Post by super on Dec 17, 2006 15:04:34 GMT -1
Susunan: Kamarudin Mohamed Salleh
Soalan (S): Apa yang mendorong anda menghasilkan filem “The Road To Guantanamo”?
Jawapan(J): Sebab utama ialah untuk menyedarkan orang ramai, bukan setakat di Britain atau Amerika Syarikat, tetapi di seluruh dunia. Kami Ingin mendedahkan mengenai apa yang berlaku di Guantanamo atas nama demokrasi.
S: Adakah anda mengamal ajaran Islam sebelum menjadi tahanan Guantanamo?
J: Tidak sangat. Saya tidak melakukannya hari-hari. Tetapi di Guantanamo, ramai tahanan alim dan mempunyai latar belakang agama. Itu sebabnya saya bercakap mengenai agama dan kini tidak pernah meninggalkan ajaran Islam kerana ketika saya berada di Guantanamo, tentera Amerika selalu mengherdik:”Cukur janggut kamu, jangan solat, tinggalkan agama kamu dan kami akan membebaskan kamu.” Tetapi apa ada kena mengena agama saya dengan penahanan saya. Kata mereka, peperangan itu ialah terhadap pengganas, bukan Islam. Tetapi kelihatan pada saya, setelah berada di sana, perang itu ialah bukan terhadap pengganas, tetapi Islam. Ramai pengganas yang bukan Islam tetapi saya tidak melihat mereka di Guantanamo.
S: Apa yang membuat anda tabah sepanjang berada di Guantanamo?
J: Kepercayaan saya dan pendedahan mengenai Islam. Banyak saya pelajari mengenai Nabi yang dipenjarakan seperti yang berlaku terhadap Nabi Yusof yang difitnah dan ia menjadi ujian daripada Tuhan untuk melihat ketabahan imannya.
S: Bagaimana perasaan anda tidak dapat menghubungi keluarga anda?
J: Ia memang memilukan kerana di situlah anda akan dapat melegakan perasaan-bercakap dengan ibu, bapa atau adik-beradik yang lain dan tahu mereka sihat dan mereka tahu anda sihat. Satu-satunya berita yang disebarkan dalam penjara ialah mengenai penangkapan Saddam Husein. Setiap pengawal datang dan berkata: “kami dah tangkap Saddam Husein”. Kami seolah-olah ingin menjawab: “Besar sangat ke kejayaan kamu itu? Kamu nak kami lakukan apa dengan kejayaan itu?” Mereka seolah-olah percaya Saddam Husein dengan Osama mempunyai kaitan dan menganggap mereka sudah menangkap pemimpin Al-Qaeda. Mengarut. Majoriti orang Islam tidak suka Saddam Husein. Saya sendiri tidak sukakannya.
S: Apa yang menyebabkan anda ditahan begitu lama?
J: Saya percaya kerajaan Amerika tahu kami bukan pengganas. Tetapi mereka perlukan orang untuk ditahan bagi menutup kesilapan mereka. Mereka sepatutnya boleh membebaskan kami serta-merta tetapi orang ramai akan berkata:”Nanti dulu. Jika mereka tidak bersalah, bagaimana dengan yang lain?”
S: Bagaimana perasaan anda sepanjang berada di Guantanamo?
J: Ia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya tidak akan dapat melupakannya, lebih-lebih lagi pada hari seperti ini. Saya sentiasa diingatkan mengenainya. Mereka sentiasa bercakap mengenai pengganas. Mereka sentiasa mengutuk orang berjanggut dan Islam. Saya tidak dapat melupakannya, mungkin sehingga mati.
S: Bagaimana ia mengubah kehidupan anda?
J: Kini saya lebih menyedari perkembangan dunia. Sebelum ini, saya tidak mempedulikan apa yang berlaku. Sebelum ini, jika melihat kejadian yang berlaku di Afrika, ia tidak menjejaskan perasaan saya, kerana kita mungkin berbeza warna kulit tetapi kita manusia. Jika saya tidak mempedulikannya, satu hari kelak, jika ada apa-apa yang berlaku pada saya, tidak ada orang mempedulikannya. Saya selalu beranggapan Barat kerajaan terbaik. Amerika, England, Australia dan Barat, sentiasa bercakap buruk mengenai kerajaan Timur seperti China, Jepun, Pakistan, India. Hakikatnya, Barat lebih teruk. Saya berkata demikian kerana sekurang-kurangnya, jika China atau Turki menyiksa rakyatnya, mereka lakukan secara terbuka. Mereka tidak berlindung. Tetapi Amerika, Britain, mereka lebih teruk. Mereka sentiasa melaungkan demokrasi dan nilai kemanusiaan tetapi mereka menjadi orang pertama yang menangkap dan menyiksa orang. Mereka melakukannya secara tertutup.
S: Pemergian anda ke Pakistan untuk menghadiri majlis perkhawinan. Ini soalan cepu emas. Mengapa anda pergi ke Afganistan?
J: Saya ke Pakistan pada 4 atau 5 Oktober, selepas serangan 11 September di Amerika. Rakan saya, Asif pergi lebih awal. Keluarganya sudah berada di sana, mencari isteri untuknya. Dia berlepas ke Pakistan dan menemui bakal isteri untuknya. Dia berpuas hati dan meminta saya dan Shafiq untuk hadir pada majlis perkhawinannya. Kami mempunyai masa dua minggu untuk berbuat demikian. Afganistan berjiran dengan Pakistan, dan bagi kami, jika sudah berada di Pakistan, mengapa tidak melawat sekali Afganistan. Itulah alasan pertama kami berada di sana. Kami hanya ingin melihat negara itu. Pada masa yang sama, ketika di Pakistan, kami tinggal di masjid, bukan di hotel kerana murah. Lebih-lebih lagi, kami diberi makanan percuma dan ada ceramah yang disampaikan imam mengenai penderitaan rakyat Afganistan. Masjid itu memang terkenal. Ia menghantar ramai jemaah melakukan kerja kebajikan. Pada hari itu kami mengambil keputusan mengikuti rombongan yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Afganistan, semata-mata untuk melawat negara itu dan mengelak daripada sesat. Ia lebih murah.
Sumber:
Harian Metro.
17.12.06