|
Post by jepun pancung on Aug 26, 2006 0:52:14 GMT -1
Kisah Sahabat: Khalid al-Walid pahlawan terulung
KHALID bin al-Walid panglima tentera Islam terulung yang memberikan banyak sumbangan kepada penyebaran syiar Islam. Beliau selalu ke medan perang sejak zaman Rasulullah hingga pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Bagaimanapun, sebelum memeluk Islam, beliau termasuk di kalangan orang Musyrikin yang bermusuh dengan Nabi Muhammad. Beliau selalu menghalang usaha dakwah Muhammad sehingga setiap kali pulang hatinya berkecamuk memikirkan mana baik dan buruk.
Melalui satu riwayat, Khalid menceritakan: “Ketika Allah mahu memberikan kebaikan kepada aku, Dia menanamkan dalam hati aku keinginan untuk memeluk Islam dan memberikan petunjuk kepada aku.
“Aku berkata, sesungguhnya aku mengikuti setiap peperangan menentang Muhammad, sedangkan tiada satu pun di antara sekian banyak peperangan yang aku ikuti kecuali ketika pulang hati aku menyatakan bahawa langkah yang aku tempuhi ini tiada manfaatnya dan aku yakin Muhammad pasti akan selalu mendapat kemenangan.
“Ketika Nabi Muhammad dan sahabat ke Hudaibiyah, aku juga berangkat bersama pasukan berkuda orang Musyrikin. Lalu aku bertemu dengan Rasulullah bersama sahabat Baginda yang sedang berada di Usfan (tidak jauh dari Makkah). Aku berusaha menghalangi Baginda.
“Pada waktu itu Baginda dan sahabat menunaikan solat Zuhur bersama kami. Justeru, terdetik dalam hati kami untuk menyerang Baginda dan sahabat. Tetapi, rancangan itu dibatalkan
“Kemudian Baginda dan sahabat menunaikan solat Asar secara khauf (kerana bimbang diserang musyrikin). Hati kami yakin bahawa Baginda mengetahui rancangan kami. Lalu aku berkata, orang ini (Muhammad) dilindungi. Selepas itu rombongan Baginda meninggalkan kami dan mengambil jalan sebelah kanan.
“Selepas orang Quraisy mengadakan perjanjian Hudaibiyah dengan Baginda dan sepakat terhadap kandungannya, hati aku terdetik; sekarang apa yang masih tinggal. Ke mana aku mahu pergi? Adakah aku perlu pergi kepada Raja Najasyi. Sesungguhnya dia sudah memeluk Islam dan sahabat di sana mendapat perlindungan daripadanya dan hidup aman.
“Apakah aku pergi saja kepada Maharaja Romawi. Jika ke sana mungkin aku perlu menukar agama kepada Nasrani atau Yahudi dan terpaksa tinggal di sana sebagai orang asing.
“Akhirnya aku memilih tinggal di tempat sendiri bersama orang yang belum memeluk Islam. Ketika aku dalam keadaan buntu memikirkan perkara itu tiba-tiba terdengar berita bahawa Rasulullah akan ke Makkah untuk melakukan umrah qada.
“Jadi, aku segera bersembunyi sehingga aku tidak melihat beliau memasuki Makkah. Ketika itu saudara aku, Walid bin Walid juga bersama-sama Rasulullah untuk menunaikan umrah. Dia pun mencari aku, tetapi gagal. Kemudian saudara aku menulis surat kepada aku:
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya aku belum pernah melihat sesuatu yang lebih menghairankan aku daripada hilangnya akal kamu daripada Islam, sedangkan kamu adalah orang yang paling bijak berfikir sehingga tahu membezakan yang benar dan palsu.
“Adakah agama seperti Islam tidak difahami oleh seseorang? Sesungguhnya Rasulullah sentiasa bertanya kepada aku mengenai diri kamu? Di manakah kamu Khalid? Aku menyatakan pada beliau, kelak Allah akan membawakannya..." – Bersambung
|
|
|
Post by jepun pancung on Aug 26, 2006 0:57:44 GMT -1
Kisah Sahabat: Mimpi Khalid al-Walid bawa ke jalan kebenaran
KHALID bin al-Walid meneruskan kisahnya: “Apabila surat itu sampai, aku semakin bersemangat untuk pergi menemui Rasulullah dan berhajat segera memeluk Islam. Pertanyaan Rasulullah terhadap diri aku amat menggembirakan.
Ketika tidur aku bermimpi, berada di sebuah negeri yang tandus dan sempit lalu menuju ke tempat yang luas dan hijau. Apabila tersedar aku berkata, oh! ini hanya mimpi. Apabila tiba di Madinah nanti, aku akan menceritakan mimpi aku kepada Abu Bakar.
Tiba di sana aku terus menceritakannya kepada beliau, lalu Abu Bakar (yang bijak menafsir mimpi) berkata: “Adapun keluarnya kamu ke sebuah negeri hijau dan luas, itu adalah tanda hidayah Allah kepadamu supaya memeluk Islam.
Ketika bertekad untuk berangkat, aku bertanya pada diri, siapakah yang akan menemani aku dalam perjalanan menuju kepada Rasulullah. Kemudian, aku bertemu dengan Safwan bin Umaiyah, lalu aku katakan padanya: “Wahai Abu Wahab, apakah kamu tidak mengetahui keadaan kita sekarang? Jumlah kita semakin kurang, sedangkan kedudukan Muhammad semakin kuat sehingga menguasai bangsa Arab dan luar Arab.
Aku menyarankan kita menghadap dan mengikutinya. Ia disebabkan kemuliaannya adalah kemuliaan kita juga.
Mendengar kata-kata Khalid itu, Safwan terus menolak keras. Katanya: “Jika semua orang mengikuti Muhammad dan yang tersiksa hanya aku, pasti aku tidak akan mengikutinya, walaupun sampai mati.”
Akhirnya kami berpisah, lalu aku berkata dalam hati: “Saudara dan bapa orang itu (Safwan) terbunuh dalam Perang Badar. Selepas itu aku bertemu dengan Ikrimah bin Abu Jahal. Aku katakan padanya seperti pada Safwan.
Jawapannya memang sama dengan Safwan. Tetapi aku memintanya supaya merahsiakan percakapan aku itu. Dia berjanji tidak akan memberitahu sesiapa. Selepas itu aku pulang dan mempersiapkan unta dan bekalan untuk berangkat menuju kepada Rasulullah.
Dalam perjalanan aku bertemu pula dengan Uthman bin Talhah. Aku berkata sendirian, sesungguhnya orang ini adalah rakan aku. Jika aku tawarkan padanya seperti pada Safwan dan Ikrimah? Kemudian aku teringat rakan bapanya yang terbunuh. Jadi aku berasa ragu. Tetapi aku katakan juga padanya: “Tahukah kamu apa yang berlaku pada aku? Aku adalah orang yang pergi daripada waktuku.” Aku menceritakan tawaran aku padanya. Aku berkata: “Sesungguhnya kedudukan kita ini umpama seekor serigala yang berada di dalam lubangnya. Jika disiram dengan air, pasti ia akan keluar.
Aku menceritakan tawaran seperti dua orang rakan aku tadi. Dia segera menerima tawaran aku. Lalu aku katakan padanya, hari ini aku ingin berangkat awal pagi dan untaku sedang diberi minum di Fajj (sebuah lembah di Makkah).
Aku berjanji padanya, akan bertemu lagi nanti di Ya'juj (nama sebuah tempat). Jika dia yang sampai dulu di tempat itu, dia perlu menunggu aku. Jika aku sampai lebih dulu, aku akan menunggunya.
Kami berangkat pada akhir malam dan sebelum terbit fajar kami tiba di Ya'juj. Pada waktu pagi kami meneruskan perjalanan hingga ke Hadah. Di situ kami bertemu pula dengan Amr bin al-As.
Amr menyambut kami dan mengalu-alukan kedatangan kami. Amr bertanya kami: “Ke manakah arah perjalanan anda? Kami pula bertanya padanya: “Apa yang menyebabkan kamu ke tempat ini? Dia pula bertanya: “Kamu juga mengapa ke sini?
Kami katakan padanya, kami ingin memasuki Islam dan mengikuti Muhammad. Amr berkata: “Hal itu juga yang membuatkan aku ke sini.” Selepas itu, kami bertiga berangkat ke Madinah.
Rupanya, kedatangan kami sudah diberitahu kepada Rasulullah dan beliau gembira. Kemudian aku menukarkan pakaian dengan yang lebih baik, lalu bergegas untuk berjumpa dengan Rasulullah. Ketika itu saudaraku, Walid bin Walid datang menemui aku.
Dia katakan pada aku, cepatlah. Rasulullah sudah diberitahu mengenai kedatanganmu. Baginda amat gembira dan sedang menunggumu. Kami mempercepatkan perjalanan. Tiba di sana, aku lihat Baginda tidak putus-putus senyum pada aku hingga aku berdiri depannya. Aku memberikan salam: “Selamat sejahtera wahai Nabi Allah. “Baginda menjawab salamku dengan wajah berseri.
Kemudian aku mengucapkan: “Aku naik saksi tiada tuhan kecuali Allah dan engkau (Muhammad) persuruh Allah.”
|
|
|
Post by JEPUN PANCUNG on Aug 26, 2006 1:02:55 GMT -1
Kisah Sahabat: Panglima Romawi kagum strategi perang Khalid Al-Walid
PANGLIMA Islam terbilang, Khalid Al-Walid digeruni musuh kerana kebijaksanaannya dalam mengatur strategi peperangan.
Sifat luar biasa Khalid turut menarik perhatian panglima Romawi bernama Georgius yang mengundang beliau bertemunya.
Dalam pertemuan itu Panglima Romawi itu berkata kepada Khalid: "Tuan Khalid...jujurlah anda kepadaku, jangan berbohong sebab orang merdeka tidak pernah berbohong! Apakah Allah sudah menurunkan sebilah pedang kepada nabi anda dari langit, lalu pedang itu diberikan kepada anda, sehingga setiap kali anda menghunuskan pedang berkenaan akan membinasakannya?"
Jawab Khalid: "Oh, tidak!"
Orang itu bertanya pula: "Mengapa anda dinamakan Pedang Allah?"
Jawab Khalid: "Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasul-Nya kepada kami, sebahagian kami ada yang membenarkannya dan sebahagian pula mendustakannya.
“Aku dulunya termasuk orang yang mendustakannya, sehingga akhirnya Allah menjadikan hatiku menerima Islam dan memberi petunjuk kepadaku melalui Rasul-Nya, lalu aku berjanji setia kepadanya.
“Kemudian Rasul mendoakanku dan beliau berkata kepadaku: "Engkau adalah Pedang Allah antara sekian banyak pedang-pedang-Nya."
“Demikian, maka aku diberi nama...Pedang Allah."
“Kepada anda sekalian diserunya mentauhidkan Allah dan Islam.”
Tanya Panglima Romawi itu lagi: “Apakah orang yang masuk Islam kini akan mendapat pahala dan ganjaran seperti anda juga?”
Jawab Khalid: “Memang, bahkan lebih...”
Balas panglima tadi: “Bagaimana boleh berlaku, sedangkan anda sudah lebih dulu memasukinya (Islam).”
Jawab Khalid: “Kerana sesungguhnya kami sudah hidup bersama Rasulullah SAW, kami melihat tanda kerasulan dan mukjizat serta sewajarnya bagi setiap orang yang sudah melihat seperti yang kami lihat dan mendengar seperti yang kami dengar, akan masuk Islam dengan mudah...
“Ada pun anda, wahai orang yang belum pernah melihat dan mendengarnya, lalu anda lebih berlipat ganda dan besar, apabila anda membenarkan Allah dengan hati ikhlas serta niat yang suci.”
Panglima Romawi itu kemudian berseru, sambil memacu kudanya berhampiran Khalid dan berdiri di sampingnya:
"Ajarkanlah kepadaku Islam itu, hai Khalid!"
Maka masuk Islamlah panglima itu dan solat dua rakaat, satu-satunya solat yang sempat dilakukannya.
Kedua-dua bala tentera itu mula bertempur semula. Panglima Romawi itu berada di pihak Muslimin dan bermati-matian menuntut syahid, sehingga dia berbahagia mencapainya.
FAKTA Khalid Al-Walid
->Khalid panglima tentera Islam terulung yang memberikan banyak sumbangan kepada penyebaran syiar Islam.
->Beliau selalu ke medan perang sejak zaman Rasulullah hingga pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.
->Sebelum memeluk Islam, beliau termasuk di kalangan orang Musyrikin yang bermusuh dengan Nabi Muhammad.
->Pernah menghalang usaha dakwah Muhammad sehingga setiap kali pulang hatinya berkecamuk memikirkan mana baik dan buruk.
|
|
|
Post by jepun pancung on Aug 26, 2006 1:07:06 GMT -1
Kisah Sahabat: Semangat juang Khalid jadi teladan umat Islam
TIDAK ada sedikit pun maksud tidak baik Umar terhadap peribadi Khalid, hanya beliau berasa gerun terhadap pedang yang terlalu pantas dan tajam.
Hal itu dibayangkan ketika dia mengusulkan kepada Abu Bakar, Khalid diberhentikan, sejurus selepas terbunuh Malik Nuwairah.
Umar berkata: "Sesungguhnya pada pedang Khalid ada rohaqnya." Ertinya kelancangan, ketajaman dan ketegasan.
Lalu dijawab khalifah as-Siddiq: "Aku tidak akan menyarungkan pedang yang sudah dihunus Allah terhadap orang kafir."
Umar tidak menyatakan kepantasan bertindak kepada Khalid hanya menjadi sifat rohaq itu sebagai sifat pedang bukan peribadi orangnya.
Kata-kata itu bukan saja mengungkap adab sopan, tetapi juga penilaian baik terhadap diri Khalid.
Kehidupan Khalid adalah perang sejak lahir hingga mati. Persekitaran, tumbesaran, pendidikan dan seluruh kehidupan sebelum dan selepas Islam, seluruhnya adalah arena bagi seorang pahlawan berkuda yang lasak lagi ditakuti.
Kemudian kegigihan pada masa silam sebelum Islam, peperangan yang menentang Rasul dan sahabat serta hayunan pedang ketika syirik yang menjatuhkan kepala orang beriman.
Kini dijadikan pedang alat yang ampuh untuk menebus kesilapan lalu dengan memancung habis segala tonggak kemusyrikan berlipat ganda hebat daripada apa yang pernah dilakukan terhadap Islam.
Walaupun Rasul sudah menjelaskan bahawa Islam sudah memaafkan semua kesilapan lalu, namun dia berusaha menunaikan janji kepada Rasulullah selagi dia masih hidup. Dia memohon ampun kepada Allah atas segala perbuatan pada masa silam.
Pedang yang berada di tangan seorang panglima berkuda istimewa seperti Khalid, kemudian tangan yang menggenggam pedang itu digerakkan dengan hati bergelora serta dipenuhi dengan pembelaan mutlak terhadap agama.
Ketika selesai pembebasan kota Makkah, Rasulullah mengutuskan sebahagian kabilah yang berdekatan dengan Makkah sambil menyatakan kepadanya:
"Aku mengutusmu sebagai penyeru umat, bukan sebagai penyerang mereka".
Rupanya pedang itu menguasai diri yang mendorong sebagai penyerang dan bukan sebagai penyeru umat seperti diwasiatkan Rasul kepadanya.
Nabi berasa kesal dan bersedih ketika tindakan Khalid disampaikan kepadanya dan sambil berdiri menghadap kiblat, baginda mengangkat tangan, memohon ampun kepada Allah dengan ucapannya:
"Wahai ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu, daripada tindakan yang dilakukan Khalid".
Lalu diutuskannya Ali kepada mereka untuk memberikan tebusan ganti rugi terhadap darah dan harta.
Menurut pendapat sesetengah orang, Khalid membela diri dengan alasan, Abdullah Hudzafah as-Sahmi menyatakan kepadanya bahawa Rasulullah memerintahkan dia memerangi mereka kerana menolak Islam.
Khalid memiliki tenaga melebihi manusia biasa. Tenaga itu mendorong menghancurkan dunia lama yang menyeksa hatinya. Khalid tidak melihat alat lain untuk membersihkannya, kecuali pedang.
Khalid adalah pejuang sejati yang sanggup mempertaruhan tenaga dan akal untuk perkembangan Islam sejagat.
Ketika beliau meninggal dunia Umar menangis. Kemudian umum dapat mengetahui bahawa Umar bukan menangis kehilangan semata-mata tetapi dia menangis kerana tidak berkesempatan mengangkatnya sebagai pucuk pimpinan Islam.
Umar bertekad memulihkan kepemimpinan dan menjernihkan sebab pemberhentian beliau, kalau tidak maut datang menjemput pahlawan besar itu untuk segera pulang ke tempat kembali di syurga.
Semangat juang dan keharuman nama dikenang sepanjang masa, selagi kuda perang masih mendengus, mata pedang masih berkilat dan panji serta bendera tauhid berkibaran, dia terus dikenang kerana jasanya dalam perkembangan Islam.
|
|