan Eritrea adalah negeri yang sama kerana dulu semuanya dikenali sebagai Habsyah.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:46:29 GMT -1
Jejak Rasul 11: Massawa pusat ketamadunan(21.10.05)
Pelabuhan paling lama di Laut Merah sebelum kedatangan Islam
MASSAWA, pelabuhan terkenal Eritrea, menyimpan sejarah suka duka Massawa sebelum dan selepas kedatangan Islam. Ia bagaikan air mengalir ke bumi menyuburkan tanah dan memberi manfaat kepada rakyatnya.
Pelabuhan ini terletak kira-kira 120 kilometer dari Asmara. Dengan kedudukannya di sebelah pantai timur Afrika, ia turut digelar Pearl of The Red Sea atau Mutiara Laut Merah.
Ia dikatakan pelabuhan terbesar dan paling selamat di Eritrea, namun untuk sampai ke sana terpaksa melalui lereng bukit yang berbahaya.
Siri Jejak Rasul 11 di TV3, petang ini, membawa penonton menyusuri pelabuhan yang penuh dengan pelbagai pengaruh, namun tetap segar dan harum dengan cahaya Islam.
Massawa dikatakan tidak seperti pelabuhan lain di Afrika yang dijadikan tempat perdagangan hamba abdi. Pelabuhan ini dilihat sebagai laluan penyebaran agama, hijrah dan tamadun.
Kegemilangannya terserlah setelah menjadi tempat pertembungan budaya dan bangsa terutama Arab dan Eropah sejak 300 tahun dulu.
Jika Asmara terkenal sebagai bandar raya Itali, Batsa di Massawa pula tersohor sebagai pekan Turki-Mesir.
Batsa pernah berada di bawah dua kekuasaan iaitu Turki ketika pemerintahan Sultan Salim 1 pada kurun ke-16 sebelum berpindah tangan ke Mesir pada kurun ke-19.
Sultan Salim 1 pernah menghantar armadanya untuk menawan Massawa dan menjadikan Batsa sebagai penempatan sementara mereka.
Dalam tempoh 300 tahun empayar Uthmaniyyah bertapak di sini, Massawa muncul sebagai pelabuhan utama perdagangan antarabangsa.
Massawa yang menjadi pintu utama ke Pulau Dahlak, sekali lagi muncul sebagai kota metropolitan ketika berada di bawah kekuasaan British pada 1950-an.
Sebelum kedatangan Islam, ia adalah pelabuhan yang paling lama di Laut Merah. Ia bagaikan tempat pertemuan bangsa dan budaya,
Ramai bangsa Arab yang berpindah ke sini sebelum hijrah pertama Nabi Muhammad SAW. Orang Arab yang terkenal dengan bangsa yang suka berniaga menjadikan Massawa sebagai pangkalan perniagaan mereka.
Sejarah turut mencatatkan rombongan hijrah umat Islam pertama dari Makkah ke Habsyah yang diketuai Uthman bin Affan dan disertai isterinya, Ruqaiyyah, anak Rasulullah SAW singgah di pantai Massawa.
Perkara pertama yang mereka lakukan di situ ialah menunaikan solat dua rakaat dan lokasi tempat mereka bersolat itu masih boleh dilihat hari ini di dalam kawasan pelabuhan.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:47:02 GMT -1
Jejak Rasul 11: Pelabuhan purba Adulis pernah jadi pintu masuk utama ke benua Afrika Oleh Jami’ah Shukri (22.10.05)
MASYARAKAT Islam Zula di Eritrea, meskipun ketinggalan dari segi kemodenan, namun 2,000 penduduknya tabah menjalani kehidupan serba kekurangan. Apa yang lebih penting, Zula pernah menjadi laluan hijrah sahabat Nabi Muhammad SAW.
Laluan bersejarah itu meninggalkan kesan yang mendalam di hati masyarakat Islam di sini. Misalnya, dari segi pengorbanan dan perjuangan menghadapi cabaran fitnah sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Habsyah.
Peninggalan daripada penghijrahan itu masih kekal hingga hari ini. Contohnya, perigi yang dibina oleh empayar Uthmaniyyah ratusan tahun dulu, turut mewarnai lembaran sejarah Kampung Zula. Ia masih digunakan sehingga hari ini sebagai sumber kehidupan masyarakat Zula.
Menurut mereka air telaga ini belum pernah kering sejak digali meskipun kemarau panjang melanda Eritrea.
Pada kurun ke-19, keharmonian penduduk Zula terganggu akibat pertempuran di antara puak Tigre yang diketuai Dejaz Nagasyh dan Raja Tewodros II dari Ethiopia.
Dejaz menuntut Tewodros II menyerahkan Zula kepada Perancis, namun dia tidak mampu berhadapan dengan kekuatan raja dari Ethiopia itu dan tewas dalam pertempuran. Akibat kekalahan itu Perancis hilang minatnya untuk bertapak di Zula.
Penduduk Zula tidak pernah berputus asa, mereka terus bersemangat untuk meneruskan kehidupan walaupun dalam serba kekurangan. Mereka sanggup melakukan apa saja pekerjaa yang boleh memberi rezeki halal.
Rata-rata masyarakat Zula menjalani kehidupan seperti ini tanpa mengadu kesusahan mereka kepada sesiapa. Bagi mereka kesenangan dan kemewahan hanya bersifat maknawi yang sukar diterjemahkan dalam bentuk zahir.
Kesederhanaan hidup mempamerkan kecekalan dan ketabahan hati mereka menghadapi apa juga cabaran yang bakal ditempuhi. Begitulah perasaan masyarakat Zula, yang jarang menyimpan cita-cita untuk menikmati kesenangan.
Justeru, kemiskinan tidak menjadi agenda utama mereka, kerana sebaik-baik kekayaan ialah orang yang kaya jiwanya.
Dalam siri Jejak Rasul 11 petang ini, turut dipaparkan pelabuhan purba Adulis.
Menurut sejarah, kaum Rashaida adalah masyarakat Badwi yang terakhir berhijrah ke sini melalui Sudan selepas mengalami kekalahan dalam pertempuran antara kaum di tanah Arab.
Pelabuhan ini diasaskan oleh Raja Yunani Patoleomy Philadolpy, pada kurun ketiga sebelum masihi. Dia menjadikan tempat ini sebagai pusat perdagangan dan markas ketenteraan. Sebahagian ahli sejarah Eritrea berpendapat masyarakat Arab adalah bangsa pertama mengguna pelabuhan ini.
Pantai yang sunyi sepi ini suatu masa dulu sibuk dengan aktiviti perdagangan dan pernah disebut oleh ulama tafsir terkenal Thabari Adulis atau Aduliyah. Ia menjadi tumpuan peniaga Quraisy sebelum kedatangan Islam.
Malah, tempat ini pernah menjadi pintu masuk utama ke benua Afrika melalui pantai timurnya Pelabuhan Adulis. Ketika Musa al-Asyari melarikan diri daripada kekejaman kaum jahiliah di Makkah, beliau ke Yemen masuk ke Habsyah melalui Pelabuhan Adulis.
Sebelum Abu Musa al-Asyari mendarat di sini, kumpulan hijrah kedua yang diketuai oleh Jaafar bin Abu Thalib terlebih dulu tiba di Pelabuhan Adulis. Mereka bertemu di sini mengatur langkah ke Debarwa untuk menghadap Najasyi yang adil.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:47:32 GMT -1
Jejak Rasul 11: Hikmah Pulau Dahlak jadi tempat buangan pesalah (23.10.05)
Pulau gedung ilmu kini terkenal dengan perusahaan gamat
PULAU Dahlak di Eritrea, terus membangun dan mencipta lakaran sejarahnya, berikutan menjadi lokasi hijrah sahabat Nabi Muhammad SAW kali ketiga.
Sahabat Nabi, Abu Musa Al-asy Ari hanya berhenti buat sementara waktu di sini, namun ia cukup bermakna bagi umat Islam Eritrea. Mereka menganggap di mana saja sahabat berpijak di situlah cahaya iman bertapak.
Akhirnya ternyata, penghijrahan bangsa Arab ke sini membawa arus pembangunan kebudayaan, ilmu dan pendidikan.
Penghijrahan yang membawa mesej keimanan demi mempertahankan cahaya tauhid menjadikan Eritrea dan rajanya terkenal dalam lipatan sejarah Islam.
Masyarakat Eritrea ketika itu berpegang dengan ajaran Nabi Isa, tetapi mereka menerima sahabat Rasulullah dengan hati terbuka.
Dalam siri Jejak Rasul 11 di TV3 petang ini, penonton dibawa menyusuri Pulau Dahlak.
Pulau ini memang panas. Ada rekod mencatat suhunya 50 darjah celsius. Inilah hakikat keadaan fizikal pulau ini. Suhunya yang panas, kedudukannya di tengah-tengah Laut Merah diapit oleh benua Afrika dan jauh pula dari semenanjung Tanah Arab.
Pulau ini dikelilingi ratusan pulau kecil yang menjadikannya tempat strategik untuk membuang pesalah sejak zaman awal pemerintahan Islam lagi.
Misalnya, pada zaman pemerintahan Bani Ummaiyyah, khalifah yang memerintah waktu itu, Sulaiman bin Abdul Malik membuang daerah Gabenor Madinah pada masa itu, Abu Bakar bin Muhammad ke pulau itu. Beliau juga membuang seorang penyair terkenal pada zamannya, Al-Ahwas.
Pada zaman Yazid memerintah pula, beliau membuang seorang ahli fikah terkenal Iraq bin Malik ke pulau itu. Mereka yang dianggap tidak sealiran pemikirannya dengan kerajaan yang memerintah akan dibuang ke sini.
Keadaan itu menyebabkan Pulau Dahlak dikenali sebagai pulau buangan bagi pesalah.
Namun, ada hikmah di sebaliknya. Apabila ilmuwan dan tokoh Islam yang dibuang daerah ke Pulau Dahlak, menjadi tempat masyarakat tempatan untuk menuntut ilmu dengan mereka.
Akhirnya, Pulau Dahlak tidak lagi dikenali sebagai pulau buangan, sebaliknya pulau menuntut ilmu.
Pulau ini turut dikenali sebagai Dahlak Kabir atau Dahlak Besar merujuk kepada keluasannya yang menjangkau seratus kilometer panjang dan 80 kilometer lebar berbanding pulau kecil lain di sekitarnya.
Mengikut sejarah, sekitar tahun 630 masihi, pulau ini dicemari dengan kegiatan lanun. Mereka mengancam nelayan dan jemaah haji.
Namun, dengan kebijaksanaan kerajaan Bani Ummaiyyah yang berkuasa ketika itu, lanun dapat ditumpaskan.
Hari ini Pulau Dahlak hanya mampu mengenang sejarah lampau yang tidak mungkin berulang. Kesan pembangunan yang menobatkannya sebagai pulau yang maju dan berpotensi besar dalam perdagangan hanya tinggal nostalgia.
Kemasyhurannya sebagai gedung ilmu satu ketika dulu bertukar wajah menjadi perusahaan ‘haidari laga’ atau gamat yang menjadi sumber rezeki utama bagi penduduknya.
Qaisah, di Pulau Dahlak adalah perkampungan nelayan yang menjadi pusat pengusahaan gamat. Kesungguhan penduduk dalam perusahaan ini bagaikan mereka mengetahui khasiatnya. Hakikatnya, mereka sebenarnya tidak tahu langsung mengenai kelebihan gamat dalam dunia perubatan.
Mereka hanya mencarinya dua hingga tiga kali seminggu untuk dieksport ke Hong Kong, Jepun dan Singapura.
Tangkapan sehari kadang-kadang lebih dan ada kala sedikit. Jika berada lama di laut seminggu atau tiga minggu hingga sebulan, mereka mampu memperoleh 100 hingga 200 kilogram gamat untuk dua tiga orang.
Kegiatan itu menyebabkan penduduknya tidak menghiraukan lagi aktiviti penangkapan ikan yang diwarisi sejak zaman berzaman. Pada mereka, menangkap gamat lebih mudah dan kurang risikonya daripada menangkap ikan yang terpaksa ke laut dalam.
Nelayan di sini menganggap gamat mempunyai nilai komersial yang tinggi dengan harganya mencecah ratusan nakfa iaitu mata wang Eritrea mampu menyara kehidupan mereka.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:48:30 GMT -1
Jejak Rasul 11: Pulau Sokotra ‘Permata Yemen Yang Dilupai’ (24.10.05)
PULAU Sokotra kira-kira 510 kilometer dari pantai Yemen adalah pulau terbesar di sebelah timur Lautan Hindi.
Sokotra yang terletak di timur Teluk Aden dihuni hampir 40,000 orang. Pada 1507 orang Portugis pernah datang ke sini untuk meninjau peluang perdagangan.
Hadibo, sebagai bandar utama di pulau ini, menjadi tumpuan 20,000 penduduk sekitarnya mencari sinar hidup seharian mereka.
Ketika dunia berubah dilanda arus globalisasi, Hadibo dan penghuninya tidak merasakan sebarang kelebihan itu.
Malah, sesiapa saja yang menjejak kaki di sini akan merasakan dirinya seolah-olah berada pada zaman peralihan sebelum pembangunan.
Sebelum bersatu dengan Yemen, masyarakat di sini bergantung dengan sistem barter.
Pada 1990 sistem itu bertukar kepada penggunaan mata wang Riyal dan dinar Yemen.
Namun, sebahagian kecil penduduknya masih lagi mengamalkan pertukaran madu dan susu lembu di kalangan mereka.
Berdasarkan catatan pengembara kurun ke-19, pulau yang bergelar The Forgotten Diamond of Yemen atau Permata Yemen Yang Dilupai ini sukar dilawati kerana bagaikan tertutup kepada pengunjung sepanjang abad lalu.
Sementara namanya diambil daripada bahasa Sanskrit ‘dvipa sukhadra’ yang bererti pulau rahmat.
Pada kurun pertama masihi, Periplus seorang penulis berbangsa Eritrea memberitahu bahawa kebanyakan penduduk di bahagian utara Sokotra berbangsa Arab, India dan Greek. Pada waktu itu mereka berada di bawah pemerintahan Raja Hadramaut dari Yemen.
Kesuburan Pulau Sokotra dengan hasil tanaman tamarnya menjadikannya antara pengeluar utama buah kurma di Yemen.
Bagi penduduk di sekitar pelabuhan lama Souk, tamar antara sumber utama rezeki mereka selain madu lebah.
Penduduk Sokotra yang kebanyakannya beragama Islam memiliki sikap tenang dan tidak risau terhadap ekonomi atau kenaikan harga barang kerana hasil daripada tamar memadai untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Pelabuhan lama Souk, 200 tahun silam dipenuhi kapal perdagangan dan kesibukan jemaah haji dari benua Afrika yang singgah di sini
Jemaah haji dari benua itu menjadikan Pelabuhan Souk sebagai lokasi perhentian untuk mengambil bekalan seperti air, kayu dan bertukar barang keperluan dengan penduduk tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.
Persinggahan jemaah haji di pelabuhan ini bagaikan membawa rahmat kepada penduduk sekitarnya kerana mereka dapat bertukar-tukar barangan seperti gandum dan beras untuk menampung keperluan hidup yang terpencil jauh di tengah lautan.
Sebagai tukaran, mereka menyediakan madu, minyak dan daging kepada jemaah haji dari benua Afrika itu.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:49:06 GMT -1
Jejak Rasul 11: Masjid Adeni lambang syiar Islam di Hadibo(25.10.05)
PANTAI Hadibo banyak melakarkan sejarah Kesultanan Mahra yang berkuasa di Sokotra, Yemen pada 1511. Penguasaan yang terlalu lama menyebabkan kesultanan ini dicemburui oleh suku kaum Arab.
Keadaan itu menyebabkan Kesultanan Mahra mendapat perlindungan British pada kurun ke-19.
Akidah tauhid tetap bergema membawa kesahihan wahyu dan kebenaran nubuwwah.
Kewujudan Masjid Adeni di persisiran pantai Hadibo adalah rentetan dakwah Islam yang berkembang di benua Afrika seawal kurun ke-7 masihi.
Meskipun, kubah masjid ini kelihatan lama, masyarakat Islam di Hadibo mengekalkannya sebagai lambang syiar Islam yang pertama bertapak di Sokotra. Ia satu-satunya bangunan masjid lama Adeni yang masih kelihatan kukuh.
Sebagai langkah pemuliharaan kubah ini dibiar berada di dalam bangunan masjid baru supaya sejarahnya sentiasa dikenang oleh generasi akan datang.
Masjid Adeni menjalani tiga kali proses pembesarannya untuk menampung jemaah yang semakin meningkat.
Penduduk di sini tidak mengetahui dengan tepat tarikh pembinaan Masjid Adeni, mereka berasa tanggungjawab untuk memperbaikinya dengan mengumpul dana secara derma dan wakaf bagi menjaga syiar Islam yang tertua ini.
Perkuburan lama masyarakat Islam turut menambahkan keunikan sejarah masjid ini. Jika diperhatikan gaya tulisan yang ada pada nesan ini, menunjukkan masyarakat Arab Islam sudah sekian lama bertapak di Pulau Sokotra .
Kedudukan Sokotra yang jauh dari tanah besar dan pergaulan menyebabkan berita dan sejarah mengenai umat Islamnya agak terbatas. Bandar utama Sokotra, Hadibo menjadi nadi bagi penduduknya mencari rezeki.
Pembangunan di bandar ini berjalan perlahan memandangkan faktor kedudukannya yang jauh dengan tanah besar Yemen.
Namun, penghuni Hadibo tidak pernah merungut atau melahirkan perasaan tidak puas hati dengan apa yang mereka hadapi.
Sebelum kedatangan Islam Sokotra menjadi milik golongan Nasrani Assyrian yang dikenali sebagai Nestorian.
Mereka memakmurkan bumi Sokotra dengan peradaban dan tamadun mereka berkurun lamanya.
Amalan dan kegiatan mereka tidak diterima oleh Paulus yang berpusat di Rom kerana dianggap bercanggah.
Kedatangan Islam yang di bawa oleh masyarakat Arab pada awal kurun ke-17 menerusi perdagangan menukar arah pegangan mereka kepada akidah tauhid.
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:49:46 GMT -1
Jejak Rasul 11: Pokok Dammul Akhawain keunikan Sokotra(26.10.05)
DAMMUL Akhawain sejenis tumbuhan istimewa hidup subur di Diksham yang terletak di dataran tinggi bahagian tengah Sokotra, Yaman.
Ia turut dikenali oleh masyarakat Sokotra sebagai dragon blood tree yang bermaksud pokok darah naga. Tumbuhan ini adalah khazanah flora yang amat berharga di pulau ini yang tidak mungkin ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.
Tumbuhan ini dipercayai hasil peninggalan zaman purba sekitar jutaan tahun lalu.
Pokok ini rata-rata mencapai ketinggian lima hingga sembilan meter. Sesiapa saja akan terpesona untuk menghayati keindahannya.
Lazimnya pokok ini bercambah secara pendebungaan setahun dua kali dan menghasilkan buahnya setahun dua kali.
Kewujudan pokok ini menjadikan Sokotra sebuah pulau yang diidami oleh setiap pengunjung.
Sebelum kehadiran akidah tauhid menyinari bumi Sokotra, tumbuhan luar biasa ini pernah disembah dan dianggap suci oleh masyarakatnya. Rupa bentuk pokok darah dua bersaudara ini yang istimewa berbanding tumbuhan lain di sini.
Menurut pengkaji alam tumbuhan, Dammul Akhawain yang indah dipandang ini mempunyai 250 jenis pokoknya yang tumbuh subur di pulau legenda ini.
Selain Diksham, pokok ini tumbuh dengan menebal di kawasan pergunungan Murmi berhampiran bandar Hadibo. Pohon yang hidup sejak jutaan tahun ini terus tumbuh dengan subur hingga kini.
Pengkaji hingga kini masih terus berusaha mengkaji kelebihan dan keistimewaannya.
Dammul Akhawain menjulang bagaikan mempunyai mahkota pada puncaknya memiliki buah yang kecil kemerah-merahan dipercayai berkhasiat untuk kesihatan.
Pokok ini tidak asing bagi masyarakat Socotra sehinggakan mereka amat mahir dan mengetahui kelebihannya.
Contohnya, getahnya boleh dijadikan cat dan bahan memperbaiki kenderaan kecil.
Namun, mereka tidak memandangnya sebagai perkara penting yang memberi manfaat.
Maklumat mengenai kelebihan pokok ini hanya diwarisi daripada nenek moyang mereka.
;D
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Mar 30, 2006 12:50:34 GMT -1
SICUPAK DARI ISTANBUL – Bukan Setakat Imbasan Sejarah
Selamat Hari Raya Eidul Fitri diucapkan kepada semua pembaca Sautun Nahdhah yang dihormati, semoga dengan ketibaan Syawal ini, semangat dan istiqamah dalam mengembalikan kemuliaan Islam dapat kita perbaharui dan kita perteguhkan. Sempena Syawal yang diberkati ini, marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar kerinduan yang dirasai oleh kaum Muslimin untuk melihat Islam kembali diterapkan secara kaffah akan terjawab pada tahun hadapan dengan kita menyambut Ramadhan dan merayakan Eidul Fitri di bawah naungan Khilafah 'ala Minhaj Nubuwwah, insyaAllah!
Di dalam kesempatan kali ini, Sautun Nahdhah ingin mengucapkan tahniah kepada pihak TV3 yang telah berjaya menyiarkan program Jejak Rasul siri ke-11 di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu dengan tema Sicupak dari Istanbul . Secara umumnya siri Jejak Rasul kali ini mengisahkan sejarah hubungan antara umat Islam di Nusantara dan Asia Timur, khususnya Acheh, dengan Kesultanan Turki Uthmaniyyah. Kami yakin, sudah tentu ramai para penonton yang amat menghargai usaha TV3 ini dalam menerbitkan rancangan sebegini rupa; sememangnya sejak rancangan Jejak Rasul ini mula diterbitkan 11 tahun yang lalu, ia telah banyak mendedahkan kepada kaum Muslimin di Malaysia sejarah Islam yang sebelum ini mungkin tidak begitu jelas gambarannya di dalam benak ramai di antara kita. Bukanlah menjadi tujuan makalah SN minggu ini untuk menyoroti semula siri Jejak Rasul yang lalu, namun kami merasa terpanggil untuk memberikan sedikit sebanyak masukan mengenai siri tersebut yang mungkin tidak begitu ditekankan di sepanjang tayangannya.
Sejarah menceritakan kepada kita perkembangan sesuatu tamadun, jatuh bangunnya dan memberikan kepada kita pengajaran yang harus kita ambil iktibar darinya agar kesilapan yang lalu tidak kita ulangi. Inilah fakta sejarah. Sebagai umat Islam, sejarah Islam juga harus diperhatikan di dalam konteks ini. Malah lebih dari itu, sejarah Islam haruslah juga diperhatikan di dalam konteks tanggungjawab kita pada zaman ini untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi oleh umat Islam terdahulu, sebagai sesuatu yang di bebankan oleh Allah Azza wa Jalla ke atas kita.
Bangsa Arab sebelum kedatangan Islam bukanlah suatu bangsa yang digeruni atau disegani. Dalam kelenaan mereka yang lalai dengan warna-warni dan keseronokan hidup, Islam tiba sehingga menjadikan mereka umat yang termulia. Kemuliaan Islam terus terjaga selepas kewafatan Rasulullah al-Mustafa. Khulafa' Ar-Rashidin membela Islam dengan penuh komitmen. Khalifah-khalifah selepas itu, meskipun ada yang tergelincir dari tanggungjawab mereka yang sebenarnya, namun secara umumnya telah meletakkan Islam dan umatnya di tempat yang tertinggi di antara umat-umat yang lain. Tokoh-tokoh Islam seperti Umar Abd. Aziz, Harun Al-Rashid, Salahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Qutuz menjadi pembela Islam yang tiada tolok bandingannya. Setelah itu, kepimpinan kaum Muslimin diserahkan pula kepada bangsa Turki dengan pemimpinnya yang tidak kurang hebatnya seperti Muhammad Al-Fatih, Sulaiman Qannuni dan Sultan Abdul Hamid. Kekuasaan kaum Muslimin ketika itu mencengkam kuat di daratan Eropah dan mampu bertahan selama 6 abad sebagai kuasa besar dunia, digeruni dan ditakuti oleh negara-negara Eropah yang kini telah mengambil alih kepimpinan peradaban dunia.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
'Kalian adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia – kalian menyeru kepada ma'ruf dan mencegah kemungkaran dan kalian beriman kepada Allah...'[TMQ Al-Imran:110]
Sesungguhnya Allah telah menjadikan kaum Muslimin sebagai umat yang terbaik sedangkan situasi hari ini jelas menunjukkan yang sebaliknya. Umat Islam yang pada suatu masa dahulu pernah menerajui dunia kini menduduki tempat tercorot, dihina dan diperkotak-katikkan. Memang benar, setiap umat itu telah ditetapkan batasan waktu kewujudannya, sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
'Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak pula dapat mempercepatkannya"[TMQ Al-A'raaf: 34]
Namun begitu, Allah juga menuntut agar hukumNya ditegakkan di muka bumi ini dalam di setiap waktu dan tempat. Firmannya
'.....Sesungguhnya (membuat) hukum itu hanyalah untuk Allah...' [TMQ Yusuf : 40]
Dan tanggungjawab inilah yang kerapkali dilupakan oleh umat generasi kini. Tempoh masa yang ditetapkan Allah ini bukanlah sesuatu yang harus dijadikan alasan bahawa 'zaman kegemilangan Islam' telah berlalu. Hanya Allahlah yang berhak menentukan tempoh waktu ini. Umat Islam hanya berkewajiban untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Kelalaian umat kini dengan cara hidup tidak Islami yang merosakkan pemikiran dan komitmen kita kepada Islam mendominasi seluruh aspek hayat kaum Muslimin hari ini. Akibatnya, apabila umat didedahkan kepada pemikiran, keagungan serta kemuliaan Islam dan umatnya melalui catatan-catatan sejarah silam, jarang sekali kita memerhatikan imbasan ini sebagai suatu tanggungjawab yang harus dipikul – dalam mengembalikan ketinggian Islam. Yang wujud hanyalah perasaan bangga yang sebentar mengenangkan kehebatan umat Islam terdahulu. Kalaupun wujud rasa tanggungjawab, ia lebih tertumpu kepada aspirasi untuk memajukan umat Islam hari ini agar dapat mencapai tahap kemajuan umat-umat terdahulu, tanpa memerhatikan hakikat kehidupan Islam kaffah yang wajib dikembalikan.
Perlu ditegaskan di sini bahawa keagungan Kekhilafahan Uthmaniyyah yang kekal selama lebih 600 tahun itu secara keseluruhannya berdiri di atas dasar aqidah Islam. Aqidah Islam dijadikan asas kepada seluruh tiang dan sendi pemerintahan Kesultanan Turki ini. Tidak pernah, walau sesaat, Khilafah Uthmaniyyah mengadopsi hukum selain hukum Islam dalam pemerintahannya – sehinggalah Mustafa Kamal La'natullah menghapuskan insitusi ini pada tahun 1924. Asas inilah yang membentuk kekuatan dan kehebatan Daulah Khilafah Islamiyyah dan asas inilah juga yang menjadi pedoman umat dalam penyelesaian setiap permasalahan mereka.
Dengan tersebarnya Islam ke seluruh penjuru alam, kaum kuffar mula mencari jalan untuk menghalang perkembangan Islam. Mereka mula melangkah kaki ke kawasan Nusantara untuk merealisasikan tujuan ini. Seperti yang di sebutkan oleh Arnold Toynbee, seorang sejarawan Inggeris di dalam bukunya 'The World and the West', gerakan balas Eropah di kawasan Nusantara adalah sebagai usaha untuk melemparkan tali 'lasso' bagi mengikat leher kuda Dunia Islam yang sedang berlari kencang dari Asia Barat ke Nusantara. Acheh, salah satu Kesultanan Islam yang menyedari ancaman ini telah meminta bantuan dari Khilafah Uthmaniyyah dalam usahanya untuk menghadapi ancaman barat ini. Acheh sedar bahawa Khalifah, sebagai pemimpin umat Islam sedunia merupakan junnah atau perisai yang dibelakangnya umat Islam berjuang.
Kaum kuffar tidak pernah lalai dalam kesedaran mereka bahawa selama mana umat Islam masih mempunyai seorang pemimpin (khalifah/imam) maka selama itulah Barat tidak akan pernah berjaya mendominasi Dunia Islam. Pada akhir abad ke 19, Snoucke Hurgronye, seorang Orientalis dan Penasihat Pemerintah Agung Hindia Belanda pernah menyarankan agar pemerintah kolonial Belanda di Indonesia menolak dan membataskan perkembangan ajaran-ajaran Islam yang menyangkut idea Khilafah, Pan Islamisme dan Jihad. Hari ini, Bush pula menyuarakan kebimbangannya terhadap Al-Khilafah dan menuduhnya sebagai negara totalitarian yang akan diperintah oleh mereka yang fanatik dan dahagakan darah!! Begitulah kesedaran mereka terhadap kekuatan umat Islam seandainya kaum Muslimin bersatu di bawah payung kekhilafahan.
Malangnya, kaum Muslimin pula yang mudah lupa. Hatta dalam keagungan zaman kekhilafahan, umat begitu mudah terpedaya dengan pemikiran busuk yang disuntikkan oleh Barat – nasionalisme dan demokrasi telah berjaya menjauhkan umat dari Islam sehingga ada yang sanggup mengenepikan Islam atas dasar kekufuran. Hari ini, dalam kesungguhan umat untuk cuba menghidupkan kembali kegemilangan kaum Muslimin yang silam, kesatuan umat dan penerapan Islam secara kaffah di bawah Daulah Khilafah jarang sekali di ambil kira secara serius.
Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan Jejak Rasul siri ke-11 kali ini telah berjaya memanifestasikan keagungan Khilafah Uthmaniyyah dan hubungannya dengan Nusantara dan negara-negara Asia Timur. Namun, siri ini seharusnya sudah cukup untuk menimbulkan banyak pertanyaan yang mendesak – mengapakah keagungan ini sudah tidak lagi wujud hari ini? Bukankah Daulah Khilafah ini sudah wujud lebih 1300 tahun lamanya lalu apakah yang menjadikan umat generasi hari ini begitu istimewa sehingga tidak memerlukan lagi Daulah Khilafah? Bukankah menegakkan Khilafah ini merupakan suatu kewajiban yang tidak akan pernah gugur sehingga hari kiamat? Lalu mengapakah setelah selesai Ramadhan, umat masih tidak kedengaran menanyakan soalan-soalan seperti ini? Sicupak dari Istanbul bukanlah setakat imbasan sejarah yang menghiburkan, ia lebih dari itu. Ia sewajarnya menyedarkan kita bahawa keagungan dan kemuliaan Islam itu wajib dikembalikan dan kitalah, umat generasi hari inilah yang bertanggungjawab untuk merealisasikannya!
Wallahu'alam
"Petikan dari Artikal Sautun Nahdhah"
|
|
|
Post by khalid bin lukman on Sept 23, 2006 22:50:21 GMT -1
Jejak Rasul 2006.
Jejak Rasul: TV3 papar kisah Nabi Muhammad Oleh Hasliza Hassan
Jejak Rasul ke-12 tumpu seratus peratus kisah sebenar kehidupan Baginda
SEJARAH hidup Nabi Muhammad SAW bukan asing bagi kita kerana banyak buku, drama serta filem dihasilkan baik oleh umat Islam sendiri, juga bangsa lain mengenai junjungan agung itu.
Bagaimanapun, lebih banyak persoalan serta fakta menarik mengenai Nabi Muhammad SAW akan dirungkai dalam siri Jejak Rasul musim ke-12 yang bakal menemui penonton TV3 jam 6.30 petang esok.
Pertemuan dengan krew penerbitan Jejak Rasul – Muhammad dan kesempatan melihat sesi penyuntingan di Sri Pentas TV3, membuatkan hati tidak sabar untuk mengikuti siri menjejaki sirah Rasulullah SAW yang disiarkan sepanjang Ramadan ini.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Jejak Rasul kali ini yang menumpukan seratus peratus kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai percubaan berani TV3 menampilkan kelainan dalam usaha memenuhi aspirasi penonton.
Bukan menidakkan kelebihan 11 siri yang lalu, tetapi pemilihan kisah hidup Nabi Muhammad SAW sebagai fokus utama dilihat mampu mengajak masyarakat menghayati perjuangan serta keperibadian Baginda.
Secara tidak langsung, program Jejak Rasul – Muhammad akan dapat menjernihkan ketegangan yang tercetus akibat penyiaran karikatur menghina dan mempersenda Nabi Muhammad SAW oleh sebuah akhbar Denmark, Jyllands-Posten.
Tindakan itu memperlihatkan sikap masyarakat bukan Islam yang tidak sensitif atau peka dengan perkara menyentuh kesucian agama Islam dan melukakan hati umat Islam.
Penerbit Eksekutif Jejak Rasul, Zainal Ariffin Ismail, berkata awalnya mereka ingin menghasilkan kisah mengenai dua musim perdagangan iaitu musim panas dan sejuk yang dilalui pedagang Arab zaman dulu.
Apabila diadakan perbincangan, katanya, tercetus pula idea untuk memfokuskan jalan cerita kepada kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang kemudian dikembangkan krew penerbitan berdasarkan sirah Ibn Hisham yang terkenal.
“Kisah Nabi Muhammad SAW bukan idea asal sebaliknya hasil daripada perbincangan. Kami sependapat ada baiknya kita mengenang kembali sejarah junjungan besar Nabi Muhammad sebagai fokus utama.
“Lagi pun, insiden penyiaran karikatur Nabi Muhammad yang lalu mencetuskan fenomena, jadi kita mahu menampilkan kisah sebenar bermula zaman sebelum kelahiran, peristiwa kenabian dan selepas kewafatan Baginda,” katanya.
Memandangkan Jejak Rasul turut ditonton masyarakat bukan Islam, beliau yakin kisah Nabi Muhammad SAW dapat memberi gambaran jelas serta pengetahuan tambahan kepada mereka.
Rakaman Jejak Rasul musim ke-12 menyediakan 30 episod tetapi tidak keseluruhannya mengenai Nabi Muhammad SAW kerana 10 episod adalah cerita sampingan dan episod khas Aidilfitri.
Selain Zainal Ariffin, krew penerbitan Jejak Rasul - Muhammad dianggotai muka lama yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan kumpulan B.
Kumpulan A dianggotai Mohd Amin Yusoff selaku pengarah dan penulis skrip yang dibantu Nor Hizam Shariff, Abdul Halim Sulaiman, Saiful Hady Ahmad dan Anuar Samsudin.
Kumpulan B diterajui Jasmi Shahir, Mohd Naim Niamat, Mohd Shahril Abdul Rani, Edi Azli Abu dan Idrus Ibrahim.
Penggambaran yang bermula April lalu membawa krew penerbitan menjelajah semula lokasi yang banyak menyimpan sejarah perjuangan Rasulullah SAW seperti Arab Saudi, Yaman, Syria, Jordan dan Baitulmaqdis.
Zainal Ariffin yang terbabit dalam pembikinan Jejak Rasul sejak musim pertama berkata, selain jalan cerita, kekuatan Jejak Rasul banyak bergantung kepada semangat kerjasama krew penerbitan.
Katanya, tulang belakang yang banyak berjasa dan bertanggungjawab memastikan kelangsungan budaya kerja itu ialah penerbit Jejak Rasul sebelum ini, Wan Alias Abdullah yang kini Penerbit Eksekutif tv9 bagi Program Agama.
“Kami banyak belajar daripada Ustaz Wan yang membimbing kami selama ini terutama dalam memastikan lokasi penggambaran, menentukan kesahihan fakta serta kaedah untuk membuat rujukan.
“Budaya kerja yang diterapkan beliau membantu kami membuat perancangan teliti seterusnya menjadikan kerja penerbitan khususnya Jejak Rasul kali ini lebih mudah untuk kami uruskan,” katanya.
Zainal Ariffin berkata, proses perbincangan dan perkembangan jalan cerita Jejak Rasul - Muhammad mengambil masa tiga bulan termasuk menyenaraikan lokasi yang ingin dilawati.
Beliau gembira kerana penggambaran di Arab Saudi mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa dan masyarakat tempatan yang turut membantu bagi menjayakan sesi lakonan semula.
Dari segi merasakan sendiri pengalaman dilalui Rasulullah SAW, semua itu dilakukan dengan teliti seperti berada di Gua Hira’ pada waktu malam untuk menghayati saat turunnya wahyu.
Zainal Ariffin mengaku sebagai Penerbit Eksekutif dan pengacara Jejak Rasul – Muhammad, perasaannya bercampur baur menantikan reaksi serta maklum balas penonton setia siri itu.
Sebagai buah tangan sulung daripada krew penerbitan yang diterajuinya, beliau menaruh harapan supaya kesungguhan mereka menghasilkan yang terbaik berjaya menepati cita rasa penonton.
“Kami berharap Jejak Rasul - Muhammad berjaya memberi gambaran siapa Nabi Muhammad sebenar sebagai utusan Allah dan mengembalikan imej Baginda yang tercemar disebabkan insiden penyiaran karikatur Baginda,” katanya.
|
|